Showing posts with label novel melayu. Show all posts
Showing posts with label novel melayu. Show all posts

Ingin jatuh cinta? 6 buah buku ini bisa buat anda mengalaminya.



CINTA - umpama satu kuasa yang ada di mana-mana. Cinta kepada Allah, cinta fitrah sesama manusia, cinta kepada keluarga dan masyarakat. Setiap dari kita pasti pernah merasainya, rasa cinta, kasih dan sayang ini tidak akan pernah luput dari jiwa seorang manusia. 

Novel cinta salah satu genre yang banyak di pasaran seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Lambakan novel cinta menyebabkan ramai pembaca merasakan genre ini sudah tepu dan jalan ceritanya yang klise. 

Jadi kami ingin berikan anda 6 buah novel cinta yang luar dari kebiasaan. Bisa membuat anda jatuh cinta sekali lagi. 



Sunan Cinta Nan Sakti
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2015
Penerbit: Alaf21

Buku ke-8 dalam siri epik SUNAN.  Kisah cinta Saifuddin dan Ratna Sang Ratu Sulaman dalam kancah peperangan dan permusuhan. 


Wali Sufi menegah cinta itu kerana cinta kepada Pencipta diutamakan, lalu cinta fitrah suci bakal dikurniakan.

Maharani melarang cinta Sang Ratu kerana ia bakal melemahkan semangat srikandi seorang pejuang.

"Sebagai manusia...aku sayang padamu." - Laksamana Sunan

"Akan aku pastikan kuburanmu tidak bertanda. Akan kupastikan kematianmu tidak diratapi... apatah lagi untuk dikenang. Seluruh marga negerimu akan kuseksa. Kujadikan negerimu sebuah neraka dunia!” - Ratna Sang Ratu Sulaman.

Dalam kancah peperangan dan permusuhan yang sedang rancak bergolak, maka...

Di sinilah... lahirnya seorang legenda.Di sini jugalah zahirnya sebuah cinta.

Siapa yang bakal belasungkawa? Pencinta atau yang dicintai?



Cik Yah dan Encik Lias
Penulis: Airisz
Tahun Terbit: 2019
Penerbit: Karya Seni

Kisah Yah yang duduk dikampung mengusahakan perniagaan ikan pekasam. Selalu dipandang hina dan busuk oleh orang sekeliling dan adik beradiknya sendiri. Namun, dia tidak patah semangat. Yah menjadikan hinaan itu sebagai pembakar semangat. Biar satu hari nanti, mereka sedar busuk ikan pekasam itu akan jadi wangi bila menjadi duit. 

Lias seorang pemuda kampung yang hanya bekerja di kolam ikan. Dengan motor cabuknya dia ke hulu ke hilir mencari rezeki. Orang kampung dengan mudah memanggilnya pemalas kerana mereka tidak nampak usaha dan penat lelahnya menternak ikan. 

Kau tahu kan Lias tu tak ada kerja tetap? Dia tu tak ada masa depan. Dengan lelaki tak guna tu kau nak kahwin?” - Along

Tak ada lelaki lain ke nak buat suami? Apa Lias yang boleh berikan pada kau? Kerja kampung macam tu tak menjamin masa depan langsung!” - Wan


Cinta mereka mungkin kebetulan, mungkin tidak semanis kisah cinta yang lain. Namun, kisah cinta mereka bersama perjuangan membuka mata orang sekeliling supaya tidak memandang hina kepada usaha yang mereka lakukan. Tanpa pelajaran yang tinggi, mereka berusaha untuk berjaya. Dengan kecaman dari orang sekeliling, mereka buktikan yang mereka boleh berjaya.




Pulang
Penulis: Lily Haslina Nasir
Tahun Terbit: 2018
Penerbit: Karya Seni

Che Thom dan Othman bertemu dan bercinta. Tuntutan hidup memisahkan mereka bila Othman belayar menjadi kelasi kapal untuk mencari nafkah buat keluarga mereka. Janji Othman sentiasa diingati Che Thom.

"Aku janji Thom, aku pulang. Aku janji aku balik semula ke Serkam. Aku tak ada harta di sini. Izinkan aku belayar keliling dunia, Aku buat semua ini untuk kau, Thom. Aku janji aku kirim berita untuk kau." - Othman

Penantian itu sesungguhnya satu penyiksaan. Penantian Che Thom yang tiada penghujung dan kesudahannya. Mampukah cinta mereka dipertahankan? Adakah bahagia masih milik mereka? Lupakan Othman pada janji yang pernah dilafazkan. PULANG, sebuah naskah yang memaparkan kisah cinta yang tidak diduga.




Jaja & Din
Penulis: Noor Suraya
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Jemari Seni

Cinta pandang pertama, adakah wujud di alam nyata? Jaja tidak menyangka sebuah gambar telah buat dia jatuh cinta. Dia nekad mencari empunya diri berdasarkan maklumat yang diperolehi dari juru gambar yang terbabit. Jalan lama itu ditelusuri sambil berdoa kepada Allah agar dia dipertemukan dengan tuan punya diri.

Inilah cerita Jaja
yang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala ‘zuhud’ macam Din nanti?

Jaja yang berubah 360 darjah demi cintanya kepada Din.

Din yang cuba menerima Jaja dalam kehidupannya.

Semuanya tak seindah yang diimpikan. Kehidupan Din dan Jaja yang berbeza. Impian dan cita-cita Din yang ingin berjihad di jalan Allah. Dapatkah Jaja menerima semuanya? Tegarkah Jaja menunggu Din  untuk pulang semula kepangkuannya? 




