Tips memilih buku yang sesuai untuk diri anda.



Assalamualaikum semua. Hai Geng TheUlatBuku.

Hari ini admin ingin berkongsi tip-tips untuk memilih buku yang sesuai untuk diri anda. 

Pilihan buku yang sesuai penting kerana jika kita memilih buku yang salah ini mungkin akan memadam keinginan untuk membaca. Kita mungkin merasakan membaca buku satu aktiviti yang membosankan. Dengan itu minat kita untuk membaca akan berkurang dan yang paling teruk mungkin hilang untuk selama-lamanya. Alangkah ruginya sekiranya nikmat ini tidak digunakan hanya kerana kita membuat pilihan yang salah.

Jadi, admin tidak mahu ini terjadi kepada anda. Apa kata anda ikuti tip-tips di bawah untuk memilih buku yang sesuai dengan diri minat anda. Jadilah pembaca yang bijaksana.

1) Kenalpasti minat anda. Adakah anda seorang yang suka mengembara? Atau suka kepada sesuatu yang penuh suspen? Atau aksi? Atau anda seorang yang sukakan fakta? Apa yang anda suka akan membantu anda dalam menentukan pilihan buku yang sesuai.

Suka mengembara?
  • Mungkin anda akan berminat dengan kisah yang ditulis dalam travelog. Pengalaman sebenar pengembara lain yang sudah sampai ke sesuatu tempat yang anda ingin tuju. Anda pasti akan dapat banyak maklumat yang berguna untuk kembara anda nanti. 
  • Anda juga mungkin akan teruja bila membaca kisah yang berlatar belakangkan sesuatu tempat yang istimewa. Ini kerana kisah sebegini biasanya akan memberi gambaran tentang tempat tersebut bagi menaikkan mood pembaca.
Suka membaca fakta?
  • Jika anda seorang yang sukakan fakta, buku berbentuk ilmiah, biografi dan non-fiksyen mungkin pilihan yang baik. Buku tentang pengalaman hidup juga sesuai memandangkan ianya berdasarkan kisah benar.

2) Baca blurb di kulit belakang buku.
  • Blurb adalah petikan yang menggambarkan serba sedikit apa yang ditulis dalam buku tersebut. Ini adalah salah satu penentu samaada buku tersebut sesuai dengan minat anda atau tidak. Sekiranya bila anda membaca blurb dan ada rasa tarikan, mungkin buku tersebut sesuai dengan diri anda.

3) Baca reviu tentang buku tersebut.
  • Sebelum membeli atau membaca sesebuah buku, cuba cari dan baca dulu reviu pembaca lain tentang buku tersebut. Komen dan reviu dari orang lain mampu membantu anda mengenalpasti adakah buku itu berada dalam ciri-ciri yang anda kehendaki. 
  • Anda boleh baca reviu pembaca lain di goodreads, blog, facebook, instagram. Jangan lupa boleh baca reviu juga di blog kami Dulatbuku

4) Baca prolog buku tersebut.
  • Biasanya di kedai-kedai buku, akan ada sample buku untuk pembeli baca dahulu. Prolog adalah satu ringkasan kepada mungkin pengakhiran atau masa depan kepada keseluruhan cerita. Prolog biasanya akan memberi gambaran awal kisah dalam buku tersebut. Jadi anda boleh membuat penilaian dari sini.

5) Kenali gaya tulisan penulis.
  • Gaya tulisan seseorang penulis juga memberi kesan kepada minat membaca. Adakah anda seorang yang sukakan sesuatu yang santai atau sastera. Jadi mengenali gaya tulisan penulis dapat membantu anda mengenalpasti buku dari penulis mana yang anda minati. 

6) Berbincang dengan kawan-kawan tentang buku-buku yang mereka telah baca.
  • Ini juga salah satu cara mudah untuk mendapat maklumat buku apa yang menarik untuk dibaca. Kawan-kawan biasanya satu rujukan yang mudah kerana mereka akan mencadangkan sesuatu yang sesuai dengan anda. Kawan kita pastinya sudah mengenali sifat kita, jadi apa yang mereka kongsikan pasti akan membantu kita membuat keputusan yang tepat.
7) Baca bab-bab awal di aplikasi Wattpad.




  • Jika anda telah mencuba tip-tips di atas tapi masih ragu-ragu, apa kata anda baca bab awal buku tersebut di aplikasi Wattpad. Aplikasi ini digunakan oleh ramai penulis dan penerbit untuk memberi ruang kepada kita membaca bab-bab awal sesebuah buku. 
  • Anda boleh download aplikasi ini di Google Play dan mula membaca di aplikasi ini. 


Jadi, admin harap dengan tip-tips di atas dapat membantu anda sekali dalam mencari buku idaman hati. Anda berhak membuat pilihan dan jadikan membaca satu hobi yang menyeronokkan. Membacalah, baru style!

Book Review #25: Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru



Tajuk: Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru
Penulis: Hilal Asyraf
Tahun Terbit: 2017
Terbitan: Hilal Asyraf Resources

#UlasKaryaHAR2018
#ulasanbuku
#bookreview

Cerita ini berkisar tentang mereka yang mempunyai kuasa dan bagaimana mereka menggunakan kuasa tersebut sama ada ke arah kebaikan atau kemungkaran. Lutello seorang maharaja bagi kerajaan Mukan'Aja yang kaya raya dan berkuasa. Dia menggunakan harta kekayaan dan kuasanya untuk meluaskan empayarnya. Namun sayang sekali, Lutello tidak percaya kepada Allah. 

