Book Review #32: Raudhah



Tajuk: Raudhah
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Alaf 21 (Grup Buku Karangkraf)
Tahun Terbit: 2015

Sinopsis:

Joker dan White - Gabungan 2 penjenayah professional yang hanya  berkomunikasi menerusi email. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain, namun sentiasa berhubung demi satu tujuan - menghapuskan mawar putih.

Faris dan Hambali - Mereka rakan ketika di sekolah, tapi terpisah bila Faris lari dari kampung. Pertemuan kembali di perkarangan masjid merapatkan kembali persahabatan mereka. Faris nekad untuk berubah dan meminta pertolongan Hambali. Namun percaturan Allah lebih hebat dari perancangan hambanya.

Raudhah - Taman-taman syurga. Hanya iman dan takwa mampu membimbing manusia untuk menemui raudhahnya. Siapakah Raudhah yang dicari oleh Faris?

Tentang Penulis:

Buku ke-24 karya novelis Tuan Ramlee Awang Murshid berjudul Raudhah. Karya ini telah diterbitkan pada tahun 2015 oleh ALAF 21 @Grup Buku Karangkraf. Tuan Ramlee merupakan novelis yang berasal dari Sabah dan telah banyak menghasilkan novel-novel berunsurkan thriller.

Novel bergenre thriller ini mengisahkan kehidupan Joker seorang pembunuh upahan. Joker menjadi buruan polis, namun dia masih gagal diberkas. Kehidupan Joker mula berubah bila dia telah mengalami serangan jantung yang menyebabkan jantungnya berhenti selama tiga minit. Keajaiban berlaku bila dia masih hidup dan kesnya menjadi satu tanda tanya. 

Ulasan:

Setelah selesai membaca helaian demi helaian saya akhirnya memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Kisah ini bukan sekadar cerita aksi kosong tanpa hala tuju. Kisah ini bukan hanya tentang seorang pembunuh upahan dan siasatan polis terhadap semua kes-kes pembunuhan yang telah dilakukan. Kisah Joker atau Faris mempunyai maksud yang lebih mendalam.

Jantung Joker telah telah terhenti selama 3 minit. Menurut ilmu perubatan, Joker telah mati. Namun keajaiban berlaku dan jantungnya kembali berfungsi. Ya, Allah memberikannya peluang ke-2. Dia kemudiannya dipertemukan dengan rakannya Hambali.

Hambali merupakan rakan sekolah dan tinggal sekampung dengan Faris. Keluarga mereka saling mengenali antara satu sama lain. Faris ketika remaja telah melarikan diri dari kampung kerana tidak tahan didera oleh pak ciknya. Sejak itu mereka telah terpisah. Takdir menemukan mereka kembali di hadapan rumah Allah S.W.T.

Hambali sangat gembira kerana bertemu kembali dengan Faris, rakan yang telah banyak mempertahankan dirinya dari dibuli pada zaman sekolah dahulu. Pada Hambali, Faris adalah penyelamat dan rakan karibnya.

Sejak peristiwa jantung Faris terhenti, dia mula sedar akan semua kesilapan dan dosa yang telah dilakukan. Pertemuannya dengan Hambali telah menguatkan lagi hati Faris untuk segera bertaubat. Dia takut sekiranya maut datang menjemputnya tanpa amaran.

Namun, jalan yang harus dilalui tidak semudah yang disangka. White, rakan subahatnya tidak mahu melepaskan Joker begitu sahaja. Joker kini buruan White.

Kisah Faris adalah satu bentuk simbolik tentang hidayah dari Allah S.W.T. Selagi kita yang bernama hamba-Nya masih diberikan nafas untuk hidup, pintu taubat itu sentiasa terbuka. 3 minit yang dilalui oleh Faris telah mengubah segala-galanya. Faris yang dulunya seorang yang jahat, membunuh tanpa rasa bersalah telah diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah untuk berubah.

Tempoh masa yang singkat di dunia tetapi cukup panjang di alam sana. Faris telah melalui satu kehidupan sebagai seorang Awwabin (orang yang bertaubat). Dia telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang lelaki berbangsa Arab. Walaupun hakikatnya Faris tidak membunuh lelaki tersebut. Namun undang-undang di negara Arab amat ketat. Hukuman hudud diguna pakai disana. Tawaran diyat boleh dilakukan sebagai balasan memohon maaf kepada keluarga mangsa sekiranya mereka bersetuju.

Di sini, keluarga mangsa meminta tawaran diyat yang sangat tinggi. Oleh itu, Faris tidak mampu membayarnya dan bakal dijatuhkan hukuman pancung. Reda dengan ketentuan dari yang Maha Esa, Faris mengisi saat-saat akhir dalam hidupnya dengan beribadah dan memohon keampuan dari Allah S.W.T.

Pandangan saya karya ini bagus untuk bacaan kerana bukan saja ditulis untuk hiburan tetapi mempunyai mesej yang baik. Setiap dari kita adalah hamba Allah yang tidak pernah leka dari melakukan kesalahan. Mohonlah pengampunan dari Allah S.W.T.

Kisah ini menceritakan seseorang manusia sekiranya ditunjuki jalan yang benar pasti mampu untuk menjadi insan yang baik. Faris pada awalnya telah bertemu dengan orang yang salah lalu mengikut jalan yang sesat. Namun dia diberikan peluang untuk berubah dan menjadi seorang insan yang lebih baik.

Faris adalah satu contoh watak manusia yang telah melakukan dosa dan Allah S.W.T menghadirkan hidayah kepadanya dalam bentuk yang tidak disangkakan. Hidayah dari Allah datang dengan pelbagai cara dan Faris menerimanya ketika dia dalam koma.

Begitulah kehebatan Allah, hidayah didatangkan dengan pelbagai cara yang tidak kita jangkakan. Semoga kisah ini menjadi satu pengajaran buat kita. 

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...