Tak ada cinta sepertimu
Penulis: Anna Milia
Tahun Terbit: 2017
Penerbit: Fajar Pakeer

Kisah kehidupan Athea yang penuh cabaran dan dugaan. Segala kebaikannya disalah erti, Hazran merasakan kehadiran Athea menjadi punca dia putus tunang. Tuduhan berat yang dilemparkan Hazran kepada Athea menyebabkan Athea nekad tidak lagi wujud dalam hidup Hazran. 

Athea meneruskan kehidupan seperti biasa hingga dia bertemu semula dengan Azam. Athea seperti mendapat nafas baru dalam hidupnya. Azam dirasakan lelaki yang bakal memahami dan menghargai dirinya. Kehadiran Azam sedikit sebanyak menyedarkan Hazran akan perasaan sebenarnya kepada Athea. Dan Azam...bukan lelaki seperti yang Athea idamkan.

Namun, kisah cinta mereka terus dihujani dengan konflik. Ayah Athea yang jatuh sakit, Azam yang mementingkan diri sendiri dan ibu Hazran yang menentang pilihan hati anaknya.

Cabaran dan dugaan, mampukah Athea harunginya? Adakah kebahagiaan bakal jadi milik mereka?


Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Tahun Terbit: 2008
Penerbit: PTS Milllenia

Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

KISAH cinta memang enak dibaca. Namun tidak banyak kisah cinta yang dinovelkan menyuguh batas-batas cinta menurut Islam apalagi menyuntik wacana pemikiran yang seharusnya menjadi bekal sekaligus memperkaya jiwa pembaca. Lantas Salju Sakinah cuba menawarkan apa yang jarang-jarang ditawarkan selama ini.

Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

Meskipun Salju Sakinah menjadikan wanita sebagai watak utama dan mengambil dua latar tempat yang jauh berbeza iaitu Jordan dan Malaysia, novel ini dengan sengaja mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Timur Tengah selain konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat.



Book Review #33: Scarlett




Tajuk: SCARLETT
Penulis: Sha Hanim Ramli
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: HuCAD Consultants

SCAR – parut.
SCARLETT – parut lama yang harus dilepaskan.

Titisan air mata yang mengalir sudah cukup menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh empunya diri. Mata itu menyimpan seribu rahsia yang tidak mampu diluahkan kerana tiada siapa yang mengerti. Kulit buku ini telah menzahirkan kisah derita seorang manusia yang mungkin tidak terfikir oleh kita yang tidak mengalaminya.

Novel SCARLETT mengetengahkan isu kemurungan yang mungkin tanpa disedari sedang menular dalam masyarakat kita. Teknologi yang bergerak maju seperti telah mengurangkan kadar sensitiviti manusia kepada perubahan sekeliling. Masyarakat sekarang sudah tidak mahu lagi menjaga tepi kain orang lain.

SINOPSIS
Qaseh tidak pernah rasa bahagia dan gembira. Sejak kecil lagi dia diherdik dan dicaci oleh ibu tirinya. Malah bapanya sendiri menggangap dia seorang yang membawa sial kerana menyebabkan kematian ibu kandungnya Che Indah.

Di sekolah dia tidak pernah disukai oleh rakan seusianya kerana mereka menggangap Qaseh seorang yang pelik. Hanya Aliya tempat dia meluah rasa dan menjadi sahabat baiknya. Namun, Aliya pergi meninggalkan Qaseh kerana penyakit leukimia. Episod hitam dalam hidup Qaseh bermula bila dia  mengambil tindakan lari dari rumah. Dia ingin lari dari belenggu ibu tirinya, tapi dia dibelenggu pula oleh Jaslin dan Haedar.


“SCARLETT”
Depresi, andai tidak dirawat bakal meragut nyawa sendiri.
Maka biarlah badai itu berlalu…
“Tapi kalau tuan berani berdepan dengan wanita psycho, dialah orangnya.”
Cuma perlu ingat, jangan berumah tepi pantai kalau tidak sanggup dilambung ombak”
“Aku dulu terlatih sebagai tentera risik pun tak terfikir untuk cipta system dalam otak sendiri, atau untuk hidupkan semula otak yang ‘mati’ macam otak dia itu”


PANDANGAN TERHADAP NOVEL INI
Setiap manusia di dunia ini melalui pelbagai jenis dugaan dan ujian dari Allah S.W.T. Jalan hidup setiap hamba-Nya adalah berbeza antara satu sama lain. Diberikan kelebihan di satu perkara dan diberikan kekurangan untuk satu perkara yang lain.

Qaseh telah melalui berbagai rencah hidup dan akhirnya menemukan dia dengan April. Rakan serumahnya ini sedia maklum dengan penyakit kemurungan yang ditanggung oleh Qaseh. April nekad untuk membantu kerana tidak mahu peristiwa yang menimpa sahabatnya Nabila berulang kembali.

"Kematian Nabila menunjukkan betapa masyarakat normal terlalu leka dengan permasalahan depresi. Bukan salah dia, tetapi salah kami yang normal, tidak membantu dengan sebaiknya."

Arash hadir untuk membantu mengeluarkan Qaseh dari belenggu kemurungan. Bukan satu tugas yang mudah kerana Qaseh tidak ingin berkongsi pengalaman pahitnya dengan sesiapa. Apabila seorang pesakit depresi terus menutup pintu mindanya kepada orang luar, maka semakin sukarlah usaha untuk mengeluarkan mereka dari ruang minda yang negative itu.

Qaseh, tambahkan serotonin, insya-Allah akan dapat kembali hidup normal seperti orang lain.

Kisah ini bertambah menarik setelah sampai ke bab-10. Watak Qaseh sentiasa berubah-ubah, sekejap pendiam, sekejap riang dan ada masanya seperti sangat kejam. Qaseh mula merancang untuk menghapuskan orang-orang yang mengakibatkannya mengalami satu pengalaman hitam dalam hidupnya. Seorang demi seorang dijejaki oleh Qaseh. 9 jahanam itulah yang diburu oleh Qaseh untuk menghapuskan traumanya.

