Book Review #9: Bibik Milenium

Tajuk: Bibik Milenium
Penulis: Aein Dhiyauddin
ISBN: 978-967-0907-54-3
Terbitan: Love Novel Publishing Sdn Bhd
Tahun terbitan: 2017
Kategori: Cinta


Sebaik sahaja membaca helaian terakhir novel Bibik Milenium, begitu banyak perkara yang bermain-main di benakku. Antaranya sejauh mana kemampuan penulis genre cinta mencipta satu kelainan di dalam storyline mereka. Sesuatu yang boleh menarik pembaca mengingati buku dan nama penulis itu sendiri. Adakah menggunakan konsep benci kemudian suka mampu menarik pembaca ketika ini. Kita tinggalkan dulu persepsi di atas, let’s start reviewing novel cinta Bibik Milenium.

Honestly cover buku ini agak catchy and sweet. Gabungan warna merah jambu dan hijau epal itu sudah mampu menarik pembeli terutama pembaca perempuan. Tajuk novel ini membuatkan aku tidak sabar untuk tahu apa dan siapakah bibik milenium. 




Bibik Milenium ini mengisahkan ketabahan seorang wanita bernama Suhaila mengharungi cabaran kehidupan selepas dia dikhianati oleh orang yang paling disayangi. Pertemuan dengan Tengku Khalis menambah kekalutan  dan pada masa yang sama mengubah seluruh hidupnya. Namun Suhaila bukanlah seorang wanita yang lemah dan dan tunduk kepada kesukaran hidup. 

Bagi Tengku Khalis, kehadiran Suhaila hanyalah menyusahkan kehidupan dan reputasinya. Hidup Khalis banyak dibayangi perasaan dendam dan marah terhadap bapanya Tengku Zabidi. Dipaksa berkahwin dengan Suhaila menambahkan kebencian Khalis terhadap bapanya sendiri.

Paling aku suka tentang novel ini, penulis mengangkat kedudukan wanita sebagai seorang yang tabah, berani dan bijak dalam menangani masalah hidup. Meskipun ada waktunya Suhaila seakan rapuh dengan apa yang telah di lalui tetapi dia cepat bangun dari melayani perasaan kecewanya.

Overall cerita ini agak menarik, penggunaan bahasa santai memudahkan pembaca memahami jalan cerita.  Jalinan dari satu plot ke plot yang lancar dan kemas. Bab pertama sudah mampu membuatkan aku sebagai pembaca merasai kesedihan dan kekecewaan watak utama. Bagaimana terciptanya watak bibik milenium kenalah beli buku ni. 

Tetapi apabila memasuki bab seterusnya, terlalu banyak kebetulan yang dicipta untuk membolehkan watak hero dan heroin hidup bersama. Ianya mengganggu mood membaca sebab aku rasa seolah-olah dipaksa untuk menerima pernikahan segera antara Suhaila dan Khalis.

Watak Suhaila Al Hakeem digambarkan begitu hebat di dalam industri Senibina. Suhaila memandu kereta mewah, pakaian dan handbag berjenama hebat tapi dia tak ada duit dengan alasan berhabis untuk perkahwinannya. Jujurnya susah aku nak terima seorang arkitek yang gah namanya tiada sesen malah tiada credit card. Logiknya sesuatu plot mahupun pembinaan watak sangat penting. Perkara-perkara yang mungkin dipandang remeh oleh sesetengah penulis boleh menjejaskan kualiti  novel itu sendiri. 

Bagi aku tidak semesti semua konflik perlu ada penyelesaiannya. Ada sesetengah sub plot tidak perlu ada jawapannya. Contoh wujudnya watak mama kepada Tengku Khalis yang mana aku rasa kebetulan yang dicipta supaya semuanya live happily ever after! Lebih menarik kalau dibiarkan tanpa sebarang penyelesaian kerana itu bukan konflik utama.

Sebenarnya aku mengharapkan novel ini lari dari kebiasaan yang ada dalam sebuah novel cinta. Agak cliché apabila penulis masih menggunakan konsep kahwin paksa, watak hero dan heroin yang hebat, kaya, cantik, hensem and akhir sekali status Tengku! 

Walaupun terdapat beberapa kelemahan, novel ini masih mampu menarik aku membaca hingga ke titik penamat. Moment yang sweet antara Khalis dan Suhaila seolah-olah bermain tarik tali sangat menyentuh hati. Bagi peminat genre cinta, novel ini tidak mengecewakan dan aku suggest especially new beginner yang nak berjinak membaca novel cinta untuk mendapatkan buku ini.



kami dapat autograf dari penulis - jangan jeles ya :)

Book Review #5: Rooftop


Tajuk: Rooftop
Penulis: Farrah Izzlorna
ISBN: 978-967-13211-4-0
Terbitan: Prolog Media
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Fantasi

Cubaan pertama membaca karya fantasi misteri. Dulu aku suka baca novel cinta, tapi sejak jalan cerita yang makin cliche, aku beralih arah. Mencari karya yang lebih unik dan segar. Tidak disangka novel terbitan Prolog Media ini adalah pilihan yang tepat. Habis novel Rooftop ni, aku terus order lagi 3 buah novel lain terbitan mereka - Jika Aku, Mesej dan Infiniti.

