Showing posts with label aksi thriller. Show all posts
Showing posts with label aksi thriller. Show all posts

Book Review #34: VEKTOR



Tajuk: Vektor
Penulis: Ahmad Erhan
Terbitan: Buku Prima

Selepas novel Tempur, aku memang ternanti-nanti bila penulis akan mengeluarkan novel seterusnya. Aku mengikuti perkembangan penulis melalui FB. Satu hari, beliau memuat naik status berkenaan novel terbarunya. Sekejap bagi tajuk A, kemudian tukar tajuk jadi B, lepas tu tukar pulak tajuk jadi C. Stress aku, bila lah novel dia nak keluar ni. Tak kisahlah tajuk apa pun, aku akan beli. Tajuk not really matter now. Hahaha

Akhirnya, hujung bulan Feb ’19 novel ini diterbitkan. Maka, tanpa ragu-ragu, aku terus pre-order. Apabila buku sampai di tangan, tiada perkara lain yang ingin aku lakukan selain B.A.C.A. Buku setebal 432 mukasurat ini, mengambil masa hanya 2 hari untuk dihabiskan. 

Sinopsis 

Mengisahkan Firaz seorang anak yatim yang kematian bapa dalam satu kemalangan. Ibunya mengalami amnesia dan masih mendapatkan rawatan di hospital. Tinggallah Firaz bersama ibu saudaranya, Rohana. Firaz seorang anak yang baik dan pelajar yang berdedikasi. Di sekolah, dia seorang pengawas yang tidak takut mengegakkan kebenaran. Ini menjadikan Firaz sentiasa didendami oleh Apit the Conquerer

Adolf, ketua satu kumpulan gengster di Jerman. Dia menjual maklumat dan senjata secara haram kepada sesiapa saja yang mampu membayar dengan harga yang tinggi. Dia tidak pernah percaya kepada sesiapa dan paling penting, maklumat keluarganya adalah rahsia! Adolf bertemu Ducard, seorang budak jalanan dan telah mengambilnya sebagai anak angkat. Ada sesuatu pada Ducard yang menarik minat Adolf. 

Catrin mengetuai satu kumpulan penjenayah antarabangsa. Mereka sangat dikehendaki, namun licik melepaskan diri. Setiap jenayah yang mereka lakukan, tiada bukti yang mampu dijadikan perangkap untuk menjeratnya dan mereka sedang menuju ke Malaysia!

Pendapat saya:

Novel ini merupakan gabungan kisah kehidupan lampau Adolf, Firaz dan Catrin. Apa yang telah berlaku telah memberi kesan kepada peristiwa hari ini. Takdir menemukan mereka dalam satu suasana yang suram dan kelam. Firaz ingin menyelamatkan nyawa anaknya, manakala Catrin perlu menyelesaikan tugasnya.

Watak Firaz, seorang yang kehilangan kasih sayang tetapi masih mampu membesar menjadi seorang remaja yang baik. Namun, peristiwa hitam antara dia and Apit menjadi titik perubahan dalam hidupnya. Firaz dimasukkan ke sekolah Juvana. Pertemuan Firaz dengan Encik Syukor, telah menjernihkan kembali masa depannya yang kelam. Dia di rekrut menjadi ahli special force – STORM.


Apa yang baik tentang novel ini:

1) Penulis seorang yang sukakan cendol (kah kah kah). Kalau buku Tempur, dia buat seorang pembunuh duduk lepak minum cendol tunggu mangsa. Dalam Vektor, dia buat scene hero (Firaz) yang makan cendol dan berkenalan dengan bakal penculik.

2) Aku suka cover buku Vektor yang bertemakan merah dan putih. Cover buku ini simple tapi gambar seorang lelaki yang memegang pistol dan anggota special force yang lengkap bersenjata telah memberi gambaran tentang aksi yang bakal dihidangkan.

3) Dari segi gaya bahasa, aku tidak ada masalah. Penggunaan bahasa yang mudah difahami, santai dan kena dengan situasi yang berlaku.

4) Babak kejar mengejar antara Catrin dan Jung memang menarik dan penceritaan kemas seperti tayangan filem. Jung silap percaturan, bersepai kepalanya. Ngeri! 

5) Plot Firaz bergaduh dengan Apit juga tidak kurang hebatnya. Korang boleh bayangkan bagaimana mereka ni bertumbuk dan menendang antara satu sama lain. 

Apa yang boleh diperbaiki lagi:

6) Blurb di kulit belakang buku, aku rasa agak kurang menyeluruh. Blurb terus masuk ke plot Azad kena culik. Jadi bila aku mula membaca, asyik tertanya-tanya, mana watak Azad dan Aishah?

7) Aku mengharapkan ada “grand entrance” untuk virus, sebab NV-27 antara watak penting dalam keseluruhan cerita. Something special tentang NV-27 dan hanya Prof. Kim yang tahu.

8) Aku rasa, plot Firaz berlegar-legar memikirkan apa yang dia ingin beli sebelum mulakan misi mencari Azad tidak perlu dimasukkan. Aku rasa bila anak dah kena culik ibubapa pun takde selera nak makan.

9) Strategi Catrin sewaktu nak ambush semasa perjalanan konvoi yang membawa NV-27 ke KLCC kelihatan agak mudah. Tak nampak macam plan seorang professional.


Monthly Wrap Up - June 2018


Bulan Jun telah berlalu, jadi mari kita lihat buku-buku yang telah berjaya dibaca sepanjang 30 hari tersebut. 9 buah buku telah dibaca dan berikut sedikit ulasan untuk tatapan anda semua.


