Book Review #33: Scarlett




Tajuk: SCARLETT
Penulis: Sha Hanim Ramli
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: HuCAD Consultants

SCAR – parut.
SCARLETT – parut lama yang harus dilepaskan.

Titisan air mata yang mengalir sudah cukup menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh empunya diri. Mata itu menyimpan seribu rahsia yang tidak mampu diluahkan kerana tiada siapa yang mengerti. Kulit buku ini telah menzahirkan kisah derita seorang manusia yang mungkin tidak terfikir oleh kita yang tidak mengalaminya.

Novel SCARLETT mengetengahkan isu kemurungan yang mungkin tanpa disedari sedang menular dalam masyarakat kita. Teknologi yang bergerak maju seperti telah mengurangkan kadar sensitiviti manusia kepada perubahan sekeliling. Masyarakat sekarang sudah tidak mahu lagi menjaga tepi kain orang lain.

SINOPSIS
Qaseh tidak pernah rasa bahagia dan gembira. Sejak kecil lagi dia diherdik dan dicaci oleh ibu tirinya. Malah bapanya sendiri menggangap dia seorang yang membawa sial kerana menyebabkan kematian ibu kandungnya Che Indah.

Di sekolah dia tidak pernah disukai oleh rakan seusianya kerana mereka menggangap Qaseh seorang yang pelik. Hanya Aliya tempat dia meluah rasa dan menjadi sahabat baiknya. Namun, Aliya pergi meninggalkan Qaseh kerana penyakit leukimia. Episod hitam dalam hidup Qaseh bermula bila dia  mengambil tindakan lari dari rumah. Dia ingin lari dari belenggu ibu tirinya, tapi dia dibelenggu pula oleh Jaslin dan Haedar.


“SCARLETT”
Depresi, andai tidak dirawat bakal meragut nyawa sendiri.
Maka biarlah badai itu berlalu…
“Tapi kalau tuan berani berdepan dengan wanita psycho, dialah orangnya.”
Cuma perlu ingat, jangan berumah tepi pantai kalau tidak sanggup dilambung ombak”
“Aku dulu terlatih sebagai tentera risik pun tak terfikir untuk cipta system dalam otak sendiri, atau untuk hidupkan semula otak yang ‘mati’ macam otak dia itu”


PANDANGAN TERHADAP NOVEL INI
Setiap manusia di dunia ini melalui pelbagai jenis dugaan dan ujian dari Allah S.W.T. Jalan hidup setiap hamba-Nya adalah berbeza antara satu sama lain. Diberikan kelebihan di satu perkara dan diberikan kekurangan untuk satu perkara yang lain.

Qaseh telah melalui berbagai rencah hidup dan akhirnya menemukan dia dengan April. Rakan serumahnya ini sedia maklum dengan penyakit kemurungan yang ditanggung oleh Qaseh. April nekad untuk membantu kerana tidak mahu peristiwa yang menimpa sahabatnya Nabila berulang kembali.

"Kematian Nabila menunjukkan betapa masyarakat normal terlalu leka dengan permasalahan depresi. Bukan salah dia, tetapi salah kami yang normal, tidak membantu dengan sebaiknya."

Arash hadir untuk membantu mengeluarkan Qaseh dari belenggu kemurungan. Bukan satu tugas yang mudah kerana Qaseh tidak ingin berkongsi pengalaman pahitnya dengan sesiapa. Apabila seorang pesakit depresi terus menutup pintu mindanya kepada orang luar, maka semakin sukarlah usaha untuk mengeluarkan mereka dari ruang minda yang negative itu.

Qaseh, tambahkan serotonin, insya-Allah akan dapat kembali hidup normal seperti orang lain.

Kisah ini bertambah menarik setelah sampai ke bab-10. Watak Qaseh sentiasa berubah-ubah, sekejap pendiam, sekejap riang dan ada masanya seperti sangat kejam. Qaseh mula merancang untuk menghapuskan orang-orang yang mengakibatkannya mengalami satu pengalaman hitam dalam hidupnya. Seorang demi seorang dijejaki oleh Qaseh. 9 jahanam itulah yang diburu oleh Qaseh untuk menghapuskan traumanya.