Kisah misteri yang terjadi kepada Aya memang di luar kotak fikiran kita. Seorang gadis bersifat Introvert, di rooftop dia bertemu dengan K. K yang annoying, selalu saja berdamping dengan Aya tidak kira masa dan tempat. Siapa K ini sebenarnya?



Storyline cerita ini sangat menarik, ditulis dengan bersahaja. Bila dibaca cerita ini seolah seperti melihat tayangan movie di layar perak. Penulis tidak memaksa pembaca membayangkan watak mengikut kemahuannya. Sebaliknya memberikan ruang untuk kita (pembaca) berimaginasi mengikut citarasa sendiri. Watak K wujud tanpa penjelasan dari mana dia datang. Persoalan ini akan terus memimpin pembaca supaya mencari jawapan.

Di awal penceritaan, penulis mula menerapkan dengan pelbagai misteri yang dijawab satu per satu bila pembacaan diteruskan. Watak K yang sinis bergabung dengan Aya si Introvert sangat serasi. Annoying + tak suka + menyampah lama - lama jadi tersuka + terambil berat, tapi dalam cara yang berbeza. Bukan sweet terlebih gula, tapi sweet + brutal penuh rasa.

Watak Amir yang muncul setelah K menghilangkan diri sangat mengujakan. Twist yang berlaku setelah kemunculan Amir tidak dijangka. Kekeliruan mula wujud dan pelbagai persoalan baru muncul. Kisah Amir dan Maya pada aku tidak banyak membantu dalam keseluruhan cerita. Karakter Maya tidak begitu menyerlahkan sifatnya, seperti sekadar wujud untuk mencantikkan cerita. Bila Aya menarik Maya ke tengah jalan bagi menyedarkan Amir, plot tersebut seperti tidak ada klimaks, aku rasakan agak mendatar. Sekiranya selepas itu tidak ada penjelasan apa yang terjadi, pasti babak itu berlalu begitu saja. Bagaimanapun, kisah ini tidaklah menggangu keseluruhan jalan cerita.




"You smile and be kind and be gentle and be supportive and be good listener to wrong person. It will kill him". Petikan ini sangat bertepatan dengan pepatah "buat baik berpada - pada, buat jahat jangan sekali". K seorang yang baik dan positif, sentiasa berbuat baik kepada orang lain. Malangnya kebaikannya di salah erti dan mengundang kejadian yang tidak di ingini. Peristiwa itu menjadi titik tolak perubahan sikap K dan mampukah Aya menjadi penyelamat. Semua ini hanya akan terjawab dalam "Rooftop".
Kalau korang pun macam aku yang mencari kelainan, apa kata cuba baca novel ini, anda tidak akan kecewa.

Book Review #6: Tempur ~ Membujur lalu melintang patah

Tajuk: Tempur
Penulis: Ahmad Erhan
ISBN: 978-967-446-284-0
Terbitan: Buku Prima
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Aksi / Thriller

TEMPUR. Novel ini menghantui hidup aku. Setiap kali ke kedai buku, mata pasti tertarik untuk memandang novel ini. Seakan ada daya tarikan magnet yang memanggil aku untuk memilikinya. Beberapa kali cuba mengelak, namus tewas jua. TEMPUR, akan ku cari kau di PBAKL2017. Akhirnya pada tanggal 6 Mei 2017, buku ini berjaya dimiliki.

Bila tengok kulit buku, kelihatan seorang lelaki memegang sebilah pedang panjang. Nampak ganas dan berjiwa kental. Cara pegang pun menggambarkan yang dia akan melibas sesiapa saja tanpa rasa gentar.

Permulaan cerita agak santai dan diselitkan unsur humor. Watak Adelia, Aslan dan Dato' Syukor mula muncul berselang - seli. Dato' Syukor yang tegas dan garang, Aslan yang kerap lambat masuk kerja dan Adelia yang cantik. Di satu bahagian lagi, seorang wanita misteri, sambil minum cendol dan kemudiannya melakukan jenayah. Sesuai dengan pepatah 'don't judge a book by it's cover', begitu banyak plot twist di dalam cerita ini.



Buku ini memang berhantu, dah pegang tak nak lepas. Cliff hanger yang menyeksa pembaca seperti aku. Helaian demi helaian diselak tanpa rasa jemu. Boleh tak nak marah penulis mana dia dapat idea cerita yang menarik ni....hahaha.

Penulis begitu pandai memanipulasi fikiran pembaca, sehingga membuatkan aku dengan yakinnya dapat meneka misteri setiap watak. Tetapi bila tiba pertarungan terakhir baru penulis membongkar cerita sebenarnya, masa tu aku terasa seolah-olah dipermainkan penulis. Padan muka sendiri! Over confident sangat. Watak yang dianggap tidak penting rupanya hanya satu topeng samaran untuk mencantikkan jalan cerita. Aku kagum dengan susunan cerita yang kemas. Tahniah aku ucapkan kepada penulis kerana berjaya menyimpan kebenaran cerita sehingga ke titisan dakwat terakhir.

