Showing posts with label ramleeawangmurshid. Show all posts
Showing posts with label ramleeawangmurshid. Show all posts

5 Novel Melayu bertemakan "Time Travel"


1. INFINITI KARYA FARRAH IZZLORNA

Andrian kerap menafikan apa yang dilihat itu sebagai suatu kelebihan. Sementara puan Rohani ibu kepada Andrian menganggap itu adalah satu penyakit mental. Dakwaan itu yang menyebabkan Andrian menganggap dirinya selalu berhalusinasi dan solusinya adalah dengan bergantung kepada ubat anti-psikotik.

Hidupnya berubah apabila Andrian ditakdirkan merentasi ke masa lampau iaitu tahun 1985. Di waktu itu dia menemui kebenaran tentang diri dan juga keluarganya. Siapa Luth, Suri, Yasmin dan Puan Hafsyah yang sebenarnya. Siapa mereka di dalam hidup Andrian sehingga mengubah seluruh pendirian dan kepercayaannya.

Sihir aku boleh mencederakan sesiapa saja dalam dunia ini. Kecuali keluarga aku. Darah daging aku. Keturunan aku. Anak-anak aku. Tapi kau bukannya anak aku. Jadi, siapa kau? Apa kaitan kau dengan aku?"

Teknik peralihan masa dari tahun 2007 ke 1985 kemudian kembali ke 2017 dilakukan dengan kemas. Setiap bab mempunyai “cliff hanger” yang menyebabkan aku tak sabar untuk mendapatkan jawapannya. Novel ini boleh dikategorikan sebagai urban fantasi. Diselitkan unsur mistik, fantasi dan cinta. Sekiranya ingin membaca sebuah novel cinta yang berlainan tetapi cukup menyentuh jiwa aku sarankan untuk membaca novel hebat ini.

Ulasan penuh.






2. BAGAIKAN PUTERI RAMLEE AWANG MURSHID


'Awan... Kalau dapat kucapai, maka saktilah hamba'

"Apabila hujan turun, melimpahlah air dari perbukitan, aliran
menujah batu, melekuk tanda waktu beralib, seiring nyawa
menghanyut usia, sejalan nafas melangkah ke hujung"

Haryani dan Laksamana Sunan, mereka dari zaman yang berbeza. Bertemu dalam keadaan yang tidak disangka, diluar batas pemikiran manusia. Haryani terperangkap antara kebaikan dan kebatilan.

Dani, pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21. Mampukah Dani merealisasikannya. Apa yang pasti, ada hati yang akan terluka.

Apabila bahagia seperti hampir menyapa, kejadian yang tidak disangka telah berlaku. Haryani menjeruk rasa, impiannya hancur berkecai. 

Penulis thriller tersohor ini tidak pernah mengecewakan pembaca setianya. Novel Bagaikan Puteri sebuah kisah yang penuh dengan konflik, tragedi, pengembaraan merentasi dimensi masa, mistik dan magik. Bagaimana ianya boleh berlaku? Baca novel ini, anda bakal menemui jawapannya.



3. KITAB LAMA KARYA SHA HANIM RAMLI

"Kita ini orang Melayu Islam. Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Sejauh mana adat kita sesat atau disesatkan, kita masih boleh berpatah balik dan berpegang kembali pada syarak, kalau hati sendiri masih mahu." - Merah

Disaat ramai penulis wanita berlumba menulis genre cinta pasangan kekasih mahupun suami isteri, penulis bernama Sha Hanim Ramli ini menulis tentang perjuangan bangsa, pengorbanan demi tanah air tercinta dan keluarga, percintaan berlandaskan syariat dan adab sopan yang semakin terhakis.

Agak kagum dengan plot dan olahan cerita yg cukup menarik dan mengasyikkan. Ternyata penulis tidak menulis semborono tetapi membuat kajian secara terperinci terhadap fakta-fakta sejarah yang terdapat dalam novel ini. 

Kitab Lama ini sebuah novel gabungan sejarah, fantasi dan aksi. Sebuah novel yang perlu dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. 



4. SEKALI LAGI KARYA AUNI ZAINAL


Nadiah seperti diberikan peluang ke-2. Sebuah diari misteri telah membawanya ke dimensi masa yang lalu. Nadiah yang berusia 32 tahun kita berada pada zaman ketika dia di tingkatan 4 sekolah SMITH. Apa yang berlaku sebenarnya? 

