Penulis:
Syeraho
ISBN:
9789832423645
Tahun
Terbit: 2019
Penerbit:
Iman Publication
SINOPSIS
Athena
– terhasil daripada projek penyelidikan khas untuk menghasilkan neo-manusia.
Tujuannya untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. Namun disebalik kejayaan
itu, Athena sebenarnya dihasilkan untuk tujuan ketenteraan. Bakal menjadi senjata
yang paling berbahaya.
Mengetahui
kebenaran itu, Dr. Aria nekad melarikan Athena dari makmal. Dia tidak mahu
Athena disalahgunakan untuk tujuan yang jahat.
Adakah
penciptaan Athena mendatangkan kebaikan atau kemudaratan?
ULASAN
Secara
umumnya novel ini sebuah karya fantasi santai dan tidak terlalu berat untuk
difahami oleh semua lapisan pembaca. Penulis berjaya menghasilkan satu kisah
yang agak menarik dan mempelbagaikan lagi pilihan bahan bacaan di pasaran. Bahasa
yang digunakan mudah dan senang untuk difahami. Penerangan tentang jenis
senjata pada awal buku turut membantu pembaca untuk memahami kegunaan dan
bayangan setiap alatan yang digunakan.
PLOT CERITA
Penulis
berjaya membina plot cerita yang menarik dari mula hingga ke akhirnya. Sebagai
pembaca, saya dapat mengikuti jalan cerita dan memahaminya dengan baik. Mungkin
ada beberapa persoalan yang tidak terjawab setelah habis membaca buku ini, tapi
penulis seperti telah memberikan clue, akan ada sambungan. Jadi pada pendapat
saya, persoalan yang tidak terjawab itu tidaklah begitu mengganggu kerana ia
bukan subjek utama kisah ini.
Projek
Athena adalah sebuah kisah pada masa hadapan iaitu berlaku pada tahun 2095.
Pendapat saya, terdapat beberapa elemen yang kurang sesuai dengan konsep masa
hadapan. Antaranya, Dr. Aria mendengar lagu menggunakan MP3. Pada masa sekarang
pun, telah banyak medium digital lain yang digunakan untuk mendengar muzik
seperti Spotify, iTunes, SoundCloud. Jadi saya rasa penggunaan MP3 agak kurang
relevant dalam kisah ini.
Senjata
yang digunakan juga agak kurang menepati ciri-ciri masa hadapan. Athena selalu
menggunakan pisau untuk menumpaskan lawannya. Ya betul kemahiran dan kelajuan
Athena telah dipertingkatkan, tapi penggunaan pisau yang dibaling secara pantas
tidak menampakkan kehebatan Athena. Mungkin pisau dan rifel yang digunakan
boleh dipertingkatkan fungsinya.
Penulis
harus diberikan pujian atas tulisan beliau untuk babak-babak pertempuran.
Sebagai seorang wanita dan penulis baru, saya agak kagum dengan cara
penceritaan babak pertempuran ini. Tahniah untuk penulis.
PERWATAKAN
Watak
Dr. Aria agak kurang meninggalkan kesan kepada keseluruhan cerita. Berdasarkan
jalan cerita, Dr. Aria merupakan orang yang mempengaruhi Athena. Dia yang
banyak mengajar dan menjaga Athena sepanjang berada di dalam makmal. Namun,
apabila kecelakaan menimpa Dr. Aria, wataknya seperti tidak memberikan impak
kepada keseluruhan kisah ini. Watak itu hilang begitu sahaja.
Begitu
juga dengan watak Athena. Karakter Athena tidak dicipta dengan teliti. Tidak
ada gambaran secara menyeluruh tentang watak ini, apakah kekuatannya, apakah
yang mengawal otaknya. Apa yang pembaca tahu hanya berdasarkan ujian-ujian yang
dijalankan seperti kadar regenerasi yang pantas. Dari segi emosi, sebagai
pembaca tidak dapat begitu merasai apa yang Athena rasa.
Watak
Tuan Ezakiel yang jahat dan kejam juga agak kaku. Saya tidak dapat merasai
kejahatan dan kekejaman Tuan Ezakiel. Sebagai pembaca, saya ingin merasa geram,
marah dengan si jahat ini tapi tidak kesampaian. Watak antagonis dalam novel
ini perlu diperkuatkan lagi untuk membantu watak utama lebih menyerlah.
KESIMPULAN
Naskah
ini tidak rugi untuk dibaca. Percubaan penulis untuk menghasilkan karya sci-fic
pada saya boleh diperbaiki lagi. Buku ini boleh pergi lebih jauh sekiranya
beberapa elemen penting diperbaiki dan diperhalusi.
Untuk
penulis, teruskan usaha anda dalam menghasilkan karya yang bermutu dan hebat.
Diharapkan point-point di atas dapat membantu penulis dalam karya yang
seterusnya.
Tahniah!