Setelah semua yang best dan baik diceritakan, aku ingin memberi sedikit pandangan yang membina. Di harapkan ini dapat membantu penulis untuk menghasilkan karya yang terbaik pada masa akan datang:
1. Motif semua pembunuhan bersiri ini berlaku adalah kerana sebuah dendam. Cuma intipati penceritaan tentang peristiwa yang menimbulkan dendam itu aku rasa sekiranya penulis membuat satu plot imbas kembali kepada peristiwa itu, ia akan menimbulkan kesan yang lebih trajis. Watak isteri Sazali yang ditinggalkan kerana peristiwa itu juga tidak digunakan dengan baik. Pada aku ini satu kerugian kerana watak itu wujud tapi tidak dikembangkan untuk membantu perjalanan cerita.

2. Peristiwa dimana Hakim ditewaskan oleh Camelia ketika pembunuhan seorang VIP tidak ditunjukkan dengan jelas. Dari segi penceritaan, aku sebagai pembaca tidak dapat merasai kenapa Hakim marah kerana dia tidak bertarung secara langsung dengan Camelia pun. Sekiranya ditambah sub plot di mana terdapat pertarungan antara mereka berdua sehingga menyebabkan ianya menjadi sebuah dendam. Maka pembaca akan lebih merasai kemarahan dan dendam Hakim.

3. Watak pembunuh tidak diceritakan latarbelakangnya bagi menggambarkan kenapa karakter itu sebegitu kejam. Sekiranya ada sedikit gambaran mungkin boleh membuatkan pembaca lebih menjiwai watak pembunuh ini. Mungkin penulis boleh buat novel prekuel untuk kisah ini.

Baiklah, setakat ini saja ulasan untuk novel thriller TEMPUR. Buku yang tidak rugi untuk dimiliki dan dibaca. Tahniah dan syabas kepada penulis. Semoga terus menghasilkan novel bermutu di masa akan datang.

TEMPUR - "Membujur lalu, melintang patah!"

Book Review #8: Orang Gaji

Tajuk: Orang Gaji
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-14675-1-0
Terbitan: dear Novels
Tahun terbitan: 2017
Kategori: Seram

Bagaimana saya boleh membeli novel seram bertajuk Orang Gaji, adalah melalui tarikan untuk membeli buku Uwan Konah pada mulanya. Disebabkan penulis Uwan Konah ader friend ngan saya di fb so selalulah dapat promosi tentang buku ini (InsyaAllah lepas ni ulasan Uwan Konah pulak!). Kena pulak ader offer kombo pakej sempena PBAKL yang baru lepas hari tu. Tetapi sebaik sahaja saya ke page Fajar Pakeer mata saya bagaikan terpaku melihat buku seram Orang Gaji.

Adakah saya telah diseru oleh Orang Gaji misteri itu? Tapi saya rasa memang betullah…boleh tak saya dengan tak sabarnya membeli buku Orang Gaji itu padahal Pbakl tinggal seminggu, siap ader promosi kombo pakej lagi. Oh yer satu lagi cover buku sangat menarik membuatkan novel ini kelihatan unik.

Ini adalah kali pertama saya membaca cerita seram terbitan dear Novels. Selalunya saya hanya membaca cerita-cerita seram dari penerbit popular yang memang dikenali mempunyai ramai penulis seram yang agak terkenal. Jadi bila saya beli buku penulis Daisy Zahra umpama saya pertaruhkan pelaburan RM24 dengan perasaan yang berbelah bagi.


Ini adalah first impression setelah selesai saya membaca novel tersebut dalam tempoh 6 jam…. Wowww …. Daisy Zahra anda adalah penulis cerita seram yang hebat. Pelaburan saya berbaloi.. Permulaan cerita ini sudah bermula dengan gaya yang penuh misteri. Bab pertama sudah mampu membuatkan pembaca mempunyai naluri ingin tahu yang sangat kuat.

Ok kita cerita kan secara ringkas tentang novel ini. Kisah dimulai dengan kedatangan Sara sebagai orang gaji baru di banglo tersebut. Dia disambut dingin oleh Mak Yam. Sedari awal Sara telah diberi arahan untuk mengikuti peraturan yang ketat sekiranya mahu terus bekerja di rumah itu. Peraturan ketat di dalam rumah itu menimbulkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam diri Sara sehingga dia terpaksa melalui beberapa siri gangguan misteri.

Bertambah misteri apabila Sara tidak pernah berjumpa dengan Liya seorang lagi orang gaji di dalam banglo itu. Siapa Liya, dimana Liya? Kenalah dapatkan buku ini.

Kenapa isteri Irham koma sedangkan kecederaannya tidak terlalu serius. Puas doktor Fendi memikirkan secara medikal kenapa pesakitnya masih tidak sedar. Perasaan ingin tahu doktor Fendi menyebabkan dia dan keluarganya turut menerima tempias.

Penulis berjaya mengolah babak seram dengan baik. Memang boleh meremang bulu roma kalau baca seorang diri waktu malam. Watak orang gaji yang misteri membuatkan kita ingin tahu siapa dia sebenarnya. Selain dari itu penulis berjaya mengolah dialog dan naratif yang memerlukan fikiran saya berimaginasi. Contohnya dialog dibawah seolah-olah kita turut terbau apa yang dihidu Sara:
“Bau apa ni mak cik?” Sara akhirnya melepaskan juga soalan setelah beberapa ketika. Tidak tertahan rasanya terpaksa menghidu bau busuk itu biarpun hidungnya sudah ditutup. Berkerut-kerut wajahnya menahan bau busuk itu. Bau seperti bangkai!




