Book Review #33: Scarlett




Tajuk: SCARLETT
Penulis: Sha Hanim Ramli
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: HuCAD Consultants

SCAR – parut.
SCARLETT – parut lama yang harus dilepaskan.

Titisan air mata yang mengalir sudah cukup menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh empunya diri. Mata itu menyimpan seribu rahsia yang tidak mampu diluahkan kerana tiada siapa yang mengerti. Kulit buku ini telah menzahirkan kisah derita seorang manusia yang mungkin tidak terfikir oleh kita yang tidak mengalaminya.

Novel SCARLETT mengetengahkan isu kemurungan yang mungkin tanpa disedari sedang menular dalam masyarakat kita. Teknologi yang bergerak maju seperti telah mengurangkan kadar sensitiviti manusia kepada perubahan sekeliling. Masyarakat sekarang sudah tidak mahu lagi menjaga tepi kain orang lain.

SINOPSIS
Qaseh tidak pernah rasa bahagia dan gembira. Sejak kecil lagi dia diherdik dan dicaci oleh ibu tirinya. Malah bapanya sendiri menggangap dia seorang yang membawa sial kerana menyebabkan kematian ibu kandungnya Che Indah.

Di sekolah dia tidak pernah disukai oleh rakan seusianya kerana mereka menggangap Qaseh seorang yang pelik. Hanya Aliya tempat dia meluah rasa dan menjadi sahabat baiknya. Namun, Aliya pergi meninggalkan Qaseh kerana penyakit leukimia. Episod hitam dalam hidup Qaseh bermula bila dia  mengambil tindakan lari dari rumah. Dia ingin lari dari belenggu ibu tirinya, tapi dia dibelenggu pula oleh Jaslin dan Haedar.


“SCARLETT”
Depresi, andai tidak dirawat bakal meragut nyawa sendiri.
Maka biarlah badai itu berlalu…
“Tapi kalau tuan berani berdepan dengan wanita psycho, dialah orangnya.”
Cuma perlu ingat, jangan berumah tepi pantai kalau tidak sanggup dilambung ombak”
“Aku dulu terlatih sebagai tentera risik pun tak terfikir untuk cipta system dalam otak sendiri, atau untuk hidupkan semula otak yang ‘mati’ macam otak dia itu”


PANDANGAN TERHADAP NOVEL INI
Setiap manusia di dunia ini melalui pelbagai jenis dugaan dan ujian dari Allah S.W.T. Jalan hidup setiap hamba-Nya adalah berbeza antara satu sama lain. Diberikan kelebihan di satu perkara dan diberikan kekurangan untuk satu perkara yang lain.

Qaseh telah melalui berbagai rencah hidup dan akhirnya menemukan dia dengan April. Rakan serumahnya ini sedia maklum dengan penyakit kemurungan yang ditanggung oleh Qaseh. April nekad untuk membantu kerana tidak mahu peristiwa yang menimpa sahabatnya Nabila berulang kembali.

"Kematian Nabila menunjukkan betapa masyarakat normal terlalu leka dengan permasalahan depresi. Bukan salah dia, tetapi salah kami yang normal, tidak membantu dengan sebaiknya."

Arash hadir untuk membantu mengeluarkan Qaseh dari belenggu kemurungan. Bukan satu tugas yang mudah kerana Qaseh tidak ingin berkongsi pengalaman pahitnya dengan sesiapa. Apabila seorang pesakit depresi terus menutup pintu mindanya kepada orang luar, maka semakin sukarlah usaha untuk mengeluarkan mereka dari ruang minda yang negative itu.

Qaseh, tambahkan serotonin, insya-Allah akan dapat kembali hidup normal seperti orang lain.

Kisah ini bertambah menarik setelah sampai ke bab-10. Watak Qaseh sentiasa berubah-ubah, sekejap pendiam, sekejap riang dan ada masanya seperti sangat kejam. Qaseh mula merancang untuk menghapuskan orang-orang yang mengakibatkannya mengalami satu pengalaman hitam dalam hidupnya. Seorang demi seorang dijejaki oleh Qaseh. 9 jahanam itulah yang diburu oleh Qaseh untuk menghapuskan traumanya.

Kisah 9 jahanam ini dibongkar satu persatu. Semakin lama, pembaca akan mengetahui kisah silam Qaseh sedikit demi sedikit. Masih menjadi tanda tanya adakah Qaseh betul-betul membunuh 9 jahanam ini. Bila difikirkan kembali, Qaseh yang lemah lembut itu, mampukah dia menewaskan kesemua musuhnya? Jika diteliti kembali, perkara ini mungkin tidak mustahil bila mengingatkan betapa agresifnya Qaseh ketika kemurungannya melanda. Di sini penulis dengan bijak dan berjaya memanipulasi fikiran pembaca.

Penulis juga telah berkongsi banyak maklumat tentang apa itu depresi, bagaimana ianya terjadi dan apakah rawatan yang perlu dilalui oleh orang yang mempunyai masalah depresi ini. Sesi terapi bersama Dr. Hananee sedikit sebanyak memberi pendedahan tentang kaedah dan juga rawatan yang dilakukan untuk pesakit depresi.

Dari segi gaya bahasa dan plot cerita, penulis telah menyusun dengan kemas dan baik. Sebuah kisah masyarakat yang patut diketengahkan dan dibaca oleh lebih ramai orang bagi meningkatkan kadar kesedaran tentang masalah kemurungan.

Tahniah untuk penulis kerana berjaya menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada pembaca secara khususnya dan kepada masyarakat secara amnya.

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...