1) Hikayat Budak PhD: Bukti Anak Melayu Cemerlang karya Dr. Syahr Musafir
Sinopsis:
Anak-anak muda Melayu Muslim kena faham. Menjadi cemerlang adalah hak kita yang kita kena capai. Usaha gigih kepada kegemilangan itu, jangan buat sambil lewa. Jiwa kena besar, terbang kena tinggi. Kalau kecemerlangan itu sebutir bintang, lompat dan terbanglah tinggi-tinggi. Biar bintang itu jadi milik kamu, bukan orang lain. Biar dunia buka mata melihat lompatan kamu, biar mereka bingkas bangun menghormati kejayaan kamu menggapai bintang. Boleh, kita boleh. Bukan phD biasa-biasa. Kita buat #PhDforUmmah. Ayuh kita tadah tangan berdoa agar Allah SWT tolong permudahkan cita-cita kita.

Ulasan: 
Buku ini bagus untuk mereka yang bercadang menyambung pelajaran ke peringkat PHD. Dr. Syahr menulis tentang proses yang dia lalui sepanjang 3 tahun menghabiskan PHDnya. Apa cabaran yang dilalui, apa yang dibuat dan sokongan keluarga. Boleh menjadi inspirasi kepada ramai orang diluar sana.

Buku ini terlalu nipis dan aku rasa banyak lagi kisah yang tidak dicoretkan. Mungkin boleh dikembangkan lagi kisah beliau. Buku ini hanya memberi gambaran awal kehidupan seorang pelajar PHD. 


2) My Name is Hasmah karya Tun Siti Hasmah Mohd Ali
Ulasan:
Buku yang menceritakan kisah perjalanan hidup Tun Dr. Siti Hasmah dari sudut seorang anak, kawan, doktor, isteri, ibu dan Malaysia first lady. 

Banyak yang dikongsikan di sini, kisah bagaimana beliau belajar selama 8 tahun sebelum berjaya menjadi doktor perubatan. Kisah bagaimana beliau mula mengenali suaminya Tun Mahathir. Cerita keluarga besarnya, keletah anak-anak dan cucu-cucunya. 

Kisah di mana beliau perlu membuat pilihan antara suami dan anak, antara keluarga dan urusan rasmi. Apa yang dipelajari dan apa yang mampu beliau ajari kepada masyarakat.

Ada juga diselitkan kisah-kisah lucu yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini. Ada kisah yang memberi inspirasi kepada kita. Ada nasihat berguna untuk semua.


3) Ungu Karmila karya Ramlee Awang Murshid
Ulasan:
Novel ini memaparkan sebuah kisah misteri tentang sebuah vila terletak di Cameron Highlands. VILA SUNYI itulah namanya. Sesunyi suasana di sekeliling, vila ini menyimpan seribu misteri yang belum mampu dirungkai oleh sesiapa pun.

Ungu Karmila menceritakan kisah dan tanggapan masyarakat luar tentang apa yang pernah terjadi di vila tersebut. Aku suka tulisan tuan RAM kerana karyanya ditulis dari banyak sudut pandangan. Beliau tidak menulis kisah yang hanya fokus kepada satu konflik sahaja atau kisah sebuah keluarga. Karya ini adalah kisah sebuah masyarakat.

Dalam nukilan ini ada kisah bekas banduan, ada kisah masyarakat orang asli, ada kisah budak jalanan dan ada kisah adik beradik Arif dan Arafat.

Dalam karya ini juga banyak ilmu yang kita dapat, seperti ilmu bioteknologi, kajian dan kacukan bunga serta kesan kepada manusia. Sakit mental, atau gangguan mental juga ada dijelaskan dalam novel ini.

Kisah Arif dan Karmila menjadi titik tolak kepada peristiwa ngeri yang terjadi di Vila Sunyi. Misteri yang cuba dirungkai oleh Ema dan Arafat. Ema mencari jawapan kepada kematian abangnya Jikon. Manakala Arafat percaya yang adiknya Arif bukan pembunuh.

Misteri ini menemukan semula Dino dan Bado yang dahulunya budak jalanan yang bermusuhan. Konflik semakin parah dan Vila Sunyi seperti telah dibangkitkan.


4) Haq II
Ulasan:
Kisah ini sambungan dari novelet Haq dalam Antologi Cinta Dia. Haq bertemu Alin secara tidak sengaja dalam satu keadaan yang tidak diduga. Alin menyelamatkan Haq yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Namun, Alin terperangkap. Dia telah diheret dalam konflik berdarah. Haq bagaimanapun  meninggalkannya Alin demi keselamatannya. 

Siapa sebenarnya Haq, sehingga ke akhirnya ia kekal misteri. Namun, ini kisah cinta thriller yang penuh debaran. Keberanian Alin yang cuba melawan agoraphobia dan Haq adalah kekuatan dia untuk melawan fobia itu. Demi Haq, dia sanggup keluar dari dunia gelapnya. 

Plot letupan di lapangan terbang begitu mendebarkan, seperti menonton satu movie thriller di pawangan. 

5) Tertulis Buat Kita
Ulasan:
Kisah cinta Jimmy dan Auni Sofina. Jimmy seorang komando tentera yang dalam tugasnya untuk mengumpul maklumat penting. Dia bertemu Auni seorang gadis yang bencikan tentera. Semuanya kerana apa yang telah terjadi kepada abangnya Jeffrey. 

Peristiwa demi peristiwa berlaku, Auni dan Jimmy akhirnya jatuh cinta dan membuat keputusan untuk berkahwin. Namun, hidup tidak selalunya indah, Auni nekad membunuh Jimmy bila dia tahu satu kebenaran yang amat  dia takuti. 