Setiap bab mempunyai cliff hanger yang suspen menyebabkan saya sebagai pembaca tidak sabar untuk membaca bab seterusnya. Garapan cerita yang cukup kemas. Ekspresi emosi watak di dalam naratif dan dialog cukup terkesan ke dalam jiwa pembaca. Paling menarik sekali tiada olahan yang meleret-leret atau pengulangan plot yang sengaja dibuat demi nak memanjangkan cerita. Plot twist yang cukup menarik dan mendebarkan.
Ada sedikit kelonggaran pada sesetengah plot. Pada mulanya penulis membuatkan pembaca tertanya-tanya siapakah Zati disisi Irham. Saya membuat pelbagai andaian sehinggalah penulis meleraikan misteri siapa Zati sebenarnya. Plot twist disitu agak janggal.

Pada pandangan saya sekiranya Irham terkena ilmu pengasih atau termakan nasi kangkang, maka itu boleh menguatkan alasan untuk Zati menerima layanan istimewa di dalam rumah itu.
Saya juga kurang jelas kenapa kepala-kepala mayat di rumah mayat hilang sedangkan itu bukan syarat ilmu hitam yang dituntut. Plot disitu agak mengelirukan, mungkin Daisy Zahra boleh jelaskan.
Kelemahan itu sebenarnya bagi saya berjaya ditutupi dengan garapan cerita yang cukup menarik. Kecacatan cerita tidak mengganggu mood pembaca dan boleh dimaafkan.
Penulis ini seperti sudah lama menulis cerita seram malah penulisan anda lebih baik dari sesetengah penulis seram yang senior. Maka selayaknya novel ini memenangi Anugerah Novel Seram Terbaik.

Book Review #4: Teroris ~ Aku Bukan Teroris

Tajuk: Teroris ~ Aku Bukan Teroris
Penulis: Syauqie M.K
ISBN: 978-967-0990-04-0
Terbitan: S.O Publishing
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Action Thriller

Teroris, nampak tajuk pun dah boleh agak genre novel ni. Saya nampak buku ni atas meja office mate. Tertarik nak bertanya, best ke novel ni? Dengan muka excited dia jawab, "best, menarik cite action thriller." Nak pinjam boleh, saya tanya. Dia cakap tunggu dia habis baca dulu...ber huhuhuh la saya tunggu tuan punya habis baca. Malam tu kat rumah, sambil lepak depan tv tengok berita, tangan macam biasa pegang hp scroll instagram. Kawan - kawan post gambar makanan, baju, selfie standard lah kan. Tiba - tiba....geng geng geng instagram @lorongbuku post gambar "Teroris". Hati menjerit kegirangan...beli je lah dari berhuhuhu tunggu. Hehehe. Laju je PM untuk beli buku ni.

Akhirnya buku nukilan Syauqie M.K selamat sampai ke tangan saya. Buku ini setebal 524 muka surat, tapi ianya tidak berat kerana menggunakan kertas yang ringan. Jadi tak lah penat nak pegang dan baca kan. Buku ini diterbitkan oleh SO Publishing pada July 2016.

Cover depan buku ini mengingatkan saya pada drama korea Descendants of the Sun. Letupan yang berlaku masa Kapten Yoo Si Jin dalam satu misi penting di Afganisthan. Semua orang ingat Kapten Yoo Si Jin dengan Sarjan Jin Goo mati dalam letupan tersebut.



Ok, balik ke pangkal jalan "Teroris - Aku Bukan Teroris". Novel ini saya habis baca dalam masa 6 jam, memang tido lambat la malam tu. Tak mampu nak tido selagi buku ni tak habis baca. Esok kerja tapi masih tak sedar diri terus juga membaca sebab best sangat jalan ceritanya. Setiap akhir bab memang menimbulkan tanda tanya yang korang memang rasa nak kena sambung baca bab seterusnya. Nasihat saya untuk yang belum baca, sila baca masa hari siang pada sabtu atau ahad....hehehehe.

Sinopsis novel ini berkisar tentang kisah Safwan, seorang pegawai kanan Bank Kebangsaan Malaysia yang telah terjebak dengan satu pergerakkan rahsia. Dia dibawa masuk ke jemaah ini oleh kawan baiknya sendiri Kamal. Tujuan penubuhan jemaah ini adalah membangkitkan kembali kegemilangan Islam di bumi Nusantara. Namun, kepimpinan atasan seperti telah terbahagi dua. Salah satu pihak telah mula menyimpang dari tujuan asal kerana telah dikaburi oleh wang yang banyak. Safwan merasakan ada sesuatu tidak kena dan dia cuba mencari jawapan. Ustaz Hanif ada memberikan gambaran kepada Safwan tentang kepincangan kepimpinan di peringkat atasan. Dia menasihati Safwan supaya menyebarkan kebenaran dan cuba membawa ahli - ahli jemaah mengikut kepimpinan yang betul. Pergerakkan jemaah ini turut sama diekori oleh pihak berkuasa tempatan. Mereka cuba mencari bukti - bukti kukuh untuk mengagalkan operasi jemaah malangnya tidak menemui bukti yang sahih. Arisya ditugaskan untuk mengekori Safwan dan mencari maklumat lanjut tentang Kamal dan pergerakkan jemaah ini.

