Book Review #6: Tempur ~ Membujur lalu melintang patah

Tajuk: Tempur
Penulis: Ahmad Erhan
ISBN: 978-967-446-284-0
Terbitan: Buku Prima
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Aksi / Thriller

TEMPUR. Novel ini menghantui hidup aku. Setiap kali ke kedai buku, mata pasti tertarik untuk memandang novel ini. Seakan ada daya tarikan magnet yang memanggil aku untuk memilikinya. Beberapa kali cuba mengelak, namus tewas jua. TEMPUR, akan ku cari kau di PBAKL2017. Akhirnya pada tanggal 6 Mei 2017, buku ini berjaya dimiliki.

Bila tengok kulit buku, kelihatan seorang lelaki memegang sebilah pedang panjang. Nampak ganas dan berjiwa kental. Cara pegang pun menggambarkan yang dia akan melibas sesiapa saja tanpa rasa gentar.

Permulaan cerita agak santai dan diselitkan unsur humor. Watak Adelia, Aslan dan Dato' Syukor mula muncul berselang - seli. Dato' Syukor yang tegas dan garang, Aslan yang kerap lambat masuk kerja dan Adelia yang cantik. Di satu bahagian lagi, seorang wanita misteri, sambil minum cendol dan kemudiannya melakukan jenayah. Sesuai dengan pepatah 'don't judge a book by it's cover', begitu banyak plot twist di dalam cerita ini.



Buku ini memang berhantu, dah pegang tak nak lepas. Cliff hanger yang menyeksa pembaca seperti aku. Helaian demi helaian diselak tanpa rasa jemu. Boleh tak nak marah penulis mana dia dapat idea cerita yang menarik ni....hahaha.

Penulis begitu pandai memanipulasi fikiran pembaca, sehingga membuatkan aku dengan yakinnya dapat meneka misteri setiap watak. Tetapi bila tiba pertarungan terakhir baru penulis membongkar cerita sebenarnya, masa tu aku terasa seolah-olah dipermainkan penulis. Padan muka sendiri! Over confident sangat. Watak yang dianggap tidak penting rupanya hanya satu topeng samaran untuk mencantikkan jalan cerita. Aku kagum dengan susunan cerita yang kemas. Tahniah aku ucapkan kepada penulis kerana berjaya menyimpan kebenaran cerita sehingga ke titisan dakwat terakhir.

Setelah semua yang best dan baik diceritakan, aku ingin memberi sedikit pandangan yang membina. Di harapkan ini dapat membantu penulis untuk menghasilkan karya yang terbaik pada masa akan datang:
1. Motif semua pembunuhan bersiri ini berlaku adalah kerana sebuah dendam. Cuma intipati penceritaan tentang peristiwa yang menimbulkan dendam itu aku rasa sekiranya penulis membuat satu plot imbas kembali kepada peristiwa itu, ia akan menimbulkan kesan yang lebih trajis. Watak isteri Sazali yang ditinggalkan kerana peristiwa itu juga tidak digunakan dengan baik. Pada aku ini satu kerugian kerana watak itu wujud tapi tidak dikembangkan untuk membantu perjalanan cerita.

2. Peristiwa dimana Hakim ditewaskan oleh Camelia ketika pembunuhan seorang VIP tidak ditunjukkan dengan jelas. Dari segi penceritaan, aku sebagai pembaca tidak dapat merasai kenapa Hakim marah kerana dia tidak bertarung secara langsung dengan Camelia pun. Sekiranya ditambah sub plot di mana terdapat pertarungan antara mereka berdua sehingga menyebabkan ianya menjadi sebuah dendam. Maka pembaca akan lebih merasai kemarahan dan dendam Hakim.

3. Watak pembunuh tidak diceritakan latarbelakangnya bagi menggambarkan kenapa karakter itu sebegitu kejam. Sekiranya ada sedikit gambaran mungkin boleh membuatkan pembaca lebih menjiwai watak pembunuh ini. Mungkin penulis boleh buat novel prekuel untuk kisah ini.

Baiklah, setakat ini saja ulasan untuk novel thriller TEMPUR. Buku yang tidak rugi untuk dimiliki dan dibaca. Tahniah dan syabas kepada penulis. Semoga terus menghasilkan novel bermutu di masa akan datang.

TEMPUR - "Membujur lalu, melintang patah!"

No comments:

Post a Comment

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...