Book Review #36: Berbaloikah membaca "Kunang Pesisir Morten"?




Penulis: Raiha Bahaudin
ISBN: 9789670723211
Tahun Terbit: 2015
Terbitan: Dubook Press


SINOPSIS

Kampung Morten 1984. Dengan sebatang sungai kotor bukan saja dipenuhi dengan sampah sarap dan ketam lumpur Uca Annulipes. Juga telah menjadi garis ghaib pemisah dua komuniti bangsa selama berdekad-dekad. Sehinggalah keajaiban berlaku dengan kehadiran seorang budak perempuan sembilan tahun comotnya ya ampun berambut gerbang.

Dhiya; seorang pemikir visual genius bersama-sama sahabatnya Adi dan Lim meneroka kota Melaka, menjadi usahawan kecil, menerokai dunia lukisan Monet juga menjejak pencuri berkaki ghaib. Dan tanpa mereka sedari, sedikit demi sedikit perkara- perkara kecil yang mereka lakukan telah menaut jurang tebing antara dua bangsa.

ULASAN

Ya, sebuah naskah yang berbaloi untuk dibaca. Dunia dari kacamata seorang kanak-kanak bernama Dhiya. Lain dari apa yang kita bayangkan. Dhiya melihat dengan mata hati. Dia bukan sekadar melihat tapi berfikir untuk mencari penyelesaian. Dhiya yang sukar dijangka, Dhiya yang comot namun berjiwa besar. Adi menggelarkan Dhiya “perempuan gila” kerana fikirannya yang diluar jangkaan. Ibunya seorang tukang jahit sentiasa membantu Dhiya menjadi dirinya sendiri.

Kisah ini sebuah cerita kanak-kanak yang lain dari biasa. Bagi mereka yang lahir dan hidup pada zaman 80’an, kisah ini pasti dekat di hati. Suasana ketika itu, pembangunan ketika itu, isu ketika itu. Novel ini seperti imbauan kenangan terhadap apa yang pernah kita lalui satu masa dahulu.

“Nilai warna ada pada diri lu sendiri. Pelaburan yang baik akan beri hasil yang baik juga.” Uncle Chong


PLOT CERITA

Plot cerita disusun dengan kemas dan cantik sekali. Dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain. Perkenalan Dhiya, Adi dan Lim bakal membawa perubahan besar kepada penduduk Kampung Morten. Persahabatan mereka bermula kerana mencari jawapan kepada kes kematian seorang kanak-kanak di Sungai Melaka.

Sejak peristiwa itu, mereka mula berkawan. Lim membuka jalan untuk Dhiya meneroka dunia baru, mengenali seni Opera Cina, menelusuri jalan-jalan di sekitarnya sehingga ke Kampung Jawa. Kemudian, misteri kehilangan beberapa barang bersejarah, telah menguji persahabatan mereka. Usaha Dhiya dalam mencari kebenaran demi seorang kawan begitu mengagumkan. Tidak lupa kisah cinta monyet Adi dan Sherina, si bidadari nirwana.

Kisah mereka cukup rencah bagi kehidupan seorang kanak-kanak. Ada masa gembira, ada ketika mereka nakal, ada masa mereka bermain gembira dan ada kalanya mereka berduka kerana orang dewasa yang tidak memahami.

"Kami membawa muqaddam, rehal dan sejadah; tetapi apabila budak-budak lain menghala ke kanan ke arah surau, kami mengambil jalan ke kiri, ke arah jambatan. Jika kau perasan, ayat tadi dengan sendirinya telah membawa makna muqamad dan mutasyabihat. Betapa kami telah tersesat." - Kunang Pesisir Morten

GAYA BAHASA

Gaya bahasa yang digunakan penulis mudah untuk difahami, tidak terlalu sastera dan juga tidak terlalu santai. Sesuai dengan kisah yang ingin diceritakan. Kita dapat merasai kegembiraan, kelucuan dan kepedihan yang ingin disampaikan.

Penulis berjaya memerangkap pembaca untuk berada pada tahun 1984. Setiap perincian ditulis dengan teliti. Membaca buku ini seperti aku sendiri berada di Kampung Morten, bermain, berlari bersama-sama Dhiya dan Lim. Aku lah Adi dalam buku ini yang sentiasa mengikut ke mana saja Dhiya pergi. Sama-sama meneroka setiap pelusuk kampung ini.

PENGAJARAN

Setelah tamat membaca naskah ini, banyak pengajaran yang dapat kita kutip. Usaha tangga kejayaan, seperti Dhiya yang tidak putus asa untuk mencapai impiannya. Semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Dhiya, Lim dan Adi amat membanggakan. Walaupun berlainan bangsa, mereka tetap berkawan baik, saling hormat menghormati dan saling membantu.

Sebuah naskah yang patut dibaca oleh semua golongan. Penulis telah berjaya menerapkan unsur kemasyarakatan, unsur perpaduan dan semangat patriotik dalam novel ini.


No comments:

Post a Comment

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...