"Tan Sri, something very urgent comes up. National Security...yes...ok. Will see you."
Gagang telepon diletakkan. Arisya dan Safwan dipanggil masuk semula.
"Ok guys, get your facts and figures ready. Kita jumpa KPN sekarang!"
Arisya dan Safwan berpandangan, gugup.
"Ketua Polis Negara?"


Petikan dialog ini menggambarkan betapa kes jemaah misteri ini telah sampai ke tahap yang sangat serius. Apa yang dirancangkan oleh mereka telah menjadi isu besar dalam keselamatan negara. Safwan dan Arisya bakal menemui KPN untuk penjelasan lanjut. Kita sebagai pembaca pasti turut serta ingin tahu apa bukti dan fakta yang akan dirungkai oleh mereka berdua. Tak boleh nak bertangguh memang kena sambung baca untuk menjawab persoalan ini.

Penceritaan novel ini telah ditulis dengan kemas, plot yang di susun atur dengan baik. Setiap bab mempunyai "Cliff Hanger" yang sangat kuat sehinggakan saya memang tak boleh nak letak buku ni ke tepi hingga habis baca. Strategi dan plan yang untuk setiap rancangan dalam jemaah ada dijelaskan dengan detail. Ini membantu pembaca membina imaginasi dan mendapat gambaran seperti dalam filem aksi.

Jalan cerita dalam novel ini turut melibatkan isu pelbagai negara. Penulis mampu mengarap setiap situasi bersesuaian dengan keadaan negara tersebut. Novel ini juga banyak menyelitkan fakta - fakta sejarah dan secara tidak langsung mendidik pembaca itu sendiri. Kisah tentang sejarah Pattani serta perang gerila antara orang melayu Pattani dan polis Siam - Thai pada tahun 1948 menjadi salah satu sumber untuk menguatkan storyline Teroris.


Plot ringan tentang kisah pertemuan Safwan dan Arisya turut membantu perkembangan jalan cerita novel ini. Setiap plot wujud dengan tujuan tersendiri dan tidak hanya sekadar wujud secara sia - sia. Strategi bagaimana penjahat ini berhubung dijelaskan dan ini sangat menarik minat saya. Kesudahan cerita ditutup dengan rapi dan setiap persoalan akhirnya terjawab. Sebuah buku yang patut dimiliki.

Book Review #7: Dari Tanah Ke Tanah

Tajuk: Dari Tanah ke Tanah
Penulis: Tajul Zulkarnain
ISBN: 978-967-14941-0-3
Terbitan: Twirlight Zone Publishing
Tahun terbitan: 2017
Kategori: Psycho Thriller

Apa yang menyebabkan aku beli buku ni adalah disebabkan kesungguhan Tajul Zulkarnain mempromosi novelnya. Keyakinan si penulis terhadap karyanya begitu tinggi sampai aku sendiri pun tertanya-tanya…best sangat ke buku dia ni. Cover buku hampir sama dengan novel Manuskrip, so aku jangka mesti ader unsur mistik. So sebelum aku buat keputusan untuk beli novel ni, selalu jugaklah aku baca celoteh TJ (nama glamer dia sekarang) kat FB. Lama-lama cam aku pulak yang kena psycho. So I decided to buy…

Aku ambil masa 2 hari untuk selesai membaca novel ini. Guess what! Tiada watak perempuan berambut panjang mengurai, bermata merah menyala dengan wajah mengerikan sedang mengilai atau apa-apa watak seram yang trying hard to frighten the reader. Tapi buku ni membuatkan minda aku bercelaru sama seperti Ali si watak utama!




Jujurnya buku ini sangat menarik. Penceritaan tentang konflik dalaman dan kecelaruan minda seorang pesakit mental. Pada mulanya aku nak komen pasal plot cerita yang kurang kemas tapi the more you read baru kau faham apa yang cuba di sampaikan oleh penulis. Memang plot cerita tidak mungkin akan tersusun sebab ianya mengenai masalah jiwa dan halusinasi seorang lelaki yang menghidapi sakit mental.

Penggunaan bahasa yang santai dan mudah difahami. Begitu banyak plot twist terdapat di dalam perjalanan cerita ini menyebabkan jangkaan ku tersasar. Setiap bab mempunyai cliffhanger yang mendebarkan. Cuma aku agak keliru, bila pesakit yang terlupa ambil ubat selama sebulan kelihatan terlalu normal dan bijak. Mungkin aku yang tak berapa faham macamana kesan sampingan sekiranya seorang pesakit mental ni tak ambil ubat mereka. Sesekali Ali kelihatan seperti menghadapi masalah ‘split personality’.