Kisah 9 jahanam ini dibongkar satu persatu. Semakin lama, pembaca akan mengetahui kisah silam Qaseh sedikit demi sedikit. Masih menjadi tanda tanya adakah Qaseh betul-betul membunuh 9 jahanam ini. Bila difikirkan kembali, Qaseh yang lemah lembut itu, mampukah dia menewaskan kesemua musuhnya? Jika diteliti kembali, perkara ini mungkin tidak mustahil bila mengingatkan betapa agresifnya Qaseh ketika kemurungannya melanda. Di sini penulis dengan bijak dan berjaya memanipulasi fikiran pembaca.

Penulis juga telah berkongsi banyak maklumat tentang apa itu depresi, bagaimana ianya terjadi dan apakah rawatan yang perlu dilalui oleh orang yang mempunyai masalah depresi ini. Sesi terapi bersama Dr. Hananee sedikit sebanyak memberi pendedahan tentang kaedah dan juga rawatan yang dilakukan untuk pesakit depresi.

Dari segi gaya bahasa dan plot cerita, penulis telah menyusun dengan kemas dan baik. Sebuah kisah masyarakat yang patut diketengahkan dan dibaca oleh lebih ramai orang bagi meningkatkan kadar kesedaran tentang masalah kemurungan.

Tahniah untuk penulis kerana berjaya menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada pembaca secara khususnya dan kepada masyarakat secara amnya.

5 Novel Melayu bertemakan "Time Travel"


1. INFINITI KARYA FARRAH IZZLORNA

Andrian kerap menafikan apa yang dilihat itu sebagai suatu kelebihan. Sementara puan Rohani ibu kepada Andrian menganggap itu adalah satu penyakit mental. Dakwaan itu yang menyebabkan Andrian menganggap dirinya selalu berhalusinasi dan solusinya adalah dengan bergantung kepada ubat anti-psikotik.

Hidupnya berubah apabila Andrian ditakdirkan merentasi ke masa lampau iaitu tahun 1985. Di waktu itu dia menemui kebenaran tentang diri dan juga keluarganya. Siapa Luth, Suri, Yasmin dan Puan Hafsyah yang sebenarnya. Siapa mereka di dalam hidup Andrian sehingga mengubah seluruh pendirian dan kepercayaannya.

Sihir aku boleh mencederakan sesiapa saja dalam dunia ini. Kecuali keluarga aku. Darah daging aku. Keturunan aku. Anak-anak aku. Tapi kau bukannya anak aku. Jadi, siapa kau? Apa kaitan kau dengan aku?"

Teknik peralihan masa dari tahun 2007 ke 1985 kemudian kembali ke 2017 dilakukan dengan kemas. Setiap bab mempunyai “cliff hanger” yang menyebabkan aku tak sabar untuk mendapatkan jawapannya. Novel ini boleh dikategorikan sebagai urban fantasi. Diselitkan unsur mistik, fantasi dan cinta. Sekiranya ingin membaca sebuah novel cinta yang berlainan tetapi cukup menyentuh jiwa aku sarankan untuk membaca novel hebat ini.

Ulasan penuh.






2. BAGAIKAN PUTERI RAMLEE AWANG MURSHID


'Awan... Kalau dapat kucapai, maka saktilah hamba'

"Apabila hujan turun, melimpahlah air dari perbukitan, aliran
menujah batu, melekuk tanda waktu beralib, seiring nyawa
menghanyut usia, sejalan nafas melangkah ke hujung"

Haryani dan Laksamana Sunan, mereka dari zaman yang berbeza. Bertemu dalam keadaan yang tidak disangka, diluar batas pemikiran manusia. Haryani terperangkap antara kebaikan dan kebatilan.

Dani, pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21. Mampukah Dani merealisasikannya. Apa yang pasti, ada hati yang akan terluka.

Apabila bahagia seperti hampir menyapa, kejadian yang tidak disangka telah berlaku. Haryani menjeruk rasa, impiannya hancur berkecai. 

Penulis thriller tersohor ini tidak pernah mengecewakan pembaca setianya. Novel Bagaikan Puteri sebuah kisah yang penuh dengan konflik, tragedi, pengembaraan merentasi dimensi masa, mistik dan magik. Bagaimana ianya boleh berlaku? Baca novel ini, anda bakal menemui jawapannya.



3. KITAB LAMA KARYA SHA HANIM RAMLI

"Kita ini orang Melayu Islam. Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Sejauh mana adat kita sesat atau disesatkan, kita masih boleh berpatah balik dan berpegang kembali pada syarak, kalau hati sendiri masih mahu." - Merah

Disaat ramai penulis wanita berlumba menulis genre cinta pasangan kekasih mahupun suami isteri, penulis bernama Sha Hanim Ramli ini menulis tentang perjuangan bangsa, pengorbanan demi tanah air tercinta dan keluarga, percintaan berlandaskan syariat dan adab sopan yang semakin terhakis.

Agak kagum dengan plot dan olahan cerita yg cukup menarik dan mengasyikkan. Ternyata penulis tidak menulis semborono tetapi membuat kajian secara terperinci terhadap fakta-fakta sejarah yang terdapat dalam novel ini. 

Kitab Lama ini sebuah novel gabungan sejarah, fantasi dan aksi. Sebuah novel yang perlu dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. 



4. SEKALI LAGI KARYA AUNI ZAINAL


Nadiah seperti diberikan peluang ke-2. Sebuah diari misteri telah membawanya ke dimensi masa yang lalu. Nadiah yang berusia 32 tahun kita berada pada zaman ketika dia di tingkatan 4 sekolah SMITH. Apa yang berlaku sebenarnya? 