Ini sebuah kisah cinta yang penuh dengan debaran, tembakan peluru dan jika tidak berwaspada, salah satu peluru itu pasti menembusi mangsanya.

6) Mesej
Ulasan:

Time travel. Apa akan jadi jika kita diberi peluang untuk mengenali seseorang pada masa lampau @ masa akan datang. Kenapa novel ini menarik?

1) Aku suka bila penulis tidak terlalu menjelaskan heroin tu cantik sangat dan hero hensem giler. Aku rasa sebagai pembaca, biar kita imagine sendiri macam mana cun heroin tu dan macam mana hensem hero based on our own standard. Aria dan Jason aku sure tak sama dengan Aria dan Jason orang lain kan. 



2) Penulis berjaya hold tumpuan untuk baca buku ini dari bab pertama lagi. Bila tinggal sekejap buku, memang terpanggil-panggil untuk sambung baca.

3) Kisah ini bergerak laju, takde part yang melodrama sangat atau trying hard untuk panjangkan kisah mereka. Jalan cerita lancar.


Overrall, interesting novel, should read it and feel the fantasy. Don't think about logic because if you think, there is no more fun in this story.

7) Hello It's Me
Ulasan:

Kisah tentang konflik yang dihadapi oleh seorang penulis novel bernama Tiya. Novel ini bercerita dari sudut pandangan seorang penulis. 

Kadang kala kita lupa mereka juga manusia yang bergelut untuk menepati kehendak pasaran, kemahuan penerbit disamping mengekalkan prinsip sendiri. Bukan senang nak dapat ilham dan olah idea tersebut untuk menjadi sebuah novel. 

Jadi topik yang dipilih untuk novel ini sangat bagus, membuka mata orang luar tentang apa yang dihadapi oleh seorang penulis dan macam mana keadaan dalam industri.

Perbincangan Tiya dan mamanya tentang apa yang patut ditulis juga baik dan ada point penting disitu. Bila Tiya dan Shah berdebat tentang buku limited edition juga banyak perkara dijelaskan dari sudut penerbit dan impak kepada pembaca serta penulis.

Konflik cinta pula, dari awal memang dah nampak Duta menang. Tak ada tentangan langsung dari watak Azman.  Misteri SUV, Papa Tiya dan Duta, aku rasa kalau ditonjolkan lagi mesti menjadikan kisah ini lagi menarik. 

Sekarang baru aku faham kenapa Tiya cakap "Hey mind reader, I know you."  Kalau nak tahu, sila baca novel ini. Jawapannya memang ada disini.

8) Kabut karya Fitri Hussin
Sinopsis:
Tiga pembunuhan berprofil tinggi berlaku. Di daerah dan waktu berbeza. Mangsa dibunuh dengan amat kejam. Menggunakan alat dan seksaan-seksaan yang amat mengerikan. Dua kes awal menemui jalan buntu. Kes ketiga ditutup selepas suspek utama yang dianggap pembunuh ditemui mati lemas di dalam kejadian bot pancung karam. Selepas dua tahun, ketiga-tiga kes pembunuhan berprofil tinggi itu disiasat semula. Kini semua orang adalah suspek utama. 

Semuanya mempunyai motif untuk melakukan pembunuhan tersebut.  Juita mungkin membunuh demi Hanif dan hambatan pengkhianatan silam. Hanif mungkin membunuh demi cita-cita dan penghormatan. ASP Zaini mungkin membunuh demi pangkat dan trauma silam. Inspektor Rahmat mungkin membunuh demi meraih jawatan dengan usaha sendiri. Jadi siapa pembunuh sebenar? 

Ulasan: 
Dalam kisah ni, aku rasa takde main hero, cuma ada watak jahat yang mendominasi keseluruhan cerita. Kenapa aku cakap macam itu sebab pegawai penyiasat yang handle kes-kes bertukar ganti. Lebih menunjukkan bagaimana pasukan polis bekerjasama dalam menyiasat kes tersebut. 

Watak jahat pula menjadi watak utama yang mencorakkan jalan cerita. Dia berjaya mengawal dan memanipulasi orang-orang disekelilingnya. Dia kelihatan baik pada mata orang sedangkan dialah yang menyebabkan semua kacau bilau dan huru hara. 

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah perumpamaan yang sesuai dengan pengakhiran hidup Borhan. Hanif dan Juita menjadi mangsa keadaan. Kesian kat mereka. Borhan memang gila!

Jadi kalau korang suka kisah penyiasatan polis dan pembunuhan bersiri buku ini memang sesuai


9) Cempaka Melati karya Zahida Zarkasi
Sinopsis: 
Addin, cinta pertamanya datang bersama kisah lama. Zhariff, lelaki yang penuh misteri muncul membawa harapan baru. Sejarah hidupnya turut menjadi perhatian hingga membuatkan Cempaka terpaksa menjejaki rahsia keluarga yang selama ini disimpan rapi oleh arwah opahnya.  Cempaka berharap akan menemui jawapan namun sebaliknya makin banyak persoalan yang muncul hingga buat dia hampir berputus asa. Zhariff datang menghulur bantuan namun kemelut yang melanda makin membingungkan. Mampukah Cempaka menerima segala kebenaran yang terbongkar?

Ulasan: 

MISTERI. Perkataan yang tepat bagi menggambarkan novel ini. 

Kisah opah yang misteri dan penuh rahsia.
Kisah Lia yang penuh tanda tanya.
Kisah Mel yang tidak ada jawapan.
Kisah Zhariff yang muncul tiba-tiba.
Kisah Kerajaan Samudera Laut yang tak diplot pada peta.
Kisah Addin yang meroyan tak tentu hala.

Memang misteri. 