Kisah 9 jahanam ini dibongkar satu persatu. Semakin lama, pembaca akan mengetahui kisah silam Qaseh sedikit demi sedikit. Masih menjadi tanda tanya adakah Qaseh betul-betul membunuh 9 jahanam ini. Bila difikirkan kembali, Qaseh yang lemah lembut itu, mampukah dia menewaskan kesemua musuhnya? Jika diteliti kembali, perkara ini mungkin tidak mustahil bila mengingatkan betapa agresifnya Qaseh ketika kemurungannya melanda. Di sini penulis dengan bijak dan berjaya memanipulasi fikiran pembaca.

Penulis juga telah berkongsi banyak maklumat tentang apa itu depresi, bagaimana ianya terjadi dan apakah rawatan yang perlu dilalui oleh orang yang mempunyai masalah depresi ini. Sesi terapi bersama Dr. Hananee sedikit sebanyak memberi pendedahan tentang kaedah dan juga rawatan yang dilakukan untuk pesakit depresi.

Dari segi gaya bahasa dan plot cerita, penulis telah menyusun dengan kemas dan baik. Sebuah kisah masyarakat yang patut diketengahkan dan dibaca oleh lebih ramai orang bagi meningkatkan kadar kesedaran tentang masalah kemurungan.

Tahniah untuk penulis kerana berjaya menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada pembaca secara khususnya dan kepada masyarakat secara amnya.

5 Novel Melayu bertemakan "Time Travel"


1. INFINITI KARYA FARRAH IZZLORNA

Andrian kerap menafikan apa yang dilihat itu sebagai suatu kelebihan. Sementara puan Rohani ibu kepada Andrian menganggap itu adalah satu penyakit mental. Dakwaan itu yang menyebabkan Andrian menganggap dirinya selalu berhalusinasi dan solusinya adalah dengan bergantung kepada ubat anti-psikotik.

Hidupnya berubah apabila Andrian ditakdirkan merentasi ke masa lampau iaitu tahun 1985. Di waktu itu dia menemui kebenaran tentang diri dan juga keluarganya. Siapa Luth, Suri, Yasmin dan Puan Hafsyah yang sebenarnya. Siapa mereka di dalam hidup Andrian sehingga mengubah seluruh pendirian dan kepercayaannya.

Sihir aku boleh mencederakan sesiapa saja dalam dunia ini. Kecuali keluarga aku. Darah daging aku. Keturunan aku. Anak-anak aku. Tapi kau bukannya anak aku. Jadi, siapa kau? Apa kaitan kau dengan aku?"

Teknik peralihan masa dari tahun 2007 ke 1985 kemudian kembali ke 2017 dilakukan dengan kemas. Setiap bab mempunyai “cliff hanger” yang menyebabkan aku tak sabar untuk mendapatkan jawapannya. Novel ini boleh dikategorikan sebagai urban fantasi. Diselitkan unsur mistik, fantasi dan cinta. Sekiranya ingin membaca sebuah novel cinta yang berlainan tetapi cukup menyentuh jiwa aku sarankan untuk membaca novel hebat ini.

Ulasan penuh.






2. BAGAIKAN PUTERI RAMLEE AWANG MURSHID


'Awan... Kalau dapat kucapai, maka saktilah hamba'

"Apabila hujan turun, melimpahlah air dari perbukitan, aliran
menujah batu, melekuk tanda waktu beralib, seiring nyawa
menghanyut usia, sejalan nafas melangkah ke hujung"

Haryani dan Laksamana Sunan, mereka dari zaman yang berbeza. Bertemu dalam keadaan yang tidak disangka, diluar batas pemikiran manusia. Haryani terperangkap antara kebaikan dan kebatilan.

Dani, pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21. Mampukah Dani merealisasikannya. Apa yang pasti, ada hati yang akan terluka.

Apabila bahagia seperti hampir menyapa, kejadian yang tidak disangka telah berlaku. Haryani menjeruk rasa, impiannya hancur berkecai. 

