Tajuk : Stigma
Penulis : Muharikah
Penerbit : Iman Publication
Bagaimana jika seseorang tahu mencintai 'Si Dia' itu bukan fitrahnya, tapi perasaan itu tak mampu dibendung?
Ulasan Buku
LGBTQ satu isu yang hangat diperkatakan di media masa mahupun di sosial media. Begitu banyak kecaman serta kebencian ditonjolkan oleh masyarat terhadap golongan ini. Tidak dinafikan perbuatan mereka ini menyalahi hukum agama dan cukup dimurkai Allah. Namun dari perspektif yang lain pula salah satu sebab kewujudan mereka ini juga berpunca dari stigma yang terdapat di dalam masyarakat kita.
Novel Stigma ini menceritakan kehidupan dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh golongan yang bergelumang dengan kehidupan LGBTQ. Bak kata penulis novel ini, terbitnya novel ini bukan untuk memenangkan satu pihak dan menyalahkan pihak yang lain tetapi lebih membuka ruang diskusi bagi merungkai masalah yang ada.
Bermula dengan kisah Iman Syahirah yang bertugas sebagai seorang doktor di wad penyakit berjangkit. Tugas dan tanggungjawab digalas oleh Iman cukup mencabar dan memberi tekanan yang hebat. Iman dibantu oleh Faris doktor muda yang baru sebulan bertugas di hospital itu dalam menangani pelbagai kes pesakit termasuklah HIV. Setiap kali bertemu dengan pesakit HIV, Iman bukan sahaja memberi rawatan fizikal tetapi juga terapi kerohanian.
Setiap rawatan yang diberi kepada pesakit turut memberi kesan terhadap Iman. Dia juga turut mengalami kemelut yang sama di dalam jiwanya sendiri. Hakikatnya Iman menyukai dan mengasihi sesama jantina. Segalanya bermula semasa Iman melanjutkan pengajian di Kaherah. Dia mulai menyedari bahawa ada sesuatu perasaan yang cukup membelai jiwanya setiap kali dia berdua dengan Iwani. Iman menyedari perbuatan itu melanggar fitrah tetapi pengaruh nafsu lebih kuat berbanding iman yang semakin lemah, maka dia terlibat ke dalam kancah LGBTQ ini.
Semakin hari dosa yang Iman lakukan mulai memberi impak terhadap pelajaran dan memorinya. Perasaan kesal dan terasa diri penuh dengan noda dan dosa mulai timbul di hati Iman. Dia nekad untuk berubah dan bermujahadah untuk tidak membiarkan nafsu berterusan dikuasai syaitan. Iman terpaksa mengharungi tekanan yang hebat atau lebih dikenali sebagai “withdrawal symptom”.
Pada pendapat saya, buku ini menceritakan kemelut jiwa individu LGBTQ. Mereka hanya mampu merintih di dalam hati meminta pertolongan. Hendak diluahkan sudah pasti akan dipandang serong dan disisihkan. Akibatnya golongan ini mengambil jalan mudah, dari terus menerus menanggung derita dan menerima kecaman masyarakat lebih baik meneruskan kehidupan mengikut apa yang membahagiakan jiwa. Maka melayani nafsu serakah yang meronta-ronta lebih menenangkan perasaan dari apa yang telah ditetapkan fitrah.
Selagi stigma berleluasa di dalam pemikiran masyarakat selagi itulah golongan ini tidak berani menyerah diri untuk dirawati. Golongan LGBTQ ini akan terus hanyut sekiranya masyarakat tidak menghulurkan bantuan dan sokongan moral.
Selain itu buku ini juga turut menjelaskan tentang rawatan dan diagnosis yang dilakukan terhadap pesakit secara terperinci dengan menggunakan bahasa perubatan. Satu ilmu baru bagi kita yang tidak berada di dalam dunia perubatan. Kita akan lebih memahami setiap tindakan dan kesan sesuatu penyakit itu terhadap tubuh badan manusia. Contohnya dalam buku ini menceritakan tentang kesan virus denggi terhadap tubuh badan manusia begitu juga tindak balas virus HIV terhadap sistem imunisasi tubuh manusia.
Akhir sekali pada pendapat saya buku ini berjaya membuka minda pembaca untuk memahami keadaan sebenar konflik dalaman individu LGBTQ. Bagaimanapun isi kandungan buku ini hanya sesuai buat pembaca yang berusia 18 tahun ke atas.
No comments:
Post a Comment