Selain unsur thriller, penulis sebenarnya banyak mengangkat nilai kasih sayang dan perasaan hormat yang begitu mendalam terhadap ibu bapa. Di zaman sekarang erti hormat, adab dan tanggungjawab terhadap ibu bapa semakin menipis. Syabas buat penulis…bukan sekadar sebuah bacaan untuk hiburan tetapi terdapat juga ilmu baru buat pembaca.

Kelemahan disini aku rasa buku ni terlalu banyak menggunakan kata-kata kesat dan maki hamun. So novel ini hanya sesuai untuk pembaca berumur 18 tahun ke atas.
Sebenarnya aku tertanya-tanya jugak berdasarkan dialog dibawah:
‘Terfikir untuk bertanya mengapa doctor itu mengajukan soalan sedemikian tetapi dia takut ayat yang keluar dari mulutnya akan disalahtafsirkan. Doktor pakar sakit jiwa kuat berprasangka terhadap pesakit sendiri. Nanti mulalah dia hendak membuat bermacam-macam ujian terhadap Ali. Diam itu lebih baik.’

Ali melindungi sisi gelapnya dari doktor untuk mengelak dari dijadikan bahan ujian. Hakikatnya sakit Ali sebenarnya semakin serius. Kalau kes macam ni adakah ubat yang doktor prescribe itu salah disebabkan info yang diberi pesakit tidak telus? Maybe TJ boleh beri jawapan.


Masalah mental di Malaysia ni sebenarnya semakin meningkat mungkin disebabkan oleh tekanan sosial, ekonomi atau keluarga. Aku rasa buku ini diterbitkan at the right time sebagai satu pendedahan awal kepada pembaca tentang mental illness. Anyway well done TJ and wish you all the best..

Book Review #3: Pelukis Jalanan

Tajuk: Pelukis Jalanan
Penulis: Teme Abdullah
ISBN: 978-967-0990-11-8
Terbitan: Iman Publication
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Anekdot


"Jang!!! dah baca ke buku ni? Best sangat..Jang bacalah." - Ini WhatsApp anak sedara saya. Saya pun download gambar yang dihantar. Erm...Pelukis Jalanan "Belum baca lagi, pasal apa buku ni?" "Buku ni best Jang, banyak pengajaran." "Oklah, nanti Jang cari buku ni." Beberapa hari kemudian, ex-officemate ada hantar DM kat Instagram. "Bacalah cerita ni, ada part sedih, part kelakar, part struggle. Semua part pun best." Ok, fine nanti #pbakl2017, mesti cari buku ni.
Itulah detik perkenalan saya dengan buku "Pelukis Jalanan" karya Teme Abdullah. Kawan - kawan dan ahli keluarga memang tahu saya suka membaca, jadi mereka akan bagi tahu mana - mana buku yang best. Ini antara salah satu sebab kenapa senarai buku untuk dibaca tak pernah surut.


Pelukis Jalanan karya Teme Abdullah bukan lah sebuah novel cinta ya. Harap maklum, ini sebuah kisah berdasarkan pengalaman sebenar penulis. Pada saya satu pengalaman yang berbeza yang mana mungkin kita sendiri tidak pernah lalui. Buku ini tidak begitu tebal hanya mengandungi 215 muka surat. Dengan menggunakan bahasa santai, memang cepat betul habis baca. Buku Anekdot ini terbitan Iman Publications pada awal tahun 2016. "Ia kekal dongeng...jika engkau tidak mula berjalan - Teme"

Kisah bermula dengan lakaran komik yang berkisar tentang seorang bapa yang bercerita dengan anaknya tentang sebuah lukisan. Biasanya buku akan di mulakan dengan prolog, jadi komik ini adalah prolog kepada buku "Pelukis Jalanan" yang pada saya sangat menarik.




Buku ini menceritakan tentang perjalanan hidup penulis bila mana beliau membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan perbelanjaan sendiri selepas terkandas di peringkat A-Level. Bukan satu keputusan yang mudah tetapi kata - kata ibunya sering bermain di cuping telinga "Ibu mana yang tak risau memikirkan masa depan anaknya. Kalau boleh , mama nak anak mama ada ijazah. Teme fikirkanlah dulu ya?" Ibunya pula telah menyatakan kesanggupan mengadaikan rumah mereka bagi menampung perbelanjaan anaknya itu.

Mungkin ini adalah salah satu sebab mengapa Allah telah memurahkan rezekinya selama ini. Melalui kerja sampingan membuat design, dia mampu mengumpulkan duit simpanan yang agak banyak. Dia leka dan hampir melupakan pelajaran di peringkat A-Level. Inilah salah satu kekesalannya yang menyebabkan dia gagal mendapatkan biasiswa untuk belajar di luar negara.

Penulis mengambil kegagalan itu sebagai satu permulaan baru, melakukan pelbagai jenis kerja untuk menampung perbelanjaannya di UK. Dari pada kerja di restoran fast-food, melukis di tebing River Thames dan akhirnya mula mengambil tempahan lukisan di kanvas secara serius. Pada masa yang sama menjadi pelajar dalam bidang architecture.

