Book Review #29: Padam



Tajuk: Padam
Penulis: Ibrahim Jama Huri
Terbitan: Buku Fixi
Tahun Terbitan: 2018

#pemenangsayembarabukufixi2017/8


Sinopsis: 
Malik seorang dropout askar dan beberapa rakannya masuk ke hutan untuk melakukan aktiviti lasak. Namun, mereka ditimpa musibah apabila bertembung dengan penjahat yang membunuh sesuka hati. Terlepas daripada tragedi itu, Malik cuba menjalani kehidupan normal. Tanpa disedari, dia diburu oleh penjahat yang ditemuinya di hutan. Malik yang terambil pendrive tanpa sengaja daripada penjahat itu masih tidak menyedari hal itu sehinggalah beberapa musibah melanda rakan dan ibunya. 

Pendrive itu mempunyai maklumat rahsia organisasi pembunuh upahan negara atau BILL. Dia kemudian bertemu seorang lelaki misteri yang menawarkan pertolongan. Tanpa mengetahui identiti sebenar lelaki itu, Malik turut serta dengan rancangannya bersama beberapa orang lain dalam menumpaskan organisasi rahsia tersebut.

Ulasan:
PADAM. Sebuah kisah thriller sains fiksyen. Malik dan rakannya berada di tempat pada waktu yang salah. Akibatnya, mereka telah terlibat dalam satu kes pembunuhan yang tidak disangkakan. Menjadi buruan polis dan penjahat pada masa yang sama. Mereka terpaksa melarikan diri demi mencari kebenaran. 

Malik seorang dropout askar, jadi situasi ini tidak begitu sukar baginya. Kemahirannya banyak membantu dalam usaha menyelamatkan diri. Malik dan Kamal bertemu dengan Razak yang mempunyai kemahiran di bidang teknologi penyiasatan. Mereka bekerjasama dalam mencapai matlamat masing-masing. 

Kelebihan karya: 
Plot yang disusun kemas. Jalan cerita pantas. Bila membaca, terasa seolah-olah sedang berlari mengejar perkataan demi perkataan. Penjelasan tentang sesuatu babak padat dan tepat. Banyak teknologi canggih yang digunakan antaranya adalah SITI, program ciptaan Razak. Program yang banyak memudahkan kerja-kerja penyiasatan. Bijak SITI ni. 

Plot apabila Inspektor Suzana dipanggil ke Secret Branch, digarap dengan baik. Terbayang satu scene dalam movie Harry Potter, waktu kali pertama Harry dipanggil ke pejabat Dumbledore, naik tangga berpusing.

Perkara yang boleh diperbaiki:
Setelah habis baca buku ini, aku rasa organisasi rahsia BILL yang menawarkan tugas kepada pembunuh upahan perlu dilibatkan secara lebih mendalam pada keseluruhan cerita. Penglibatan BILL akan memberi impak yang lebih kuat pada watak antagonis dalam kisah ini. 

Plot serangan terhadap ketua polis kelihatan terlalu mudah. Bagaimana seorang VIP yang memegang status pemimpin tidak dikawal rapi oleh pegawai-pegawainya. Penyerang menang mudah tanpa tentangan hebat dari pihak polis. 

Secara keseluruhan, novel ini menarik untuk dibaca. Untuk mereka yang sukakan novel aksi, jalan cerita yang pantas dan babak yang mendebarkan maka buku ini sememangnya patut anda miliki. Dari segi gaya penulisan, bahasanya santai dan mudah difahami.

Book Review 28#: 7 Pintu


Tajuk: 7 Pintu
Penulis: Ahmad Rusydi
Terbitan: Rapik Asura
Tahun Terbitan: 2018

Entah kenapa aku tertarik melihat novel 7 Pintu di rak buku Popular Bookstore. Buku ini tidak termasuk dalam senarai yang patut aku beli tapi entahlah tangan terus sahaja menggapai buku ini dan membawa ke kaunter bayaran. Adakah aku telah dipukau oleh Argono?

Sememangnya aku tidak salah memilih, mula dari muka surat pertama sudah berjaya menambat hati. Rentak cerita yang semakin lama semakin mendebarkan dan seterusnya penuh dengan misteri. Teknik flashback digarap dengan cukup baik. 

Sinopsis:
Perubahan Ika semakin membingungkan Faris. Isterinya kerap bertanyakan soalan yang tidak masuk akal dan sudah beberapa kali dia menerangkan bahawa rumah mereka hanya ada 4 bilik tidur dan 2 bilik air namun Ika tetap mengatakan rumah mereka ada 7 bilik. Keadaan Ika semakin serius apabila mula merasakan mereka pernah mempunyai anak yang ketiga.

Akhirnya Faris akur bahawa Ika kemungkinan mempunyai masalah tekanan perasaan. Namun rawatan psikologis dari Dr. Salhah hanya mengundang tragedi berdarah. Kenapa dia dibunuh masih menjadi misteri. Faris pula telah di tangkap atas tuduhan membunuh anak-anaknya.

“Kau memang akan mati, Roslan. Kau tolong keturunan pembunuh! Nantikan sahaja.”
Antara dialog yang menambahkan misteri kisah di dalam novel ini. 


Ulasan:
Ok setakat itu sahaja yang boleh ditulis, tidak mahu jadi spoiler kepada sebuah novel yang menarik. Untuk anda yang ingin tahu kesudahannya, sila dapat naskah ini di kedai buku berhampiran. Sempat lagi iklankan…hahah

Penulis ternyata berjaya menggarap plot dengan kemas dan hubung kait setiap watak disusun atur dengan baik. Cliff hanger pada setiap bab cukup mendebarkan sehinggakan aku sendiri tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya. Di dalam novel ini diselitkan tugas-tugas seorang psikiatris, terpaksa berhadapan dengan penjenayah yang mempunyai sakit mental. Memang agak mencemaskan apabila doktor yang melakukan diagnosis ke atas Faris hampir menjadi mangsa. 

Teknik flashback (mengimbas kembali) sejarah dan kewujudan makhluk itu diolah dengan rapi. Deskripsi sebuah kampung serta kehidupan penduduk Kampung Alor pada 1941 di ceritakan dengan terperinci sehingga kita sebagai pembaca seolah-olah berada di era tersebut. Paling menarik apabila penulis menceritakan tentang kehidupan dan kepercayaan orang asli, suatu perkara baru yang boleh kita pelajari.

Keseluruhan novel ini aku tidak nampak mana kelonggarannya. Penceritaan yang ternyata tidak meleret. Boleh rasai setiap emosi watak dan kejadian yang berlaku. Detik seram mampu meremangkan bulu roma dan plot sedih mampu meruntun jiwa. Apa pun syabas buat Ahmad Rusydi. Kami menantikan karya anda seterusnya.

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...