Ariki, Raja Muda pada kerajaan ini, tapi dia tidak suka mengikut cara ayahandanya. Ini menyebabkan kemarahan Lutello. Dia memaksa Ariki mengikut cara hidupnya sehingga Ariki mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Kelebihan karya:

1) Karya ini menunjukkan dan menjelaskan, kita sebagai manusia perlu menggunakan akal fikiran untuk membuat pilihan yang betul. Ariki seorang pemuda yang dari kecil telah didedah dan diajar oleh ayahanda untuk melakukan maksiat. Ditabur dengan harta kekayaan, tapi dia membuat pilihan untuk tidak mengikut kehendak tersebut dan sanggup lari dari kesenangan hidup. 

Cerita ini seperti inspirasi dari kisah Ashabul Kahfi yang melarikan diri dari kezaliman raja mereka, lalu ditidurkan Allah untuk satu jangka masa yang lama. Begitu juga dengan Ariki, walaupun pada masa itu belum lagi memeluk Islam, dia memilih untuk melarikan diri dari ayahandanya dan dia dipertemukan dengan Aifer dan Kabeer yang melindunginya.

2) Dalam karya ini juga diterapkan dan ditonjolkan semangat juang yang tinggi dalam menegakkan agama Islam. Ibu Umeira walaupun telah ditangkap dan dipenjarakan, tapi dia tidak pernah berhenti berusaha, berdoa dan mengamalkan ajaran Allah. Ini kerana dia percaya dan berserah kepada kuasa Allah S.W.T

3) Kisah ini juga menerangkan dan menegaskan solat itu tiang agama. Kita dapat lihat dan baca, walau apa juga keadaan Aifer tidak pernah meninggalkan solatnya. Ketika Aifer dan Ariki berada dalam hutan dan berlawan dengan tumbuhan yang hidup, mereka bergilir-gilir solat dan pada masa yang sama berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling.

"Jadi mengapa seorang muslim perlu solat sehingga lima kali sehari?"

"Kerana fitrah manusia itu memerlukan Tuhan. Solat bukan untuk menambah kuasa Allah, Maha suci Allah telah sedia Maha Perkasa tanpa perlu dibantu sesiapa. Solat itu untuk manusia, mempunyai waktu khusus memfokuskan diri hanya kepadanya, memisahkan keperluan terhadap dunia. Memohon kekuatan untuk terus hidup , mewaraskan semula akal dengan mengembalikan fokus minda. Solat juga mendisplinkan seorang Muslim, untuk peka dan sensitif dengan masa, mengatur kehidupan dengan lebih baik. Tidak semata-mata hidup mengikut arus." - petikan dalam Hikayat Satria Satria Sejati

4) Setiap satria dalam novel ini mempunyai kuasa yang unik iaitu mampu mengawal unsur-unsur alam dengan baik. Unsur yang paling menarik ialah unsur tanah yang mana mereka ini mampu mengawal tumbuhan dan mencipta sesuatu seperti rumah. Ini adalah cara menarik untuk memaparkan bagaimana mereka mengawal kuasa unsur yang ada pada mereka. Semakin tinggi penguasaan terhadap sesuatu unsur membolehkan mereka menggabungkannya dan mencipta serangan yang lebih hebat. 



Kelemahan karya:

1) Garapan kisah Gardin Ramsi, agak longgar dan kurang terperinci. Konflik yang wujud antara mereka juga tidak berapa jelas, sama ada Gardin Ramsi dengan rela melepaskan Mikail yang telah diasuh dari kecil begitu saja untuk mengikuti Ariki dan rakan-rakannya. Walaupun sebelum itu mereka ada berbincang atau bertegang urat, tapi ketegangan plot itu agak mendatar. 

2) Karekter Wirawan dan Wirawati kerajaan Mukan'Aja kurang dirasai kejahatan dan keganasannya. Walaupun ada diceritakan kejahatan yang mereka lakukan, namun aura itu tidak begitu terbayang bila membaca kisah ini.

Pendapat keseluruhan:

Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru merupakan sebuah masterpiece yang baik dengan garapan dan plot cerita yang menarik. Kisah ini walaupun mempunyai banyak watak, namun setiap dari mereka membawa karakter yang berbeza-beza. Cabaran yang mereka lalui berlainan tetapi bila digabungkan ianya menjadi satu kisah yang sangat menarik. Seperti biasa penulis tidak pernah lupa untuk menerapkan ilmu-ilmu agama yang berguna untuk panduan pembaca. Kelemahan yang saya nyatakan di atas adalah sangat minimal dan tidak mencacatkan jalan cerita novel ini. Bacaan yang sangat sesuai untuk setiap lapisan masyarakat dan yang pasti kita akan beroleh manfaat dari kisah perjuangan Ariki dan sahabatnya.


Cadangan penambahbaikan:

1) Menambah sedikit lagi emosi kekeluargaan kepada hubungan Gardin Ramsi dan Mikail. Kisah bagaimana mereka bertemu mungkin dapat membangkitkan rasa kasih sayang dan pengorbanan ketika Mikail ingin meninggalkan ayah angkatnya.

2) Tambahkan ciri-ciri watak jahat supaya pembaca dapat mendalami semangat perjuangan Satria Sejati dalam menentang kerajaan Mukan'Aja dan perjalanan mereka dalam mengumpulkan semula Satria Sejati terdahulu. 

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...