Lagi dibaca, lagi misteri. Penulis memang simpan jawapan sehingga titisan dakwat terakhir. 

Aku ingat kisah ada kaitan dengan ilmu hitam sebab cincin tu.

Aku ingat kisah ni pasal hantu atau roh sebab Zhariff selalu muncul tiba-tiba, tapi bila fikir balik dia guna telefon kot. 

Aku ingat ini kisah orang bunian sebab Lia macam hilang dari alam maya dan tak dapat dikesan. Lagipun misteri rumah tinggal yang tak berpenghuni tapi masih terjaga rapi memang mengundang tanda tanya.

Aku ingat dalam rumah tradisi tu ada lohong masa yang boleh berhubung dengan dunia lain.

Kesimpulannya bukan, rupanya cincin tu bukan ada ilmu hitam dan Lia bukan hilang dan Zhariff bukan bunian. 

Jadi, apa jadi dan siapa mereka ni? Sila baca untuk dapatkan jawapan

Cuma aku rasa, penutup tentang misteri Kerajaan Samudera Laut kurang teliti sikit untuk membuat pembaca percaya yang bagaimana hubungan mereka dengan dunia luar. Ini kerana ada diberitahu yang hanya bangsa mereka saja boleh ke sana. Hukuman yang perlu dihadapi oleh Zhariff juga tidak dijelaskan tapi hanya dinyatakan yang dia perlu dihukum untuk keluar dari sana. 

Apa yang terjadi pada Mel selepas kemalangan itu juga masih samar. Dia sebenarnya koma di hospital atau di rumah keluarga Zhariff? Kenapa Zhariff saja boleh nampak dia dan yang lain tidak? Aku harap ada penjelasan tentang misteri ni.

Jadi buku ini masih menyimpan misteri yang belum terungkai. Mungkin ada sambungan?

Book Review #22: HERO



Tajuk: HERO
Penulis: Hilal Asyraf
Tahun Terbit: 2017
Terbitan: Hilal Asyraf Resources


Sebuah lagi karya dari penulis Hilal Asyraf. Ini buku ke-3 beliau yang saya baca. 

Sinopsis

HERO mengisahkan tentang Afam yang hilang hala tuju. Semenjak kematian kedua-dua orang tuanya, hidupnya jadi tak tentu arah. Hanya tahu berhibur. Namun ada sesuatu kebaikan dalam dirinya yang mendorong dia menggunakan sut hero untuk membantu orang ramai. Sebenarnya misi Afam adalah untuk menjejaki siapa dalang pembunuhan ibubapanya. 

Komen
Kisah perjalanan Afam dalam memburu dan diburu telah menemukan dia dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Novel ini mencakupi banyak aspek. Kisah kehidupan, cinta, perjalanan mencari diri, kebenaran, ketenangan dan makna Islam yang sebenar. Bukan hanya sekadar pada nama atau kad pengenalan.

Setiap orang yang ingin berubah tidak akan menemui jalannya sekiranya dia masih dalam kelompok yang salah. Kemunculan Husna dan wasiat bapanya telah membuka satu lembaran baru untuk Afam mencari dirinya yang sebenar. Pak Arbi, Mr. Umayer dan Auntie Mai juga banyak membantu Afam menempuhi perjalanan hidup yang penuh dengan onak dan duri.


Apa yang saya suka dan seronok membaca novel HERO:

1) Jalan cerita yang mantap, penulis berjaya membina persoalan dan memberi jawapan secara secara minima kepada pembaca. Ini telah membina cliff hanger yang baik bagi memastikan pembaca sampai ke helaian terakhir.

2) Watak HERO berjaya dibina atas jenamanya sendiri. Pada awalnya saya mempunyai tanggapan, mungkin HERO ini akan ada gambaran iras-iras Iron Man. Namun setelah dibaca, sangat menyimpang anggapan saya itu.


3) Dalam novel ini ada dakwah, dalam novel ini ada ilmu yang kita dapat. Peringatan secara tidak langsung dari penulis kepada pembaca tentang cara hidup islam. Pentingnya solat, itu tiang agama. Di mana kita akan jumpa ketenangan yang kita cari. 

"Ingat disini bukan bermaksud mengingati sahaja." - Husna

Apa yang saya harapkan, suatu hari nanti negara kita menjadi seperti yang digambarkan dalam novel ini. Sesungguhnya sekiranya itu terjadi, kita pasti menjadi rakyat yang paling bahagia dan insya allah hambaNya yang dirahmati di dunia dan akhirat.

Peluang sentiasa ada, kita sebagai manusia perlu memanfaatkan setiap detik waktu yang diberi dan digunakan ke jalan yang diredai Allah S.W.T


Book Review #17: KIUB




Tajuk: KIUB
Penulis : Arifful Baqi
ISBN: 978-967-446-327-4
Terbitan: Buku Prima
Tahun Terbitan: 2017


KIUB - Teringat kiub dalam movie transformer. Masa aku menulis review ni, coincidentally cerita Transformer: Revenge of the Fallen tengah ditayangkan di tv. Takde kaitan pun sebenarnya ...hahaha.

Ok, korang mesti nak tahu, KIUB ni cerita pasal apa kan. Adakah kisah cinta?? Erm...KIUB = CINTA, erghhh...serba tak kena...hehehe. Ini cerita aksi, letupan di sana sini, tembak menembak dan ramai lagi yang bakal terkorban dalam novel ini. 

Kisah bermula dengan misi Militan Gelap untuk merampas kiub yang dikatakan mempunyai kuasa. Apa kuasa KIUB itu, ia masih menjadi tanda tanya. Semua orang yang ada kaitan dengan kiub itu telah dibunuh oleh Militan Gelap dan kerana itu juga Zaki kehilangan kedua ibubapanya.