Nadiah keliru tapi pada masa yang sama dia teruja. Apa yang disampaikan kepada teman sebiliknya sangat gila. Tsunami di Acheh? 10 tahun akan datang, kapal terbang MAS akan hilang dari radar? Semuanya kelihatan gila pada Ilyani dan dia sukar mempercayainya.

Kegilaan itu menjadi buah mulut di sekolah dan menyebabkan orang lain menggangap Nadiah telah mengalami masalah mental selepas kemalangan yang menimpanya. Tiada siapa percaya dengan apa yang dia katakan.

Namun, ada seseorang yang mempunyai niat jahat dan ingin menggunakan kelebihan Nadiah. Adakah Nadiah bakal menemui bahagianya kembali? SEKALI LAGI bakal menjawab persoalan ini.



5. MESEJ KARYA ANNA LEE


Mesej sebuah karya bergenre urban fantasi hasil olahan penulis Anna Lee. Tiada kisah seorang anak Datuk atau Tan Sri bertemu jodoh dengan gadis kampung. Hanya kisah orang biasa yang menempuhi cabaran percintaan yang unik dan diluar pemikiran manusia normal tetapi perkara itu tidak mustahil jika Dia mengizinkan ianya berlaku.

Kisah percintaan yang merentasi masa antara Aria dan Jason. Sebuah pertemuan yang ditakdirkan berlaku di tahun 2004 membibitkan perasaan cinta pandang pertama antara Aria dan Jason. Mereka berjanji akan bertemu kembali di Menara Eiffel Tower Paris, 10 tahun akan datang.

Nik tiba-tiba muncul penuh misteri dan menyimpan suatu rahsia. Bagaimana Aria mengatasi kecelaruan perasaan bila berhadapan dengan Nik dan Jason. Yang pasti Nik berada di alam nyata dan wujud di mata Aria, Jason pula jauh terpisah sepuluh tahun ke belakang. Nik sentiasa menggugah perasaan Aria setiap kali mereka bertemu.

Sanggupkah Aria menunggu janji Jason selama 10 tahun? Siapa Nik dan siapa Jason sebenarnya… kena beli buku ni. Serius memang menarik.


Kisah ini membuatkan kita ingin ke Paris menjelajah jalan-jalan dan tempat yang pernah dilalui Aria dan Jason. Cara penulis menggambarkan kota cinta itu seolah-olah kita berada disana menikmati keindahan “City of Light” di Paris.


Book Review #32: Raudhah



Tajuk: Raudhah
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Alaf 21 (Grup Buku Karangkraf)
Tahun Terbit: 2015

Sinopsis:

Joker dan White - Gabungan 2 penjenayah professional yang hanya  berkomunikasi menerusi email. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain, namun sentiasa berhubung demi satu tujuan - menghapuskan mawar putih.

Faris dan Hambali - Mereka rakan ketika di sekolah, tapi terpisah bila Faris lari dari kampung. Pertemuan kembali di perkarangan masjid merapatkan kembali persahabatan mereka. Faris nekad untuk berubah dan meminta pertolongan Hambali. Namun percaturan Allah lebih hebat dari perancangan hambanya.

Raudhah - Taman-taman syurga. Hanya iman dan takwa mampu membimbing manusia untuk menemui raudhahnya. Siapakah Raudhah yang dicari oleh Faris?

Tentang Penulis:

Buku ke-24 karya novelis Tuan Ramlee Awang Murshid berjudul Raudhah. Karya ini telah diterbitkan pada tahun 2015 oleh ALAF 21 @Grup Buku Karangkraf. Tuan Ramlee merupakan novelis yang berasal dari Sabah dan telah banyak menghasilkan novel-novel berunsurkan thriller.

Novel bergenre thriller ini mengisahkan kehidupan Joker seorang pembunuh upahan. Joker menjadi buruan polis, namun dia masih gagal diberkas. Kehidupan Joker mula berubah bila dia telah mengalami serangan jantung yang menyebabkan jantungnya berhenti selama tiga minit. Keajaiban berlaku bila dia masih hidup dan kesnya menjadi satu tanda tanya. 

Ulasan:

Setelah selesai membaca helaian demi helaian saya akhirnya memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Kisah ini bukan sekadar cerita aksi kosong tanpa hala tuju. Kisah ini bukan hanya tentang seorang pembunuh upahan dan siasatan polis terhadap semua kes-kes pembunuhan yang telah dilakukan. Kisah Joker atau Faris mempunyai maksud yang lebih mendalam.

Jantung Joker telah telah terhenti selama 3 minit. Menurut ilmu perubatan, Joker telah mati. Namun keajaiban berlaku dan jantungnya kembali berfungsi. Ya, Allah memberikannya peluang ke-2. Dia kemudiannya dipertemukan dengan rakannya Hambali.

Hambali merupakan rakan sekolah dan tinggal sekampung dengan Faris. Keluarga mereka saling mengenali antara satu sama lain. Faris ketika remaja telah melarikan diri dari kampung kerana tidak tahan didera oleh pak ciknya. Sejak itu mereka telah terpisah. Takdir menemukan mereka kembali di hadapan rumah Allah S.W.T.

Hambali sangat gembira kerana bertemu kembali dengan Faris, rakan yang telah banyak mempertahankan dirinya dari dibuli pada zaman sekolah dahulu. Pada Hambali, Faris adalah penyelamat dan rakan karibnya.

Sejak peristiwa jantung Faris terhenti, dia mula sedar akan semua kesilapan dan dosa yang telah dilakukan. Pertemuannya dengan Hambali telah menguatkan lagi hati Faris untuk segera bertaubat. Dia takut sekiranya maut datang menjemputnya tanpa amaran.