Nadiah keliru tapi pada masa yang sama dia teruja. Apa yang disampaikan kepada teman sebiliknya sangat gila. Tsunami di Acheh? 10 tahun akan datang, kapal terbang MAS akan hilang dari radar? Semuanya kelihatan gila pada Ilyani dan dia sukar mempercayainya.

Kegilaan itu menjadi buah mulut di sekolah dan menyebabkan orang lain menggangap Nadiah telah mengalami masalah mental selepas kemalangan yang menimpanya. Tiada siapa percaya dengan apa yang dia katakan.

Namun, ada seseorang yang mempunyai niat jahat dan ingin menggunakan kelebihan Nadiah. Adakah Nadiah bakal menemui bahagianya kembali? SEKALI LAGI bakal menjawab persoalan ini.



5. MESEJ KARYA ANNA LEE


Mesej sebuah karya bergenre urban fantasi hasil olahan penulis Anna Lee. Tiada kisah seorang anak Datuk atau Tan Sri bertemu jodoh dengan gadis kampung. Hanya kisah orang biasa yang menempuhi cabaran percintaan yang unik dan diluar pemikiran manusia normal tetapi perkara itu tidak mustahil jika Dia mengizinkan ianya berlaku.

Kisah percintaan yang merentasi masa antara Aria dan Jason. Sebuah pertemuan yang ditakdirkan berlaku di tahun 2004 membibitkan perasaan cinta pandang pertama antara Aria dan Jason. Mereka berjanji akan bertemu kembali di Menara Eiffel Tower Paris, 10 tahun akan datang.

Nik tiba-tiba muncul penuh misteri dan menyimpan suatu rahsia. Bagaimana Aria mengatasi kecelaruan perasaan bila berhadapan dengan Nik dan Jason. Yang pasti Nik berada di alam nyata dan wujud di mata Aria, Jason pula jauh terpisah sepuluh tahun ke belakang. Nik sentiasa menggugah perasaan Aria setiap kali mereka bertemu.

Sanggupkah Aria menunggu janji Jason selama 10 tahun? Siapa Nik dan siapa Jason sebenarnya… kena beli buku ni. Serius memang menarik.


Kisah ini membuatkan kita ingin ke Paris menjelajah jalan-jalan dan tempat yang pernah dilalui Aria dan Jason. Cara penulis menggambarkan kota cinta itu seolah-olah kita berada disana menikmati keindahan “City of Light” di Paris.


Book Review #32: Raudhah



Tajuk: Raudhah
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Alaf 21 (Grup Buku Karangkraf)
Tahun Terbit: 2015

Sinopsis:

Joker dan White - Gabungan 2 penjenayah professional yang hanya  berkomunikasi menerusi email. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain, namun sentiasa berhubung demi satu tujuan - menghapuskan mawar putih.

Faris dan Hambali - Mereka rakan ketika di sekolah, tapi terpisah bila Faris lari dari kampung. Pertemuan kembali di perkarangan masjid merapatkan kembali persahabatan mereka. Faris nekad untuk berubah dan meminta pertolongan Hambali. Namun percaturan Allah lebih hebat dari perancangan hambanya.

Raudhah - Taman-taman syurga. Hanya iman dan takwa mampu membimbing manusia untuk menemui raudhahnya. Siapakah Raudhah yang dicari oleh Faris?

Tentang Penulis:

Buku ke-24 karya novelis Tuan Ramlee Awang Murshid berjudul Raudhah. Karya ini telah diterbitkan pada tahun 2015 oleh ALAF 21 @Grup Buku Karangkraf. Tuan Ramlee merupakan novelis yang berasal dari Sabah dan telah banyak menghasilkan novel-novel berunsurkan thriller.

Novel bergenre thriller ini mengisahkan kehidupan Joker seorang pembunuh upahan. Joker menjadi buruan polis, namun dia masih gagal diberkas. Kehidupan Joker mula berubah bila dia telah mengalami serangan jantung yang menyebabkan jantungnya berhenti selama tiga minit. Keajaiban berlaku bila dia masih hidup dan kesnya menjadi satu tanda tanya. 

Ulasan:

Setelah selesai membaca helaian demi helaian saya akhirnya memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Kisah ini bukan sekadar cerita aksi kosong tanpa hala tuju. Kisah ini bukan hanya tentang seorang pembunuh upahan dan siasatan polis terhadap semua kes-kes pembunuhan yang telah dilakukan. Kisah Joker atau Faris mempunyai maksud yang lebih mendalam.