Dendam yang membara telah membawa Zaki ke satu misi yang dia sendiri tidak duga. Bertemu dengan Fateh telah memimpinnya ke satu matlamat baru. Mira Hafizah, gadis manis yang pintar. Dia datang menghulurkan bantuan dengan harapan kejahatan dapat dihapuskan.

Geng! Geng! Geng!...apa akan jadi seterusnya? Berjaya atau tidak Zaki menuntut bela atas kehilangan orang yang tersayang? Mira Hafizah ni nanti jadi girlfriend Zaki ke? Hehehe...cari jawapan dalam novel KIUB.

Sedikit komen dari sudut mata seorang pembaca, bagi tujuan penambahbaikan:

  • Pengembaraan berjalan kaki selama 5 bulan dari Malaysia ke Timur Laut Afrika. Kisah ini mungkin nampak lebih real sekiranya diselitkan beberapa babak tentang apa yang dilalui oleh Zaki. Pengalaman yang ditempuhi sepanjang perjalanan ini boleh dijadikan salah satu faktor mempengaruhi kekuatan fizikal dan mental Zaki sebelum di bertemu dengan Mustafa.
  • Ada sesetengah dialog dalam kumpulan Militan Gelap agak formal seperti penggunaan "kalian", "Tuan" yang dirasakan agak sopan untuk kumpulan penjahat. 
  • Babak dimana Mira Hafizah mengodam sistem, penceritaan yang agak mudah, tidak dapat menunjukkan sepenuhnya kehebatannya proses penggodaman tersebut.



Apa sekali pun syabas buat penulis. Keep it up, kita perlukan lebih ramai lagi penulis yang mampu menghasilkan novel aksi sebegini. 

Kalau korang suka novel aksi, KIUB tidak patut dilepaskan. 

Dah baca TEMPUR, kalau belum baca review kami, anda pasti teruja.

#bookreview #ulasgayasendiri #theulatbuku #writersbestfriend #membacaitubuktiandabijaksana




Book Review #12 (Part 3): KRISIS 1 - KILL ZONE

Tajuk: KRISIS 1 - KILL ZONE
Penulis : Aliff Elyas
ISBN: 978-967-14459-6-9
Terbitan: Tebook Press
Tahun Terbitan: 2017





Rahmat, Jasman, Maisarah, Tan Sri Yasin ibarat satu kebanjiran watak kepada pembaca. Pada saya kisah ini bermula dengan tiba - tiba. Konsep terjah, macam melodi pulak lagaknya. Ahaks. 

Rahmat datang ke pejabat dengan satu misi untuk menjelaskan isu kebocoran wang syarikat kepada Tan Sri Yasin. Maisarah pula ingin menyampaikan bukti baru yang ditemuinya kepada Rahmat. Pada pagi yang sama, Rahmat bertemu Jasman yang meminta belas ehsannya untuk membelikan makanan. Manakala Tan Sri Yasin seperti tidak kisah dengan isu besar yang sedang melanda syarikat tersebut.

Tiba - tiba nasib Rahmat berubah. Dia dituduh menggelapkan wang syarikat. Tuduhan dibuat oleh Tan Sri Yasin sendiri berdasarkan bukti gambar yang menunjukkan Rahmat memasukkan wang ke akaun peribadinya. Tan Sri  datang bersama - sama anggota polis untuk menangkap Rahmat tanpa memberinya peluang untuk membela diri. Tidak dapat berbuat apa - apa, Rahmat terus ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap. 

"Jom LIKE page kami Theulatbuku. Banyak info menarik tentang buku akan kami kongsikan"

Sekarang semua bergantung kepada Maisarah untuk menyelesaikan teka-teki ini. Siapa sebenarnya yang bersalah? Siapa dalang disebalik kejadian ini?

Pembacaan diteruskan dan watak - watak baru muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Saad, Mansor, Zul, Tan Sri Hazman, Dato' Faizal, Datuk Kamarul, Datuk Samsul, Lokman dan Mail.

Plot cerita pula ditambah dengan kemasukkan kumpulan gengster Mansor dan Tommy. Pergaduhan sesama mereka, aktiviti gusti haram dan pertemuan Jasman dan Maisarah. Kemudian muncul pula watak Jack yang dituduh cuba membunuh Tan Sri Yasin. 

Di sini saya mula menjadi agak keliru. Pada pendapat saya cerita ini menjadi terlalu padat. Mungkin sekiranya ini sebuah novel, setiap sub-plot boleh dikembangkan dengan baik. Memandangkan ini hanya mini novel, penulis boleh mengurangkan sedikit sub-plot dan fokus kepada isu penyelewengan wang syarikat dan dendam Jasman. 

Sekiranya kita lihat, perkaitan hanya wujud antara Tan Sri Yasin dan geng Mansor. Di sini ada relationship yang kuat dimana Tan Sri mengupah Mansor untuk melakukan kerja kotornya. Permusuhan Mansor dengan Jack tidak membantu keseluruhan jalan cerita dan hanya mengusutkan lagi keadaan. 





