Book Review #26: Banja Manggala



Tajuk: Banja Manggala
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: Grup Buku Karangkraf (Buku Prima)

Sinopsis


Amar seorang kanak-kanak Bosnia yang diselamatkan oleh pasukan komando Malaysia pada penghujung Perang Bosnia 1995. Dia kemudiannya diambil sebagai anak angkat kepada Dato' Husam (seorang jeneral) dan isterinya Datin Normazlina. Amar seorang kanak-kanak yang pendiam dan tidak mahu bercakap denga sesiapa sehingga dia bertemu Rania anak kepada pasangan ibubapa angkatnya. 

23 tahun berlalu, Amar mula mengalami peristiwa pelik. Dia sering diganggu oleh bayangan seekor serigala salji. Ia seperti cuba menyampaikan sesuatu yang tidak Amar fahami. Lalu dia nekad mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Bermulalah misi Amar mencari kebenaran.


Rania bertugas di sebuah stesen penyiaran dan dalam proses menyiapkan program travelog musim ke-2. Kejadian yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Dia diculik!

Amar sekarang ada 2 misi penting, mencari kebenaran tentang serigala salji dan menyelamatkan adik angkatnya Rania. Adakah kedua-duanya ada kaitan dengan mitos Banja Manggala? 


Ulasan

Tuan Ramlee Awang Murshid kembali lagi dengan novel ke-29 beliau bersama Grup Buku Karangkraf. Kali ini beliau tampil dengan kisah fantasi thriller berkisar tentang mitos Banja Manggala - manusia serigala. 

Terdapat beberapa konflik yang menjadi asas kepada kisah ini. Berlatar belakangkan kisah Perang Bosnia yang terjadi sekitar tahun 1995 dan karya ini banyak menceritakan kesan perang tersebut dan pengalaman mereka yang melalui konflik berdarah itu.

Amar, Lamifa adalah antara anak-anak Bosnia yang telah dibawa ke Malaysia setelah diselamatkan semasa perang tersebut. Kanak-kanak ini mengalami trauma yang teruk dan ingatan mereka terhadap peristiwa pahit itu telah terpadam.



Cerita ini dimulakan dengan peristiwa pasukan komando Malaysia menyelamatkan Amar dari kawanan serigala. Prolog cerita telah mula mencetuskan perasaan ingin tahu tentang kenapa akhirnya serigala itu tidak menyerang mereka dan berundur secara aman. 

Kisah diteruskan pada masa kini, watak-watak utama mula muncul memperkenalkan diri. Pembaca diperkenalkan dengan Amar, Rania, Haslinda, Firdaus, Dato' Husam dan Datin Normazlina. Pengenalan watak yang bersahaja bersama karakter masing-masing. 

Terdapat beberapa konflik dalam kisah Banja Manggala ini. Penulis menyusun konflik ini dengan sangat bijak. Berdasarkan pembacaan, dibawah adalah konflik yang dapat dikenalpasti:

1) Amar dan misteri bayangan serigala salji
2) Cadangan Dato' Husam untuk menyatukan Amar dan Rania
3) Lamija yang mencari keluarga kandungnya
4) Misteri kes pembunuhan di lembah banjaran Bosnia-Herzegovina
5) Penculikan Rania, Haslinda dan Firdaus
6) Amar, Vuk dan dendam Kar

Expected, unexpected. Plot twist yang tidak dijangka. Orang yang kita sangka baik, rupanya bertopengkan syaitan. Kelebihan Amar menyebabkan banyak plot suspen berjaya menipu kita sebagai pembaca. Ingatkan begitu, rupanya jadi begini. 

Cliff hanger karya ini kuat dan mampu menyebabkan pembaca tidak senang duduk selagi tidak bertemu kata penamat. Kisah cinta yang tidak berlebihan, kisah ikatan kekeluargaan yang amat kental dan persahabatan yang jitu. 

Satu lagi point penting yang ditekankan oleh tuan RAM ialah solat dan doa. Ini adalah senjata orang muslim yang paling hebat. Tidak kira dalam apa juga keadaan sekalipun, jangan sesekali kita lupa meminta pertolongan dari Allah S.W.T

"Singgah surau dulu. Cepat Hasanovic, usah lengahkan solat. Nanti ALLAH menahan rahmat-Nya ke atas kita!" - Cavak Salih

Hubungan Amar dengan Sang Alpha berjaya menyentuh hati. Kisah mereka walaupun telah lama terpisah tapi kepercayaan dan kasih sayang masih terpahat kukuh. Bila Sang Alpha (tua) akhirnya mati dibunuh, Amar sangat terasa kehilangannya.

Di samping itu, penulis juga berkongsi keindahan Bosnia dan kisah Perang Bosnia turut diselitkan dalam karya ini. Sebuah novel yang tidak harus dilepaskan dan patut dibaca oleh semua lapisan masyarakat. 

2 comments:

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...