Tajuk: SCARLETT
Penulis: Sha Hanim Ramli
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: HuCAD Consultants
SCAR – parut.
SCARLETT – parut lama yang harus dilepaskan.
Titisan air mata yang mengalir sudah cukup menggambarkan
penderitaan yang ditanggung oleh empunya diri. Mata itu menyimpan seribu rahsia
yang tidak mampu diluahkan kerana tiada siapa yang mengerti. Kulit buku ini
telah menzahirkan kisah derita seorang manusia yang mungkin tidak terfikir oleh
kita yang tidak mengalaminya.
Novel SCARLETT mengetengahkan isu kemurungan yang mungkin
tanpa disedari sedang menular dalam masyarakat kita. Teknologi yang bergerak
maju seperti telah mengurangkan kadar sensitiviti manusia kepada perubahan
sekeliling. Masyarakat sekarang sudah tidak mahu lagi menjaga tepi kain orang
lain.
SINOPSIS
Qaseh tidak pernah rasa bahagia dan gembira. Sejak kecil
lagi dia diherdik dan dicaci oleh ibu tirinya. Malah bapanya sendiri menggangap
dia seorang yang membawa sial kerana menyebabkan kematian ibu kandungnya Che
Indah.
Di sekolah dia tidak pernah disukai oleh rakan seusianya
kerana mereka menggangap Qaseh seorang yang pelik. Hanya Aliya tempat dia
meluah rasa dan menjadi sahabat baiknya. Namun, Aliya pergi meninggalkan Qaseh
kerana penyakit leukimia. Episod hitam dalam hidup Qaseh bermula bila dia mengambil tindakan lari dari rumah. Dia ingin
lari dari belenggu ibu tirinya, tapi dia dibelenggu pula oleh Jaslin dan
Haedar.
“SCARLETT”
Depresi, andai tidak dirawat bakal meragut nyawa sendiri.
Maka biarlah badai itu berlalu…
“Tapi kalau tuan berani berdepan dengan wanita psycho,
dialah orangnya.”
Cuma perlu ingat, jangan berumah tepi pantai kalau tidak
sanggup dilambung ombak”
“Aku dulu terlatih sebagai tentera risik pun tak terfikir
untuk cipta system dalam otak sendiri, atau untuk hidupkan semula otak yang
‘mati’ macam otak dia itu”
PANDANGAN TERHADAP NOVEL INI
Setiap manusia di dunia ini melalui pelbagai jenis dugaan
dan ujian dari Allah S.W.T. Jalan hidup setiap hamba-Nya adalah berbeza antara
satu sama lain. Diberikan kelebihan di satu perkara dan diberikan kekurangan
untuk satu perkara yang lain.
Qaseh telah melalui berbagai rencah hidup dan akhirnya
menemukan dia dengan April. Rakan serumahnya ini sedia maklum dengan penyakit
kemurungan yang ditanggung oleh Qaseh. April nekad untuk membantu kerana tidak
mahu peristiwa yang menimpa sahabatnya Nabila berulang kembali.
"Kematian Nabila menunjukkan betapa masyarakat normal
terlalu leka dengan permasalahan depresi. Bukan salah dia, tetapi salah kami
yang normal, tidak membantu dengan sebaiknya."
Arash hadir untuk membantu mengeluarkan Qaseh dari belenggu
kemurungan. Bukan satu tugas yang mudah kerana Qaseh tidak ingin berkongsi
pengalaman pahitnya dengan sesiapa. Apabila seorang pesakit depresi terus
menutup pintu mindanya kepada orang luar, maka semakin sukarlah usaha untuk
mengeluarkan mereka dari ruang minda yang negative itu.
“Qaseh, tambahkan serotonin, insya-Allah akan dapat kembali
hidup normal seperti orang lain.”
Kisah ini bertambah menarik setelah sampai ke bab-10. Watak
Qaseh sentiasa berubah-ubah, sekejap pendiam, sekejap riang dan ada masanya
seperti sangat kejam. Qaseh mula merancang untuk menghapuskan orang-orang yang
mengakibatkannya mengalami satu pengalaman hitam dalam hidupnya. Seorang demi
seorang dijejaki oleh Qaseh. 9 jahanam itulah yang diburu oleh Qaseh untuk
menghapuskan traumanya.
Kisah 9 jahanam ini dibongkar satu persatu. Semakin lama,
pembaca akan mengetahui kisah silam Qaseh sedikit demi sedikit. Masih menjadi
tanda tanya adakah Qaseh betul-betul membunuh 9 jahanam ini. Bila difikirkan
kembali, Qaseh yang lemah lembut itu, mampukah dia menewaskan kesemua musuhnya?
Jika diteliti kembali, perkara ini mungkin tidak mustahil bila mengingatkan
betapa agresifnya Qaseh ketika kemurungannya melanda. Di sini penulis dengan
bijak dan berjaya memanipulasi fikiran pembaca.
Penulis juga telah berkongsi banyak maklumat tentang apa itu
depresi, bagaimana ianya terjadi dan apakah rawatan yang perlu dilalui oleh
orang yang mempunyai masalah depresi ini. Sesi terapi bersama Dr. Hananee
sedikit sebanyak memberi pendedahan tentang kaedah dan juga rawatan yang
dilakukan untuk pesakit depresi.
Dari segi gaya bahasa dan plot cerita, penulis telah
menyusun dengan kemas dan baik. Sebuah kisah masyarakat yang patut
diketengahkan dan dibaca oleh lebih ramai orang bagi meningkatkan kadar
kesedaran tentang masalah kemurungan.
Tahniah untuk penulis kerana berjaya menghasilkan karya yang
memberi manfaat kepada pembaca secara khususnya dan kepada masyarakat secara
amnya.
No comments:
Post a Comment