Buat penulis cerita ini, jangan putus asa, anda mampu mengubahnya dan menghasilkan satu karya yang lebih baik pada masa akan datang. Daripada mini novel ini, kalau dilihat pada pecahan idea, anda mampu menghasilkan 2 novel yang berbeza. 1 mungkin novel aksi yang fokus kepada cerita kumpulan gengster - Mansor, Jack dan Tommy. 1 lagi mungkin novel aksi jenayah colar putih. Keep it up yo!!

p/s: novel ini gabungan 3 cerita. Cerita 1: PERTAMA, Cerita 2: LARI MANAP LARI, Cerita 3: KILLZONE

Book Review #12 (Part 2): KRISIS 1 - LARI MANAP LARI

Tajuk: KRISIS 1 - LARI MANAP LARI
Penulis : Syauqie MK
ISBN: 978-967-14459-6-9
Terbitan: Tebook Press
Tahun Terbitan: 2017

"LARI MANAP LARI" seperti tajuknya begitulah yang dirasakan sepanjang proses pembacaan mini novel  ini. Terkejar - kejar mencari jawapan kepada misteri yang tersembunyi. Plot cerita yang teratur, mudah difahami dan jalan cerita yang lancar seperti pemanduan di highway PLUS Utara - Selatan.



Ini kisah tentang Manap seorang ketua gangster di Pulau Mutiara @ dikenali sebagai Tok Ayah Manap. Kumpulannya digelar Geng 304 dan berpegang teguh kepada prinsip "NO to DRUG". Setiap ahli baru yang ingin menyertai gengnya perlu melalui ujian kesihatan. Dah macam minta kerja dengan kerajaan je, kena pergi medical check-up. Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Begitulah nasib malang Manap bila orang kepercayaannya Din Botak telah berpaling tadah. Jadi apa yang Manap perlu lakukan untuk selamatkan dirinya dari semua masalah ini.

"Jom LIKE page kami D'ulatbuku. Banyak info menarik tentang buku akan kami kongsikan"

Penulis menggunakan POV 1 dalam cerita ini, jadi watak utama adalah penulis sendiri dan Manap. Semasa majlis pelancaran novelnya yang pertama (TERORIS kot),  novelis menerima nota dan SMS misteri dari seseorang yang inginkan dia menulis sebuah manuskrip baru. Dia akan dibayar 100K, wow banyak tu siapa lah yang baik hati. Lebih mengejutkan bila pendahuluan RM25K telah dimasukkan ke akaun banknya serta-merta.



Kebenaran ingin dibongkar, jadi beliau mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut. Jadi pertemuaan pertama dengan si misteri ini diatur. Di sini banyak kisah lalu telah diceritakan dan antaranya satu plot imbas kembali bagaimana upacara penerimaan ahli baru dilakukan. eeee memang nak muntah rasanya. Boleh tak bagi minum air oren ke, sirap limau ke. Loya betul. Korang kena baca baru rasa apa yang aku rasa. Masa tulis review ni pun kepala aku pening teringatkan plot tersebut.

Jadi kalau korang nak tahu cerita apa yang bakal ditulis dan bagaimana Manap merancang untuk selamatkan diri, sila baca buku ini. Buku ini dibeli masa PBAKL2017 bulan Mei yang lalu. 

Sedikit komen sebagai penambahbaikan. Dari sudut pandangan seorang pembeli, merasakan cover novel kurang menarik dan terlalu simple. Sekali pandang, gabungan warna oren dan hitam kurang menyerlah. Mungkin design ini dipilih untuk menggambarkan kisah hitam dalam ketiga - tiga cerita. Namum begitu, perlu masukkan sedikit elemen yang lebih menyerlah sebagai ciri tumpuan pada cover. Bila baca sinopsis kat belakang buku baru rasa ada daya tarikan untuk beli.



Seperkara lagi yang editor patut titik beratkan ialah ketepatan ejaan dalam buku. Terdapat sikit kesalahan yang ditemui sepanjang bacaan (BAB7, m/s 189). Dalam cerita "Lari Manap Lari" ada satu saja, jadi tidaklah mencacatkan pembacaan.

Sekiranya kesilapan ejaan ini terlalu banyak, ia mampu menggangu tumpuan pembaca. Kalau tak sempat nak semak ejaan, boleh minta kami tolong semakkan...hehehe

Selain pada itu, cerita ni memang best, laju dan penulis memang hebat dalam mencipta cliff hanger bagi memastikan pembacanya mengikuti cerita hingga ke muka surat terakhir. Sedikit tips, jawapan kepada konflik yang di lalui Manap sebenarnya telah diberi jawapan awal - awal lagi. Pastikan bila baca beri tumpuan kepada semua watak yang ada kerana setiap satu dari mereka memainkan peranan penting bagi menyempurnakan cerita ini.

Anda dah baca TERORIS? Ini penulis yang sama, novel tu meletop kot. Kalau belum baca, boleh dapatkan di bukuso. Sekarang tengah ada sales, baik beli cepat sebelum kehabisan.

Prekuel buku TERORIS bakal keluar tak lama lagi...#SINDIKET. 

Syabas dan tahniah!!!

Book Review #13: Gerak Gempar

Tajuk: Gerak Gempar
Penulis : Norden Mohamed
ISBN: 978-967-13987-1-5
Terbitan: Layar Minda Publications
Tahun Terbitan: 2017


Puas hati. Itu perkataan pertama muncul difikiran bila muka surat terakhir habis dibaca. Segala persoalan berjaya ditutup dengan kemas. Tiada lagi tanda tanya yang berlegar difikiran. Kisah Fariz Zafar, Datuk Rauzah, Jeffri Zain dan rampasan kapal Lancang Kuning disudahkan dengan sempurna. Tahniah kepada penulis novel Gerak Gempar Tuan Norden Mohamed.

GERAK GEMPAR sebuah novel aksi berkaitan dengan jenayah colar putih. Krisis tercetus bila pelayaran kapal Lancang Kuning diserang sekumpulan lanun Somalia yang dikenali sebagai Bad Holac. WALI 9 serta-merta dikumpulkan bagi menangani krisis besar ini. Mereka mengumpul maklumat dari jabatan masing - masing bagi merangka operasi untuk menyelamatkan kapal Lancang Kuning.