Jantung Joker telah telah terhenti selama 3 minit. Menurut ilmu perubatan, Joker telah mati. Namun keajaiban berlaku dan jantungnya kembali berfungsi. Ya, Allah memberikannya peluang ke-2. Dia kemudiannya dipertemukan dengan rakannya Hambali.

Hambali merupakan rakan sekolah dan tinggal sekampung dengan Faris. Keluarga mereka saling mengenali antara satu sama lain. Faris ketika remaja telah melarikan diri dari kampung kerana tidak tahan didera oleh pak ciknya. Sejak itu mereka telah terpisah. Takdir menemukan mereka kembali di hadapan rumah Allah S.W.T.

Hambali sangat gembira kerana bertemu kembali dengan Faris, rakan yang telah banyak mempertahankan dirinya dari dibuli pada zaman sekolah dahulu. Pada Hambali, Faris adalah penyelamat dan rakan karibnya.

Sejak peristiwa jantung Faris terhenti, dia mula sedar akan semua kesilapan dan dosa yang telah dilakukan. Pertemuannya dengan Hambali telah menguatkan lagi hati Faris untuk segera bertaubat. Dia takut sekiranya maut datang menjemputnya tanpa amaran.

Namun, jalan yang harus dilalui tidak semudah yang disangka. White, rakan subahatnya tidak mahu melepaskan Joker begitu sahaja. Joker kini buruan White.

Kisah Faris adalah satu bentuk simbolik tentang hidayah dari Allah S.W.T. Selagi kita yang bernama hamba-Nya masih diberikan nafas untuk hidup, pintu taubat itu sentiasa terbuka. 3 minit yang dilalui oleh Faris telah mengubah segala-galanya. Faris yang dulunya seorang yang jahat, membunuh tanpa rasa bersalah telah diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah untuk berubah.

Tempoh masa yang singkat di dunia tetapi cukup panjang di alam sana. Faris telah melalui satu kehidupan sebagai seorang Awwabin (orang yang bertaubat). Dia telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang lelaki berbangsa Arab. Walaupun hakikatnya Faris tidak membunuh lelaki tersebut. Namun undang-undang di negara Arab amat ketat. Hukuman hudud diguna pakai disana. Tawaran diyat boleh dilakukan sebagai balasan memohon maaf kepada keluarga mangsa sekiranya mereka bersetuju.

Di sini, keluarga mangsa meminta tawaran diyat yang sangat tinggi. Oleh itu, Faris tidak mampu membayarnya dan bakal dijatuhkan hukuman pancung. Reda dengan ketentuan dari yang Maha Esa, Faris mengisi saat-saat akhir dalam hidupnya dengan beribadah dan memohon keampuan dari Allah S.W.T.

Pandangan saya karya ini bagus untuk bacaan kerana bukan saja ditulis untuk hiburan tetapi mempunyai mesej yang baik. Setiap dari kita adalah hamba Allah yang tidak pernah leka dari melakukan kesalahan. Mohonlah pengampunan dari Allah S.W.T.

Kisah ini menceritakan seseorang manusia sekiranya ditunjuki jalan yang benar pasti mampu untuk menjadi insan yang baik. Faris pada awalnya telah bertemu dengan orang yang salah lalu mengikut jalan yang sesat. Namun dia diberikan peluang untuk berubah dan menjadi seorang insan yang lebih baik.

Faris adalah satu contoh watak manusia yang telah melakukan dosa dan Allah S.W.T menghadirkan hidayah kepadanya dalam bentuk yang tidak disangkakan. Hidayah dari Allah datang dengan pelbagai cara dan Faris menerimanya ketika dia dalam koma.

Begitulah kehebatan Allah, hidayah didatangkan dengan pelbagai cara yang tidak kita jangkakan. Semoga kisah ini menjadi satu pengajaran buat kita. 

Book Review #26: Banja Manggala



Tajuk: Banja Manggala
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: Grup Buku Karangkraf (Buku Prima)

Sinopsis


Amar seorang kanak-kanak Bosnia yang diselamatkan oleh pasukan komando Malaysia pada penghujung Perang Bosnia 1995. Dia kemudiannya diambil sebagai anak angkat kepada Dato' Husam (seorang jeneral) dan isterinya Datin Normazlina. Amar seorang kanak-kanak yang pendiam dan tidak mahu bercakap denga sesiapa sehingga dia bertemu Rania anak kepada pasangan ibubapa angkatnya. 