Namun, jalan yang harus dilalui tidak semudah yang disangka. White, rakan subahatnya tidak mahu melepaskan Joker begitu sahaja. Joker kini buruan White.

Kisah Faris adalah satu bentuk simbolik tentang hidayah dari Allah S.W.T. Selagi kita yang bernama hamba-Nya masih diberikan nafas untuk hidup, pintu taubat itu sentiasa terbuka. 3 minit yang dilalui oleh Faris telah mengubah segala-galanya. Faris yang dulunya seorang yang jahat, membunuh tanpa rasa bersalah telah diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah untuk berubah.

Tempoh masa yang singkat di dunia tetapi cukup panjang di alam sana. Faris telah melalui satu kehidupan sebagai seorang Awwabin (orang yang bertaubat). Dia telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang lelaki berbangsa Arab. Walaupun hakikatnya Faris tidak membunuh lelaki tersebut. Namun undang-undang di negara Arab amat ketat. Hukuman hudud diguna pakai disana. Tawaran diyat boleh dilakukan sebagai balasan memohon maaf kepada keluarga mangsa sekiranya mereka bersetuju.

Di sini, keluarga mangsa meminta tawaran diyat yang sangat tinggi. Oleh itu, Faris tidak mampu membayarnya dan bakal dijatuhkan hukuman pancung. Reda dengan ketentuan dari yang Maha Esa, Faris mengisi saat-saat akhir dalam hidupnya dengan beribadah dan memohon keampuan dari Allah S.W.T.

Pandangan saya karya ini bagus untuk bacaan kerana bukan saja ditulis untuk hiburan tetapi mempunyai mesej yang baik. Setiap dari kita adalah hamba Allah yang tidak pernah leka dari melakukan kesalahan. Mohonlah pengampunan dari Allah S.W.T.

Kisah ini menceritakan seseorang manusia sekiranya ditunjuki jalan yang benar pasti mampu untuk menjadi insan yang baik. Faris pada awalnya telah bertemu dengan orang yang salah lalu mengikut jalan yang sesat. Namun dia diberikan peluang untuk berubah dan menjadi seorang insan yang lebih baik.

Faris adalah satu contoh watak manusia yang telah melakukan dosa dan Allah S.W.T menghadirkan hidayah kepadanya dalam bentuk yang tidak disangkakan. Hidayah dari Allah datang dengan pelbagai cara dan Faris menerimanya ketika dia dalam koma.

Begitulah kehebatan Allah, hidayah didatangkan dengan pelbagai cara yang tidak kita jangkakan. Semoga kisah ini menjadi satu pengajaran buat kita. 

Book Review #30: I'm not a monster


Tajuk: I'm not a monster
Penulis: Sara Aisha
Terbitan: Karya Seni
Tahun Terbit: 2018

Ini kali pertama aku membaca karya Sara Aisha. Kenapa aku teruja hendak memiliki buku I’m not a monster ini adalah kerana ulasan mengenai karyanya yang bertajuk Salju Kyoto. Jadi semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2018 baru-baru ini aku tak melepas peluang membeli karya terbaru Sara Aisha.

Jarang sekali aku lihat penulis wanita mampu menulis cerita aksi dengan cukup hebat dan suspen, tetapi Sara Aisha merubah persepsi aku terhadap kemampuan penulis wanita malah karya beliau ini cukup mengagumkan.


Babak percintaan antara Ryu dan Maya cukup unik dan menarik. Membaca novel ini bagaikan menonton sebuah filem, garapan yang cukup kemas sehingga membuatkan kita sebagai pembaca dapat berimaginasi setiap aksi watak secara terperinci. Disamping itu banyak informasi mengenai organisasi dan aktiviti sebuah kongsi gelap dijelaskan di dalam novel ini. Sara Aisha ternyata membuat kajian secara mendalam tentang kehidupan geng kongsi gelap.

Sinopsis:
Novel ini mengisahkan kehidupan seorang ahli kongsi gelap ‘Red Dragon’ yang bernama Ishikawa Ryu yang menjadi orang kanan ‘hung kwan’ (ketua kawasan) bernama Luo Ming. Ryu sanggup menggadaikan nyawa demi ‘dai lo’ (ketua) kerana merasakan terhutang budi terhadap Luo Ming yang dianggap seperti abang. Meskipun Ryu terlibat dengan pelbagai perbalahan dan pergaduhan diantara kumpulan kongsi gelap yang lain, dia memegang prinsipnya untuk tidak membunuh tetapi sekadar memberi kecederaan teruk atau yang paling kritikal sehingga mangsanya menjadi cacat.

Perebutan kuasa bagi mendapatkan kedudukan tertinggi sebagai ‘Cho Kun’ bagi organisasi induk iaitu ‘Soaring Dragon’ menyebabkan begitu banyak nyawa yang terkorban. Malah Ryu sendiri terpaksa mengorbankan prinsipnya demi menjaga kedudukan dan kesetiaan terhadap ketua barunya ‘Zachary Ho’.

Namun kehidupan Ryu berubah tanpa disedari sejak bertemu dengan gadis bernama Maya. Mereka bertembung ketika Ryu melarikan diri dari di serang kumpulan ‘Bloody Dragon’, sementara Maya seorang gadis bisu pula melarikan diri dari sekumpulan penjahat yang telah menyerang dia dan ibunya. Maya mengambil keputusan yang berani untuk tinggal bersama Ryu walaupun dia tahu lelaki itu adalah ahli kongsi gelap. Bagi Maya hanya Ryu sahaja yang boleh melindunginya.

Ryu yang pada mulanya keberatan untuk menerima Maya tinggal bersama. Akhirnya bersetuju dengan syarat Maya tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa keizinan Ryu. Maka bermulalah perjalanan hidup mereka bersama konflik yang sarat dan rahsia yang tersimpan rapi demi keselamatan diri.