"Jom LIKE page kami D'ulatbuku. Banyak info menarik tentang buku akan kami kongsikan"

Bagi Extron Corporation, kejadian itu menjadi satu peluang baik untuk mereka  merampas kembali kontrak daripada Malpetro Malaysia. Abram William merancang untuk mengeskpoitasi situasi ini bagi memburukkan lagi keadaan Malaysia. Apakah muslihat yang bakal diatur oleh CEO Extron Corporation akan berjaya? Apa pula strategi WALI 9 dalam misi menyelamatkan Lancang Kuning dan Pegawai Operasi Malpetro Datuk Rauzah?

Novel ini penuh dengan konflik yang muncul setiap kali kita rasa penyelesaianya semakin hampir. Naskah setebal 510 mukasurat ini tidak pernah memberikan ruang untuk pembaca hidup dengan tenang. Selepas satu watak, wujud pula satu karekter lain yang berkait hinggakan ada sedikit kegusaran bagaimana cerita ini bakal berakhir.


Jangan terlalu awal membuat andaian kerana penulis ini bijak bermain dengan plot cerita yang direka. Saya begitu kagum dengan kesudahan bagi semua watak yang wujud. Pada mulanya saya ingat penulis akan mematikan begitu saja watak yang kurang penting. Watak Rock Robson, Wehliye, Saleem dan Gluke Chayim memainkan peranan besar dalam keseluruhan cerita. Supporting character ini wujud bagi menguatkan storyline dan telah ditamatkan dengan sempurna.

Terdapat satu plot dimana penulis menceritakan dan menggambarkan aksi kejar mengejar semasa anggota BISIK melarikan Datuk Rauzah dari kem lanun. Di minda telah terbayang visual tersebut seperti dalam sebuah filem "Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull". Babak di mana mereka dikejar oleh agen Soviet berebutkan Crystal Skull.




Buku ini berjaya membawa minda kita mengembara merentasi dunia walaupun jasad sebenar hanya kekal di atas sofa empuk. Di awal cerita pembaca diterbangkan ke Kwanza, wilayah Tenggara Afrika. Kemudian ke Amerika untuk bertemu dengan "The Group". Setelah itu dibawa ke Mesir untuk berkenalan dengan Jeffri Zain sebelum kembali ke Malaysia untuk bersama WALI9.

"A book is a magical thing that lets you travel to far-away places without ever leaving your chair - Katrina Mayer." Begitulah ibaratnya pengembaraan merentasi dunia tanpa perlu renew passport dan beli tiket kapal terbang. Jimat kan..hehehe

Cuma bila tiba di 5 bab terakhir, tahap keterujaan membaca mula menurun. Mungkin ini terjadi kerana penyelesaian untuk konflik utama telah terjawab lebih awal berbanding dengan sub-konflik. Aksi still ada, cuma bila dah tahu apa terjadi pada kapal Lancang Kuning, aliran adrenalin mula perlahan. Walau bagaimanapun, sebagai pembaca saya puas hati dengan novel ini.

Gerak Gempar berjaya menghidangkan aksi yang mendebarkan, menyuntik emosi yang tidak dijangka dan konflik yang jitu.

Good job Tuan!!

Book Review #12 (Part 1) : KRISIS 1 - PERTAMA

Tajuk: KRISIS 1 - PERTAMA
Penulis: Ahmad Rizvan
ISBN: 978-967-14459-6-9
Terbitan: Tebook Press
Tahun terbitan: 2017
Kategori: Aksi / Thriller

PERTAMA. Masih tidak mengerti apakah relevannya tajuk ini dengan jalan cerita. Dua kali saya ulang baca bagi mencari jawapan kepada persoalan tersebut Adakah kerana itu tugasan pertama Safri? Atau kerana The Monsta yang pertama seumpanya? Hanya penulisnya saja yang mampu merungkaikan misteri di sebalik judul yang diberi.



Ahmad Rizvan bukan calang - calang novelis dan ini bukan hasil nukilannya yang pertama. Anda dah baca TEMPUR? Itu merupakan hasil karya penulis yang sama, cuma menggunakan nama pena yang berbeza. Kenapa? Hanya tuan empunya badan ada jawapan.

Safri baru sahaja menamatkan latihan dan telah lulus cemerlang dalam ujian sebagai seorang pengawal peribadi profesional di syarikat Perisai Anda Sdn Bhd. Tugasan pertamanya menjadi driver kepada seorang hartawan bernama Paulo Martinez. Pada awalnya dia cuba menolak bila mendapat tahu yang kerjanya menjadi driver + bodyguard kepada anak Pablo iaitu Elisa dan Rosa. Safri kurang selesa menjadi penjaga kepada 2 orang kanak - kanak ini. Bagaimanapun, Tuan Syed bijak memujuk dengan menawarkan Safri menggunakan satu aset hebat milik syarikatnya  - The Monsta.

Aksi kejar mengejar dan tembak menembak antara orang suruhan Juan dan Safri memang mendebarkan. Semuanya berlaku dengan cepat . Seperti kebanyakkan filem aksi, hero perlu berfikir dan bertindak pantas. Pantang leka, pasti akan di serang musuh. Jalan cerita pula kemas dan tersusun.

Cuma untuk penambahbaikan saya rasa kena tambahkan scene bagaimana Safri selamatkan Rosa. Di muka surat 54 & 55 terasa seperti ada sedikit melompat bila tiba-tiba Rosa telah berjaya diselamatkan dan berada dalam kereta bersama Elisa.

The Monsta salah satu watak penting yang mempunyai keupayaan A.I (Artificial intelligence). Kalau filem Iron Man ada  Jarvis, The Monsta  pula ada Jebat. Saya suka dengan penggunaan nama Jebat menampakkan kehebatan orang melayu.