23 tahun berlalu, Amar mula mengalami peristiwa pelik. Dia sering diganggu oleh bayangan seekor serigala salji. Ia seperti cuba menyampaikan sesuatu yang tidak Amar fahami. Lalu dia nekad mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Bermulalah misi Amar mencari kebenaran.


Rania bertugas di sebuah stesen penyiaran dan dalam proses menyiapkan program travelog musim ke-2. Kejadian yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Dia diculik!

Amar sekarang ada 2 misi penting, mencari kebenaran tentang serigala salji dan menyelamatkan adik angkatnya Rania. Adakah kedua-duanya ada kaitan dengan mitos Banja Manggala? 


Ulasan

Tuan Ramlee Awang Murshid kembali lagi dengan novel ke-29 beliau bersama Grup Buku Karangkraf. Kali ini beliau tampil dengan kisah fantasi thriller berkisar tentang mitos Banja Manggala - manusia serigala. 

Terdapat beberapa konflik yang menjadi asas kepada kisah ini. Berlatar belakangkan kisah Perang Bosnia yang terjadi sekitar tahun 1995 dan karya ini banyak menceritakan kesan perang tersebut dan pengalaman mereka yang melalui konflik berdarah itu.

Amar, Lamifa adalah antara anak-anak Bosnia yang telah dibawa ke Malaysia setelah diselamatkan semasa perang tersebut. Kanak-kanak ini mengalami trauma yang teruk dan ingatan mereka terhadap peristiwa pahit itu telah terpadam.



Cerita ini dimulakan dengan peristiwa pasukan komando Malaysia menyelamatkan Amar dari kawanan serigala. Prolog cerita telah mula mencetuskan perasaan ingin tahu tentang kenapa akhirnya serigala itu tidak menyerang mereka dan berundur secara aman. 

Kisah diteruskan pada masa kini, watak-watak utama mula muncul memperkenalkan diri. Pembaca diperkenalkan dengan Amar, Rania, Haslinda, Firdaus, Dato' Husam dan Datin Normazlina. Pengenalan watak yang bersahaja bersama karakter masing-masing. 

Terdapat beberapa konflik dalam kisah Banja Manggala ini. Penulis menyusun konflik ini dengan sangat bijak. Berdasarkan pembacaan, dibawah adalah konflik yang dapat dikenalpasti:

1) Amar dan misteri bayangan serigala salji
2) Cadangan Dato' Husam untuk menyatukan Amar dan Rania
3) Lamija yang mencari keluarga kandungnya
4) Misteri kes pembunuhan di lembah banjaran Bosnia-Herzegovina
5) Penculikan Rania, Haslinda dan Firdaus
6) Amar, Vuk dan dendam Kar

Expected, unexpected. Plot twist yang tidak dijangka. Orang yang kita sangka baik, rupanya bertopengkan syaitan. Kelebihan Amar menyebabkan banyak plot suspen berjaya menipu kita sebagai pembaca. Ingatkan begitu, rupanya jadi begini. 

Cliff hanger karya ini kuat dan mampu menyebabkan pembaca tidak senang duduk selagi tidak bertemu kata penamat. Kisah cinta yang tidak berlebihan, kisah ikatan kekeluargaan yang amat kental dan persahabatan yang jitu. 

Satu lagi point penting yang ditekankan oleh tuan RAM ialah solat dan doa. Ini adalah senjata orang muslim yang paling hebat. Tidak kira dalam apa juga keadaan sekalipun, jangan sesekali kita lupa meminta pertolongan dari Allah S.W.T

"Singgah surau dulu. Cepat Hasanovic, usah lengahkan solat. Nanti ALLAH menahan rahmat-Nya ke atas kita!" - Cavak Salih

Hubungan Amar dengan Sang Alpha berjaya menyentuh hati. Kisah mereka walaupun telah lama terpisah tapi kepercayaan dan kasih sayang masih terpahat kukuh. Bila Sang Alpha (tua) akhirnya mati dibunuh, Amar sangat terasa kehilangannya.