Banyak lagi pengalaman yang diceritakan oleh penulis, liku - liku hidup di negara orang tidak semudah yang kita sangka. Setiap pengalaman yang di lalui adalah satu perkongsian yang sangat bermakna dan telah membuka mata kita tentang rahsia disebalik kejadian yang diatur oleh Allah S.W.T

Walaupun kisah ini tidak ada kaitan secara langsung dalam hidup saya, tetapi maksud tersirat setiap kisah sangat menyentuh hati. Satu bahagian yang memang telah membuatkan saya sendiri sebagai pembaca menitiskan air mata bila mana penulis mengisahkan tentang gembiranya dia dapat menjamah ayam goreng setelah sekian lama dia hanya makan nasi berlaukkan garam. Betul kata penulis, kita hanya akan menghargai sesuatu bila kita telah kehilanganya. Kita hanya akan sedar betapa besarnya nikmat Allah bila melalui detik - detik sebegini. Kita sekarang mungkin merasakan, nasi berlaukkan ayam goreng sesuatu yang biasa dan dah jemu untuk di makan. Cuba fikirkan, bagaimana satu hari nanti, kita tidak lagi mampu membeli seketul ayam goreng, pada masa itu mungkin baru kita tahu menghargai nikmat yang diperolehi sekarang.

Pengajaran yang paling penting dalam kisah "Pelukis Jalanan" pada saya ada 2 iaitu:
1) Hargai apa juga nikmat dan peluang yang ada di depan mata. Sesungguhnya, kita tidak akan mengetahui bila nikmat dan peluang itu akan ditarik semula.
2) Sentiasa ingat kepada Allah S.W.T, walau apa juga cabaran dan rintangan yang kita lalui. Sesungguhnya setiap aturan Allah itu pasti ada hikmah disebaliknya.

"JIKA TERLIHAT KECANTIKAN, INGATLAH PENCIPTANYA."

Book Review #2: Pemburu

Tajuk: Pemburu
Penulis: Hilal Asyraf
ISBN: 978-967-14642-0-5
Terbitan: Hilal Asyraf Resources
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Malay Fiction / Malay Thriller


Hari ini selesai sudah membaca sebuah naskah berjudul Pemburu hasil tulisan Hilal Asyraf. Imej di atas kulit buku ini sudah menunjukkan kita akan berdepan dengan sebuah cerita penuh aksi. Buku ini dikategorikan genre sains fiksyen dan mempunyai ciri-ciri genre fantasi urban.

Kenapa saya mengatakan ada suntikan fantasi urban sebab penulis mencipta sebuah negara yang cukup sempurna dan berjaya dari pelbagai aspek. Di waktu ini kita telah mempunyai sebuah unit ala Robocop yang turut bekerjasama dengan pihak polis, bagi saya tidak mustahil. Di dalam cerita ini menggambarkan harapan dan impian penulis terhadap kesejahteraan dan kepimpinan sesebuah negara. Malaysia digambarkan hebat di mata dunia baik dari segi ekonomi, teknologi, budaya, sosial, kepimpinan dan agama. Islam sebagai pemangkin utama. Saya rasa ini adalah pandangan penulis terhadap masa hadapan negara kita yang mana mewakili semua harapan rakyat negara ini.


Gambaran aksi pertarungan cukup mendebarkan. Kekuatan pemburu ditonjolkan begitu hebat dan luar biasa. Aksi tembakan lencong oleh pemburu dipaparkan di dalam buku ini mengingat saya kepada sebuah filem Wanted lakonan Angelina Jolie dan James McAvoy. Penulis berjaya menggarap aksi tersebut sehingga saya boleh membayang setiap gerakan penembak, luncuran dan lencongan sebiji peluru sebelum mengenai mangsa. Cukup menarik!

Demi memelihara kemakmuran sebuah negara bernama Malaysia, Bakri dan Mustafa terpaksa melalui cabaran yang hebat. Bakri membesar tidak seperti remaja lain malah terpaksa melalui pembedahan yang mengorbankan masa depannya. Mustafa pula terpaksa hidup bersama kisah lampau yang hitam tetapi itu dijadikan kekuatan untuk berdepan dengan musuhnya. kedua-dua anak dan bapa ini mempunyai misi untuk menumbangkan sebuah organisasi rahsia yang dinamakan sebagai Kesatuan Pemburu. Plot-plot cemas digarap dengan baik. Terdapat plot yang menyentuh emosi sehingga saya turut merasai kesedihan watak.

Di dalam buku ini banyak menceritakan tentang pengorbanan, kasih sayang, dan perjuangan yang berpaksikan ajaran Islam. Objektif tentang pembebasan Palestine dari belenggu Israel turut menjadi pemangkin utama di dalam keseluruhan cerita ini.

Antara bab yang boleh dikatakan memberi inspirasi berada di bab 18. Di dalam perjalanan mereka menuju ke tempat musuh untuk pertempuran akhir. Diantara dialognya adalah “Apa gunanya Al-Quran ketika ini. Kenapa dibaca Al-Quran itu sekarang? Pada situasi genting sebegini?” Jawapan yang diberikan Afam kepada Bakri dengan mengambil contoh kisah Musa AS yang tersekat diantara laut merah dan tentera Firaun boleh dijadikan inspirasi dan semangat. Untuk tahu lebih kenalah beli buku ini.