Memandangkan ini adalah genre cinta aksi sudah tentu kita akan dihidangkan dengan kisah percintaan antara Ryu dan Maya. Namun kisah sweet itu tidak keterlaluan memandangkan sikap Ryu yang terlalu dingin dan sememangnya tidak romantis membuat Maya semakin keliru.

Kesimpulannya:
Susunan plot yang cukup kemas meskipun begitu banyak konflik dan permasalahan diketengahkan. Plot twist yang membuatkan kisah ini full of suprises. Bagi aku yang paling menarik bagaimana penutup cerita ini diolah. Seperti biasa kita akan menjangkakan bab-bab akhir akan menceritakan kebahagian tetapi sebaliknya yang terjadi, sesuatu yang meruntun jiwa tetapi aku tidaklah mengatakan ianya sad ending. Kalau nak tahu kenalah baca buku ini untuk faham apa yang aku maksudkan.

Agak sukar untuk aku lihat dimana kelemahan novel ini. Ada sedikit kelonggaran tetapi itu telah ditutupi dengan perjalanan cerita yang cukup menarik. Aku ni susah sikit nak bagi bintang tetapi untuk cerita ini memang terpanggil untuk beri 4 setengah bintang, eh! Silap…5 bintang…

Book Review 28#: 7 Pintu


Tajuk: 7 Pintu
Penulis: Ahmad Rusydi
Terbitan: Rapik Asura
Tahun Terbitan: 2018

Entah kenapa aku tertarik melihat novel 7 Pintu di rak buku Popular Bookstore. Buku ini tidak termasuk dalam senarai yang patut aku beli tapi entahlah tangan terus sahaja menggapai buku ini dan membawa ke kaunter bayaran. Adakah aku telah dipukau oleh Argono?

Sememangnya aku tidak salah memilih, mula dari muka surat pertama sudah berjaya menambat hati. Rentak cerita yang semakin lama semakin mendebarkan dan seterusnya penuh dengan misteri. Teknik flashback digarap dengan cukup baik. 

Sinopsis:
Perubahan Ika semakin membingungkan Faris. Isterinya kerap bertanyakan soalan yang tidak masuk akal dan sudah beberapa kali dia menerangkan bahawa rumah mereka hanya ada 4 bilik tidur dan 2 bilik air namun Ika tetap mengatakan rumah mereka ada 7 bilik. Keadaan Ika semakin serius apabila mula merasakan mereka pernah mempunyai anak yang ketiga.

Akhirnya Faris akur bahawa Ika kemungkinan mempunyai masalah tekanan perasaan. Namun rawatan psikologis dari Dr. Salhah hanya mengundang tragedi berdarah. Kenapa dia dibunuh masih menjadi misteri. Faris pula telah di tangkap atas tuduhan membunuh anak-anaknya.

Kau memang akan mati, Roslan. Kau tolong keturunan pembunuh! Nantikan sahaja.”
Antara dialog yang menambahkan misteri kisah di dalam novel ini. 


Ulasan:
Ok setakat itu sahaja yang boleh ditulis, tidak mahu jadi spoiler kepada sebuah novel yang menarik. Untuk anda yang ingin tahu kesudahannya, sila dapat naskah ini di kedai buku berhampiran. Sempat lagi iklankan…hahah

Penulis ternyata berjaya menggarap plot dengan kemas dan hubung kait setiap watak disusun atur dengan baik. Cliff hanger pada setiap bab cukup mendebarkan sehinggakan aku sendiri tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya. Di dalam novel ini diselitkan tugas-tugas seorang psikiatris, terpaksa berhadapan dengan penjenayah yang mempunyai sakit mental. Memang agak mencemaskan apabila doktor yang melakukan diagnosis ke atas Faris hampir menjadi mangsa. 

Teknik flashback (mengimbas kembali) sejarah dan kewujudan makhluk itu diolah dengan rapi. Deskripsi sebuah kampung serta kehidupan penduduk Kampung Alor pada 1941 di ceritakan dengan terperinci sehingga kita sebagai pembaca seolah-olah berada di era tersebut. Paling menarik apabila penulis menceritakan tentang kehidupan dan kepercayaan orang asli, suatu perkara baru yang boleh kita pelajari.

Keseluruhan novel ini aku tidak nampak mana kelonggarannya. Penceritaan yang ternyata tidak meleret. Boleh rasai setiap emosi watak dan kejadian yang berlaku. Detik seram mampu meremangkan bulu roma dan plot sedih mampu meruntun jiwa. Apa pun syabas buat Ahmad Rusydi. Kami menantikan karya anda seterusnya.

Book Review #22: HERO



Tajuk: HERO
Penulis: Hilal Asyraf
Tahun Terbit: 2017
Terbitan: Hilal Asyraf Resources


Sebuah lagi karya dari penulis Hilal Asyraf. Ini buku ke-3 beliau yang saya baca. 

Sinopsis

HERO mengisahkan tentang Afam yang hilang hala tuju. Semenjak kematian kedua-dua orang tuanya, hidupnya jadi tak tentu arah. Hanya tahu berhibur. Namun ada sesuatu kebaikan dalam dirinya yang mendorong dia menggunakan sut hero untuk membantu orang ramai. Sebenarnya misi Afam adalah untuk menjejaki siapa dalang pembunuhan ibubapanya. 

Komen
Kisah perjalanan Afam dalam memburu dan diburu telah menemukan dia dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Novel ini mencakupi banyak aspek. Kisah kehidupan, cinta, perjalanan mencari diri, kebenaran, ketenangan dan makna Islam yang sebenar. Bukan hanya sekadar pada nama atau kad pengenalan.