Di samping itu, penulis juga berkongsi keindahan Bosnia dan kisah Perang Bosnia turut diselitkan dalam karya ini. Sebuah novel yang tidak harus dilepaskan dan patut dibaca oleh semua lapisan masyarakat. 

WARNA WARNI PBAKL2018 - GENG THEULATBUKU

Assalamualaikum. Hai Geng TheUlatBuku!

Harap korang happy di samping buku-buku kegemaran. Dah pergi PBAKL2018 ke? Kalau dah, bestkan. Banyak tak korang shopping buku kali ini. Admin beli banyak juga lah buku, itu pun kalau ikutkan ada lagi yang tak beli sebab tak jumpa booth. 

Admin rasa macam ada satu bilik yang tertinggal dalam misi memburu buku pada PBAKL kali ini. Maklumlah, 4 tingkat dan pengunjung boleh tahan ramai walaupun admin pergi hari kerja. Macam biasa memang tak gemar sangat bersesak pada hari cuti. Jadi as usual, sanggup ambil cuti untuk ke PBAKL kali ini. Rugi pulak rasanya. Takpe lah, nanti beli lain kat kedai atau order online je.

Tahun 2018 ini, admin dah terjatuh hati dengan buku hasil terbitan PorengKertas Publication. Eh, jangan risau, buku penerbitan lain masih di hati, cuma ini first time admin beli dan baca buku terbitan mereka. Guest what! It awesome. Nanti admin tulis review ya pasal buku yang admin baca tu.

Dah la membebel, apa kata korang layan gambar-gambar menarik yang sempat admin ambil masa pergi ke PBAKL hari tu.

Info penting yang korang perlu tahu:

Lokasi: PBAKL 2018 DI PWTC
Cara untuk pergi: Boleh naik LRT/Komuter, turun di stesen PWTC
Kalau anda memandu, boleh parking di Sunway Putra Mall, lepas tu naik ke tingkat 1, ada jejantas berhubung terus ke PWTC.

Maklumat lanjut: PBAKL2018

Ini siri penyiasatan yang popular masa admin kat sekolah dulu. 
Penerbit print balik dengan cover baru.


Pak Latip sedang melayan peminat dan pembeli buku


Booth Karangkraf as usual, penuh orang, nak bayar pun lama juga beratur.



Hiasan unik di booth Karya Seni. 
Boleh la kalau korang nak berswafoto kat tempat ni.


Buku-buku bercirikan Islamic juga banyak boleh didapati di PBAKL2018



Booth Jemari Seni & JS Adiwarna. Tawaran hebat 6 buah novel hanya RM50.
Jadi apa tunggu lagi, rembat je la.



Nampak tak tu siapa. Hehehe Novelis Maya Iris.


Ramai pengunjung sedang membelek buku-buku untuk dibeli.


Peminat novel cinta, pasti akan berkunjung ke booth ini.


Anuar Darwisy in the house!

Ramai orang serbu buku baru Ramlee Awang Murshid - Banja Manggala. 
Admin pun dah beli, itu pasti.

Senarai buku yang admin beli di PBAKL2018:

1) Impian Jalanan & Empayer - Teme Abdullah
2) Missing Pages - Prolog Media (Gabungan penulis)
3) Jauh Kau Pergi - PorengKertas Publication
4) #Yana - PorengKertas Publication
5) KIEF - Poreng Kertas Publication
6) Pasca Sejarah - Fahd Razy
7) Dheo's - Anjell
8) Banja Manggala - Ramlee Awang Murshid
9) Kombo Jemari Seni (6 buah buku)
10) Pulang (movie di bakal keluar tu)
11) Banda Aceh


Nanti, korang pun jangan lupa kongsikan ya, warna-warni PBAKL. Kongsilah beli buku apa.


Movie Review: TOMBIRUO : Penunggu Rimba




Oh yeah!!! admin dah berjaya menonton filem ini. Peminat dan follower karya RAM memang tak sah kalau tidak menonton filem adaptasi ini. Sanggup ambik cuti okey!

Pada admin team produksi telah berjaya menghasilkan satu filem Malaysia yang berada di satu tahap yang baru. Barisan pelakon memang tip top dan berjaya membawa watak dengan baik sekali. Watak Monsiroi lakonan Farah Ahmad memberi impak tersendiri pada movie ini. Walaupun kemunculannya sedikit tapi dia menyimpan rahsia besar tentang Amiruddin & Ejim.