Tetapi apabila setiap aksi terlalu diperinci menyebabkan pembacaan jadi agak meletihkan. Penulis seakan memaksa pembaca untuk menghayati setiap inci gerakan sehingga penceritaan menjadi agak meleret. Malaysia diibaratkan terlalu sempurna tetapi unit pertahanan tampak terlalu lemah tidak seimbang dengan kehebatan teknologi yang di gambarkan. Hanya dua orang yang mampu menyelamatkan keselamatan negara. Unit Inteligen Kerajaan Malaysia yang digambarkan terhebat berbanding agensi Inteligen dunia seolah-olah bertugas sebagai polis biasa atau sekadar menjadi bodyguard sahaja.

Kelemahan itu tidak keterlaluan atau merosakkan jalan cerita. Hanya kekurangan yang boleh dimaafkan disebabkan jalan cerita yang menarik. Apa sekalipun kami D'ulatbuku mengucapkan syabas buat Hilal Asyraf.

Book Review #1: Nalar ~ Biar dia rasa, harga sebuah dosa.


Tajuk: Nalar ~ Biar dia rasa, harga sebuah dosa.
Penulis: Sharina Elisa
ISBN: 978-967-0990-11-8
Terbitan: S.O Publishing
Tahun terbitan: 2017
Kategori: Malay Fiction


Seperti biasa salah satu hobi saya ialah browse website publisher buku. Mencari sekiranya ada buku baru yang mampu menarik tangan untuk klik button 'BUY'. Hati tergerak nak buka website bukuso.com lepas nampak promosi kombo kat instagram diorang. 3 buah buku RM70 free postage....murah tu. heheheheh.

Scroll punya scroll ternampak lah buku ini - NALAR "Biar dia rasa, harga sebuah dosa". Uh....sentap ayat ni. Cerita misteri ke? Seram ke? Cover buku dah warna gelap, hitam, nampak bayang 2 orang dalam kegelapan. Cover buku ini macam ada ala - ala buku novel thriller english sikit, ada pagar kayu yang dah hampir reput. Satu persoalan timbul, ke mana hala tuju lorong gelap ini???


Buku nukilan Sharina Elisa dan diterbitkan oleh SO Publishing ini mengandungi 268 muka surat. Saya pertama kali baca karya penulis ini. Kenapa tajuk buku ni NALAR? Korang tahu apa maksud NALAR?

Bila sebut kisah berkaitan high-tech IT, secara automatik kita akan terbayang cerita seperti RoboCop, The Machines, Iron Man. Filem-filem ini berkisar tentang bagaimana teknologi telah berjaya mencipta sesuatu yang hebat dan menjadi rebutan pelbagai pihak. Sedikit sebanyak sebelum saya mula membaca, bayangan kisah sebegini telah berada dalam fikiran. Expectation saya agak tinggi pada buku ini.

Buku ini saya habis baca dalam masa lebih kurang 4 jam. Penggunaan bahasa yang mudah dan santai membantu pembaca memahami jalan cerita. Tahniah kepada penulis kerana berjaya membuat kesinambungan setiap bab terjalin dengan kemas. Prolog buku ini menarik dan ringkas. Apabila dibaca, ianya terus menekankan konflik yang bakal terjadi dan menimbulkan tanda tanya kepada pembaca.

Fella seorang kanak-kanak perempuan yang bijak, menjadi buruan Ghaffar bapa saudaranya sendiri. Ibu bapa Fella telah mengimplankan cip komputer ciptaan mereka ke dalam otak Fella. Dr. Imanina bertanggungjawab menjaga Fella setelah ibu bapanya dibunuh. Fella perlu dipastikan tidak dapat dikesan musuh.

Konflik dimana Fella terlihat email Dr. Imanina kepada pihak tentera. Perkara itu menimbulkan rasa kecewa dan sedih sehingga Fella cuba melarikan diri. Tetapi penyelesaian konflik itu ditamatkan dengan mudah apabila rumah mereka diserang. Sentuhan emosi disitu kurang menjadi.

Perkaitan antara Ibu bapa Fella dengan Dr. Imanina juga tidak jelas. Watak Dr.Imanina seolah - olah wujud secara terpaksa dan dia perlu memikul tugas menjaga cip dan Fella kerana Prof Farhan & Prof Amelia mati dibunuh. Plot pembunuhan dan bagaimana Dr. Imanina melepaskan diri tidak diceritakan. Sekiranya plot ini wujud, ianya akan menjadikan kisah ini lebih menarik.

Perbualan antara watak Fella dan Fathul tidak seperti kanak-kanak yang berusia 4 tahun. Hanya Fella yang diketahui sebagai bijak, petah berkata dan berfikiran tajam tetapi tidak bagi Fathul. Agak mengelirukan.

Apa motif cip itu dicipta, bagaimana ianya bermula dan apa akibat sekiranya cip ini jatuh ke tangan orang yang salah tidak dijelaskan dengan mendalam.

Jujurnya garapan cerita agak mendatar. Bagaimana pun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Buku ini boleh di kategorikan buku sci - fi yang ringan, kurang istilah - istilah teknologi yang kompleks yang perlu dihadam oleh pembaca. Ada diselitkan unsur - unsur keagamaan, nasihat dan di pengakhiran cerita ada di selitkan kisah cinta.

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...