Setiap orang yang ingin berubah tidak akan menemui jalannya sekiranya dia masih dalam kelompok yang salah. Kemunculan Husna dan wasiat bapanya telah membuka satu lembaran baru untuk Afam mencari dirinya yang sebenar. Pak Arbi, Mr. Umayer dan Auntie Mai juga banyak membantu Afam menempuhi perjalanan hidup yang penuh dengan onak dan duri.


Apa yang saya suka dan seronok membaca novel HERO:

1) Jalan cerita yang mantap, penulis berjaya membina persoalan dan memberi jawapan secara secara minima kepada pembaca. Ini telah membina cliff hanger yang baik bagi memastikan pembaca sampai ke helaian terakhir.

2) Watak HERO berjaya dibina atas jenamanya sendiri. Pada awalnya saya mempunyai tanggapan, mungkin HERO ini akan ada gambaran iras-iras Iron Man. Namun setelah dibaca, sangat menyimpang anggapan saya itu.


3) Dalam novel ini ada dakwah, dalam novel ini ada ilmu yang kita dapat. Peringatan secara tidak langsung dari penulis kepada pembaca tentang cara hidup islam. Pentingnya solat, itu tiang agama. Di mana kita akan jumpa ketenangan yang kita cari. 

"Ingat disini bukan bermaksud mengingati sahaja." - Husna

Apa yang saya harapkan, suatu hari nanti negara kita menjadi seperti yang digambarkan dalam novel ini. Sesungguhnya sekiranya itu terjadi, kita pasti menjadi rakyat yang paling bahagia dan insya allah hambaNya yang dirahmati di dunia dan akhirat.

Peluang sentiasa ada, kita sebagai manusia perlu memanfaatkan setiap detik waktu yang diberi dan digunakan ke jalan yang diredai Allah S.W.T


Senarai buku-buku menarik untuk dibaca tahun 2018



1. HIKAYAT SATRIA SATRIA SEJATI: ARUS PERUBAHAN 

Bakal terbit tidak lama lagi. Follow FB page Hilal Asyraf Offical, slot pre-order telah dibuka dari 15-Feb-2018 hingga 15-Mar-2018.

Untuk makluman, novel ini merupakan kesinambungan dari novel Hikayat Satria Satria Sejati: Generasi Baru. Kisah Ariki seorang anak Maharaja yang tidak suka dan setuju dengan gaya hidup ayahandanya. Dia bangkit menentang dan bertemu dengan Aifer dan Kabeer. Mereka berdua membimbing Ariki dan menunjukkannya jalan kebenaran. Selain itu, mereka juga melatih Ariki menggunakan dan mengawal unsur yang ada dalam dirinya. Unsur apakah yang dimaksudkan, anda perlu baca untuk mengetahui.

Novel ini akan menyambung kisah perjuangan Ariki dalam menengakkan kebenaran dan menumbangkan kezaliman pemerintahan ayahandanya sendiri. 


p/s: Novel Samurai Melayu juga dah dibuka untuk pre-order.

2. KATSURO

Karya penulis novel TERORIS, saudara Syauqie MK. Novel ini terbitan Pukat Pikat Press bakal keluar di  PBAKL 2018. Dengarnya novel ini gabungan kisah romantis +  drama + misteri. Erm, macam mana agaknya tu, boleh follow FB page Pukat Pikat Press untuk dapatkan maklumat lanjut. Penulis ada memberi tahu, manuskrip novel ini telah tersimpan hampir 20 tahun, oh lama tu, mesti sesuatu yang istimewa. 

Bukan itu sahaja, penulis ini juga tengah ligat menulis 3 lagi manuskrip beliau yang bakal terbit iaitu  1.#KerisLongLeh  2.#KrisisCharlie #JanganCariPasal 3.#Sindiket

p/s: KRISIS1-LARI MANAP LARI juga merupakan hasil karya beliau.




3. RANEA

Sebuah novel fantasi sci-fic thriller. Gabungan yang menarik oleh penulis saudara Khairi Mohd. Bakal terbit pada Feb 2018 dan anda boleh baca bab awal novel ini di FB Page NovelKasyaf . Penulis memberi peluang untuk kita membaca bab awal, sekiranya novel ini kena dengan selera anda, boleh terus dapatkan dari penulis sendiri.




4. SCARLETT



Novel terbaru karya penulis Sha Hanim Ramli. Jika anda pernah membaca novel-novel beliau seperti Kitab Lama, Teori X, Cincin, pasti tidak sabar menantikan buah tangan terbaru beliau. Scarlett bakal terbit tidak lama lagi.

Kitab Lama bergenre sejarah, fantasi dan aksi. Disaat ramai penulis wanita berlumba menulis genre cinta pasangan kekasih mahupun suami isteri, penulis bernama Sha Hanim Ramli ini menulis tentang perjuangan bangsa, pengorbanan demi tanah air tercinta dan keluarga, percintaan berlandaskan syariat dan adab sopan yang semakin terhakis. 

Agak kagum dgn plot dan olahan cerita yg cukup menarik dan mengasyikkan. Ternyata penulis tidak menulis semborono tetapi membuat kajian secara terperinci terhadap fakta-fakta sejarah yang terdapat dalam novel ini. Jadi, memang tidak sabar menanti novel terbaru beliau.

5. PAKATAN BAWAH TANAH (ANEKDOT)


Gabungan 20 kisah mantap dari 20 orang penulis dari seluruh Malaysia. Penulis yang terlibat sudah pun memuat naik teaser dari anekdot ini di FB masing-masing. Buku ini sudah siap dicetak. Baca teaser yang dimuat naik oleh penulis-penulis ini memang tidak kering gusi. Pasti kelakar habis, jadi anda boleh dapatkannya segera.