Part yang paling tak boleh blah, watak Wan Suraya lakonan Nabila Huda. Semua orang nak di interview-nya. Kelakar masa dia masuk hutan dan terjumpa Ejim, dalam takut-takut boleh lagi hulur tangan untuk bersalam dan perkenalkan diri. "Saya Wan Suraya dari Sinar TV." Macamlah Ejim tu tengok tv kan dalam hutan tu.

Micheal Chan yang membawa watak Wong, ketua keselamatan Anak Bumi Sdn Bhd. Memang jahat dia ni, muka nampak innocent tapi sebenarnya "gunting dalam lipatan." Aksi-aksi pertarungan dalam filem ni memang mantap. Adalah sikit-sikit aksi ala Matrix, tapi admin maafkan.

Satu lagi keunikan filem ini, hampir kebanyakan scene cerita dalam hutan, so aksi kejar mengejar rasa sangat mencemaskan. Scene Wan Suraya terhantuk di batu, serius admin ter'aduh' sekali. Bukan admin je, org sebelah pun sama.

Certain scene dalam movie ini ada sedikit kaku dari sudut penyampaian dialog. Babak ketika Wan Suraya nak masuk hutan dan bertemu dengan Amiruddin. Wan Suraya cuba bertanya tentang Salina, kat sini nampak kurang natural sikit, agak kaku pada pandangan admin la.

"Jom LIKE page kami Theulatbuku. Banyak info menarik tentang buku akan kami kongsikan"


Review sebagai pembaca novel TOMBIRUO: Penunggu Rimba

Jalan cerita movie dan novel agak berbeza penekanannya. Pada yang telah membaca novel, korang pasti perasan perbezaan ini. "Amiruddin dan Ejim melalui 2 perjalanan hidup yang berlainan sebelum mereka dipertemukan dalam satu incident di Hutan Keningau. Watak Wan Suraya hanya mula berkembang di pertengahan cerita." - ini sedutan jalan cerita dari novel.

"Movie Tombiruo pula mengetengahkan Wan Suraya sebagai watak penting yang mengemudi cerita. Amiruddin pula kelihatan agak goyah setelah kematian isterinya dan Ejim pada awalnya seolah-olah diburu kerana dianggap pembunuh. Konflik ini menjadi tunjang dan Wan Suraya merupakan penunjuk arah kepada penyelesaiannya."

Ya, dua medium yang berlainan, tempoh masa yang berbeza serta ruang yang terhad menjadikan sesuatu jalan cerita ini terpaksa diubah mengikut kesesuaian.

Dalam rancangan Hlive,Tuan Ramlee Awang Murshid berkata, perbincangan tentang script movie ini telah bermula dari tahun 2011. Perbincangan, pertelingkahan pendapat dan macam-mcam lagi telah dilalui oleh team produksi untuk merealisasikan impian ini. Beliau sebagai penulis sanggup berkorban demi menghasilkan filem ini, apatah lagi admin sebagai pembaca.Hehehe.

Jadi, admin mengambil pendekatan begini, imaginasi kita sebagai pembaca biarlah menjadi milik kita sendiri. Setiap orang pasti punya imaginasi mereka sendiri dalam melayar perakkan cerita yang dibaca. Movie yang telah dihasilkan dengan titik peluh dan idea kreatif mereka semua mari kita hargai dan hayati.

Ok, akhir kata filem Tombiruo wajib tonton, rugi tak tengok. Bukan mudah nak dapat filem melayu sebegini. Anda tak akan rasa rugi bayar tiket untuk menonton movie ini. Semoga movie ni pecah panggung. Insha Allah.

Ada sambungan tak agak-agaknya. 😍😍😍

#tombiruomovie #ramleeawangmurshid #moviereview #bookreview #theulatbuku #moviemalaysia #ejim #amirudin #wansuraya
#wajibtontonramians #pecahpanggung

Senarai Pelakon Filem Tombiruo:
  • Zul Ariffin sebagai Ejim
  • Farid Kamil sebagai Amiruddin
  • Nabila Huda sebagai Wan Suraya
  • M.Nasir sebagai Tan Sri Berham
  • Hasnul Rahmat sebagai Juslan
  • Faizal Hussein sebagai Pondolou
  • Farah Ahmad sebagai Monsiroi
  • Dynaz Moktar sebagai Baizura
  • Faye Kusairi sebagai Salina
  • Micheal Chan sebagai Wong

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...