Penulis thriller tersohor ini tidak pernah mengecewakan pembaca setianya. Novel Bagaikan Puteri sebuah kisah yang penuh dengan konflik, tragedi, pengembaraan merentasi dimensi masa, mistik dan magik. Bagaimana ianya boleh berlaku? Baca novel ini, anda bakal menemui jawapannya.



3. KITAB LAMA KARYA SHA HANIM RAMLI

"Kita ini orang Melayu Islam. Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Sejauh mana adat kita sesat atau disesatkan, kita masih boleh berpatah balik dan berpegang kembali pada syarak, kalau hati sendiri masih mahu." - Merah

Disaat ramai penulis wanita berlumba menulis genre cinta pasangan kekasih mahupun suami isteri, penulis bernama Sha Hanim Ramli ini menulis tentang perjuangan bangsa, pengorbanan demi tanah air tercinta dan keluarga, percintaan berlandaskan syariat dan adab sopan yang semakin terhakis.

Agak kagum dengan plot dan olahan cerita yg cukup menarik dan mengasyikkan. Ternyata penulis tidak menulis semborono tetapi membuat kajian secara terperinci terhadap fakta-fakta sejarah yang terdapat dalam novel ini. 

Kitab Lama ini sebuah novel gabungan sejarah, fantasi dan aksi. Sebuah novel yang perlu dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. 



4. SEKALI LAGI KARYA AUNI ZAINAL


Nadiah seperti diberikan peluang ke-2. Sebuah diari misteri telah membawanya ke dimensi masa yang lalu. Nadiah yang berusia 32 tahun kita berada pada zaman ketika dia di tingkatan 4 sekolah SMITH. Apa yang berlaku sebenarnya? 

Nadiah keliru tapi pada masa yang sama dia teruja. Apa yang disampaikan kepada teman sebiliknya sangat gila. Tsunami di Acheh? 10 tahun akan datang, kapal terbang MAS akan hilang dari radar? Semuanya kelihatan gila pada Ilyani dan dia sukar mempercayainya.

Kegilaan itu menjadi buah mulut di sekolah dan menyebabkan orang lain menggangap Nadiah telah mengalami masalah mental selepas kemalangan yang menimpanya. Tiada siapa percaya dengan apa yang dia katakan.

Namun, ada seseorang yang mempunyai niat jahat dan ingin menggunakan kelebihan Nadiah. Adakah Nadiah bakal menemui bahagianya kembali? SEKALI LAGI bakal menjawab persoalan ini.



5. MESEJ KARYA ANNA LEE


Mesej sebuah karya bergenre urban fantasi hasil olahan penulis Anna Lee. Tiada kisah seorang anak Datuk atau Tan Sri bertemu jodoh dengan gadis kampung. Hanya kisah orang biasa yang menempuhi cabaran percintaan yang unik dan diluar pemikiran manusia normal tetapi perkara itu tidak mustahil jika Dia mengizinkan ianya berlaku.

Kisah percintaan yang merentasi masa antara Aria dan Jason. Sebuah pertemuan yang ditakdirkan berlaku di tahun 2004 membibitkan perasaan cinta pandang pertama antara Aria dan Jason. Mereka berjanji akan bertemu kembali di Menara Eiffel Tower Paris, 10 tahun akan datang.

Nik tiba-tiba muncul penuh misteri dan menyimpan suatu rahsia. Bagaimana Aria mengatasi kecelaruan perasaan bila berhadapan dengan Nik dan Jason. Yang pasti Nik berada di alam nyata dan wujud di mata Aria, Jason pula jauh terpisah sepuluh tahun ke belakang. Nik sentiasa menggugah perasaan Aria setiap kali mereka bertemu.

Sanggupkah Aria menunggu janji Jason selama 10 tahun? Siapa Nik dan siapa Jason sebenarnya… kena beli buku ni. Serius memang menarik.


Kisah ini membuatkan kita ingin ke Paris menjelajah jalan-jalan dan tempat yang pernah dilalui Aria dan Jason. Cara penulis menggambarkan kota cinta itu seolah-olah kita berada disana menikmati keindahan “City of Light” di Paris.


Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...