Order di instagram @booklabenterprise pun boleh. Gerenti berbaloi!


6. PEARL

Karya terbaru Shirod Shukri penulis novel Iman Inbox. Kali ini tampil dengan novel terbaru PEARL. Kisah Pearl Ratna dan Rayn. Penulis ada upload bab awal di wattpad. Jadi anda boleh baca dan kalau suka boleh dapatkan novel terus dari penulis. 



PEARL

"You define your own happiness. Kita tak perlukan lelaki yang sesuka hati tarik rasa bahagia kita semudah macam tu! Kenapa perlu bersedih hanya kerana seorang lelaki yang tak mahukan kita?” Ya Pearl, kenapa? Kenapa? Dan kenapa ayat-ayat ini ibarat lontaran ayat penyedap hati kepada diri sendiri? 

Kali ini Pearl Ratna kembali ke Melbourne dengan misi khas. Bagi Pearl, sejarah lama membuatkan dia lebih berhati-hati menyusun lipatan perasaan. 



RAYN

“Dia... interesting.” Rayn tersenyum. “Dia macam ada... ada style tersendiri. Macam luar biasa sikit, tak macam yang biasa-biasa. She’s... a gem. I could sense that.”

Reynolds Hanafi, kalau sudah jatuh suka, suka sungguh-sungguh. Kalau sayang, sayang dalam-dalam. Tapi jaga-jaga. Kalau lelaki ini benci, benci sampai mati juga.




7. PLASMA


Novelis Maya Iris bakal terbit dengan novel thriller berkisarkan jenayah colar putih yang diberi judul PLASMA. Jika anda baca teaser novel ini yang dikongsikan oleh penulis, ada darah, belut, wang, kecantikan dan macam-macam lagi. Apa kaitan semua ini, akan terjawab bila anda baca sendiri novel PLASMA. Maklumat lanjut boleh lawati FB Fan Page Maya Iris

Selain itu, penulis juga bakal terbit dengan 2 lagi novel terbaru Paradoks dan Artifak. Bila? Sila ikuti perkembangannya di FB Fan Page beliau. 




8. Karya Asmah Hashim

Anda pernah baca novel beliau Aduh, Pening!  ðŸ˜¥ðŸ˜£ðŸ˜¢ðŸ˜“😔😕 .Kisah hidup Ikmal, Aleeya dan Nadia yang penuh liku. Aleeya ingatkan bila dia sudah berkahwin, semua masalah selesai. Tidak ada lagi suara-suara sumbang bertanya bila mahu makan nasi minyak. Rupanya, dugaan besar menanti. Nadia bekas isteri Ikmal datang nak rujuk kembali. Katanya demi anak-anak. Hidup Aleeya jadi huru-hara. Puas dia cuba menepis segala cabaran yang datang, namun tidak berjaya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengalah. Melepaskan Ikmal supaya kepalanya tidak pening lagi. Tapi hidup tidak seperti yang dijangka. Aduh, pening!!!



Penulis ini bakal keluar dengan buku terbarunya. Bukan 1 tapi 3 buah untuk bacaan peminat setia diluar sana. Kali ini buku beliau akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

1) Neraca Nisa - DBP (Novel Dewasa)
2) Terima Kasih Ibu - Antologi Cerpen Kanak-kanak- DBP
3) Legasi Bonda- Antologi Cerpen - DBP.



9. Cinta Undercover

Penulis anekdot Awek-Awek Sengal kembali lagi. Kali ini lebih mantap, lebih cun dan lebih kurus...hehehe itu yang penting. Nampaknya AAS bakal mengorat seorang abang macho yang kelihatan seperti Salman Khan. Siapakah abang macho ini dan AAS mana yang berjaya menambat hatinya. Keh,keh,keh...nantikan kemunculan Cinta Undercover April 2018 ini. Follow rapat-rapat update mereka di Facebook.





10. Sanggul Ular

Anda sudah dapatkan dan baca novel seram Uwan Konah? Novelis Haida Hassan bakal kembali dengan novel seram terbaru berjudul Sanggul Ular. Pasti anda semua tidak sabar menantikan novel ini yang bakal diterbitkan oleh Dear Novels. 

11. Tajul Zulkarnain

Nampaknya penulis psiko thriller ini memang mempunyai banyak idea. Mula dikenali dengan novel Dari Tanah ke Tanah, beliau tidak lagi menoleh ke belakang. Terus fokus pada bidang penulisan dan sehingga kini telah ada 4 buah novel. Beliau juga telah meneroka genre baru iaitu seram dan novel yang bertajuk Bertarung Dengan Syaitan.



Bila kami tanyakan kepada beliau, manuskrip yang bakal terbit, nah!!! 8 terus dia bagi. 

Kesumat
Hutan
Lari
Ikut
Pulang
Khianat
Bertarung Dengan Syaitan Siri#2
Mental II

12. Pazuzu Syaitan Purba





Antara buku-buku lain yang bakal terbit pada tahun 2018

  • Antologi Komplot Seram & Thriller Sewang 


  • Kembara Sufi : Permulaan Sebuah Cerita - Kisah seorang pemuda bernama Sufi mempunyai kebolehan berhubung dengan 5 alam - Alam Kayangan, Alam Jin, Alam Bin, Alam Hin dan lain-lain. Kisah-kisah perang berlaku di setiap alam mencari dan menjaga jiwa paling suci. Menarik kan. 



p/s: Team TheUlatBuku mengucapkan terima kasih kepada semua penulis yang sudi berkongsi gambar dan informasi tentang novel terbaru mereka. 

*kami akan mengemaskini list ini dari semasa ke semasa. Informasi ini kami dapatkan secara terus dari penulis di FB mereka.

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...