 "Hello Kasim, wake up The Monsta"

Dialog pendek ini telah mampu membayangkan keterujaan dan kehebatannya. Sayang seribu kali sayang, bila tiba di klimaks cerita ada pula kelemahan yang dipertontonkan. Sebenarnya apa yang penulis sampaikan dalam scene ini adalah realiti yang berlaku. Mereka yang bekerja dalam bidang IT memang sedia maklum situasi sebegini - "Main server is offline" "I need a valid internet line" .Cuma dalam buku berilah ruang kepada pembaca supaya berimaginasi lebih sikit, so we can escape from reality once in a while.




Bagi saya tidak ada salahnya  The Monsta diceritakan sebagai satu prototaip amat hebat. Jika kita lihat filem luar negara, semua yang mereka cipta adalah yang terhebat. Contoh filem Armagedon, hanya mereka saja mampu menyelamatkan dunia dengan mesin gerudi ciptaanya. Jadi prototaip The Monsta perlulah sehebat dan segah namanya. Lagi satu, The Monsta kan buatan tempatan, sepatutnya Jebat bertutur dalam bahasa melayu… barulah nampak hebat…hehehe.

Good job bro! Tak sabar tunggu karya anda yang seterusnya. 

Book Review #6: Tempur ~ Membujur lalu melintang patah

Tajuk: Tempur
Penulis: Ahmad Erhan
ISBN: 978-967-446-284-0
Terbitan: Buku Prima
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Aksi / Thriller

TEMPUR. Novel ini menghantui hidup aku. Setiap kali ke kedai buku, mata pasti tertarik untuk memandang novel ini. Seakan ada daya tarikan magnet yang memanggil aku untuk memilikinya. Beberapa kali cuba mengelak, namus tewas jua. TEMPUR, akan ku cari kau di PBAKL2017. Akhirnya pada tanggal 6 Mei 2017, buku ini berjaya dimiliki.

Bila tengok kulit buku, kelihatan seorang lelaki memegang sebilah pedang panjang. Nampak ganas dan berjiwa kental. Cara pegang pun menggambarkan yang dia akan melibas sesiapa saja tanpa rasa gentar.

Permulaan cerita agak santai dan diselitkan unsur humor. Watak Adelia, Aslan dan Dato' Syukor mula muncul berselang - seli. Dato' Syukor yang tegas dan garang, Aslan yang kerap lambat masuk kerja dan Adelia yang cantik. Di satu bahagian lagi, seorang wanita misteri, sambil minum cendol dan kemudiannya melakukan jenayah. Sesuai dengan pepatah 'don't judge a book by it's cover', begitu banyak plot twist di dalam cerita ini.



Buku ini memang berhantu, dah pegang tak nak lepas. Cliff hanger yang menyeksa pembaca seperti aku. Helaian demi helaian diselak tanpa rasa jemu. Boleh tak nak marah penulis mana dia dapat idea cerita yang menarik ni....hahaha.

Penulis begitu pandai memanipulasi fikiran pembaca, sehingga membuatkan aku dengan yakinnya dapat meneka misteri setiap watak. Tetapi bila tiba pertarungan terakhir baru penulis membongkar cerita sebenarnya, masa tu aku terasa seolah-olah dipermainkan penulis. Padan muka sendiri! Over confident sangat. Watak yang dianggap tidak penting rupanya hanya satu topeng samaran untuk mencantikkan jalan cerita. Aku kagum dengan susunan cerita yang kemas. Tahniah aku ucapkan kepada penulis kerana berjaya menyimpan kebenaran cerita sehingga ke titisan dakwat terakhir.

Setelah semua yang best dan baik diceritakan, aku ingin memberi sedikit pandangan yang membina. Di harapkan ini dapat membantu penulis untuk menghasilkan karya yang terbaik pada masa akan datang:
1. Motif semua pembunuhan bersiri ini berlaku adalah kerana sebuah dendam. Cuma intipati penceritaan tentang peristiwa yang menimbulkan dendam itu aku rasa sekiranya penulis membuat satu plot imbas kembali kepada peristiwa itu, ia akan menimbulkan kesan yang lebih trajis. Watak isteri Sazali yang ditinggalkan kerana peristiwa itu juga tidak digunakan dengan baik. Pada aku ini satu kerugian kerana watak itu wujud tapi tidak dikembangkan untuk membantu perjalanan cerita.

2. Peristiwa dimana Hakim ditewaskan oleh Camelia ketika pembunuhan seorang VIP tidak ditunjukkan dengan jelas. Dari segi penceritaan, aku sebagai pembaca tidak dapat merasai kenapa Hakim marah kerana dia tidak bertarung secara langsung dengan Camelia pun. Sekiranya ditambah sub plot di mana terdapat pertarungan antara mereka berdua sehingga menyebabkan ianya menjadi sebuah dendam. Maka pembaca akan lebih merasai kemarahan dan dendam Hakim.

3. Watak pembunuh tidak diceritakan latarbelakangnya bagi menggambarkan kenapa karakter itu sebegitu kejam. Sekiranya ada sedikit gambaran mungkin boleh membuatkan pembaca lebih menjiwai watak pembunuh ini. Mungkin penulis boleh buat novel prekuel untuk kisah ini.

Baiklah, setakat ini saja ulasan untuk novel thriller TEMPUR. Buku yang tidak rugi untuk dimiliki dan dibaca. Tahniah dan syabas kepada penulis. Semoga terus menghasilkan novel bermutu di masa akan datang.

TEMPUR - "Membujur lalu, melintang patah!"

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...