Book Review #27: Aristokra


Tajuk: Aristokra
Penulis: Ahmad Patria
Tahun Terbit: 2016
Terbitan: Penerbit X

Pembuka kata

Tidak tahu harus aku mulakan dari mana. Sungguh! Jari jemariku kaku. Bahasa yang tersusun dengan baik kata yang indah. Mungkin nukilan ini hasil dari luahan hati yang tulus dan ikhlas. Bisa memerangkap mindaku tanpa sedar. Hanyut dalam dunia imaginasi. Seperti dapat ku lihat kejelitaan Melyn dan pesona Artakus

Aku terus dibawa ke alam ciptaan penulis. Sebuah negara yang hanya wujud di minda. Tidak dapat dibayangkan, ke mana dan apa yang bakal aku temui. Namun keasyikkan terus membelai minda dan fikiranku. Aku tidak mampu untuk berhenti selagi kaki Melyn terus melangkah dan pedang Artakus berkilau di panah matahari.


Sinopsis

Nashan.

Sebuah negara kecil jauh ke utara Aurora, yang kini diperintah oleh Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri dan Aristokra yang terakhir. Daerah legenda dan mitos, paling gemilang antaranya adalah Spiara Bulwar, kisah epik yang menceritakan persahabatan pahlawan terbilang itu dengan Shilrung, serta pertarungan mereka menentang Krodra, gergasi samudera yang menggerunkan.

Dan kini pemerintahan Melyn diancam bahaya.

Sursis, pahlawan adi dan panglima gagah dari banjaran gunung jauh, mahu menakluki Nashan. Kehadiran Mori, kesatria misteri yang dikirim oleh Artakus, Lodra Perang Aurora, bakal mengubah segala-galanya. Namun, kehebatannya tidak dapat menandingi kegagahan Sursis, yang belum pernah tewas dalam pertempuran. Percaturan Merkia, wizra terulung yang menguasai magis tinggi, memberikan sinar harapan dalam usaha mereka menentang ancaman musuh. Namun, rahsia yang bakal menentukan takdir seluruh Nashan tersembunyi dalam legenda Spiara Bulwar

Firasat murni dan magis tinggi, persahabatan sejati dan pengkhianatan misteri, kesemuanya tergabung dalam perjuangan Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri Kushan yang pintar dan jelita, yang paling terkenal dengan hanya satu gelaran,

Aristokra.


Pandangan.
Kisah tentang seorang pemerintah wanita Melyn yang cuba menyelamatkan negaranya dari diserang musuh. Ini kisah peperangan, namun saya harus nyatakan, penceritaan yang sangat menyakinkan, cantik dari segi gaya bahasa juga jalan cerita.

Kisah ini tidak membosankan, malah sentiasa mengujakan. Cerita disebalik cerita, setiap yang terjadi ada aturannya yang tersendiri. Novel ini seperti menterjemahkan kata-kata "setiap apa yang terjadi, pasti ada hikmah yang tersembunyi."

Kemelut mula melanda bila Sursis pahlawan dari gunung ingin menakluki Kota Nashan. Nashan tidak punya kuasa tentera yang kuat, sejak dulu ianya dikenali sebagai sebuah pelabuhan yang makmur dan pesat. Penduduknya terdiri daripada nelayan dan petani. Bagaimana bisa mereka ini semua bangkit dan menentang tentera Sursis?

Puteri Melyn, Aristorka yang terakhir. Bagaimana Aristorka yang terakhir ini berjuang demi keamanan negaranya yang tercinta. Adakah kehadiran Merkia, wirza terhebat mampu memberikan sinar harapan kepada Merlyn.

Untuk pengetahuan anda, Aristorka adalah buku pertama dalam siri Kronika Nashan. Kemudian kisah bersambung dalam Wirza dan pengakhiranya dalam Kesatria. Jadi, untuk novel yang pertama dalam siri ini, masih banyak persoalan yang ditinggalkan oleh tuan penulis untuk pembaca setianya. 

Kisah Melyn hanya pembuka bicara bagi sebuah kisah lampau yang lebih mendalam. Cerita dalam cerita. Ianya menunjukkan betapa pentingnya apa yang terjadi pada masa lampau kepada kehidupan sekarang. Setiap keputusan yang pernah dibuat oleh pemerintah dulu memberi kesan kepada apa yang terjadi dan bakal terjadi. Sejarah membentuk apa yang terjadi hari ini.

Kita dapat lihat, bagaimana seorang pemimpin perlu membuat keputusan yang besar dalam menentukan arah tuju negaranya. Bukan sedikit yang perlu difikirkan, malah setiap aspek perlu diambil kira dan diteliti. Seorang pemimpin yang baik pasti dapat menimbang baik buruk setiap tindakan yang bakal diambil.

Kisah ini juga menjelaskan betapa hubungan diplomatik antara negara-negara jiran sangat penting dalam memelihara keamanan sejagat. Sesebuah negara tidak kekal aman jika meminggirkan jiran disekelilingnya. Pasti satu hari nanti, pertolongan dari negara jiran amat diperlukan untuk menentang sebarang bentuk serangan dari luar.

Kesimpulan tentang karya ini.

  • Menggunakan bahasa pada aras tinggi. Indah dan tersusun dengan kemas
  • Konflik cerita ini bermula dengan satu kemudian makin lama makin bertambah. Seperti mendaki sebuah bukit, bermula dengan mudah semakin lama didaki semakin banyak cabaran yang muncul. 
  • Susunan plot yang kemas dan teliti. Setiap keadaan digambarkan dengan jelas dan terperinci oleh penulis.
  • Kisah ini menjelaskan kepada kita, sebagai manusia kita perlu sentiasa meminta pertolongan kepada ALLAH. Pertolongan pasti tiba sekiranya kita meminta dengan ikhlas dan jujur.

Jadi, bacalah kisah ini, anda pasti tidak akan kecewa. Kisah yang menarik dan anda pasti tidak sabar untuk membaca sambungan kisah ini dalam novel ke-2 dan ke-3 nanti.

Book Review #26: Banja Manggala



Tajuk: Banja Manggala
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2018
Terbitan: Grup Buku Karangkraf (Buku Prima)

Sinopsis


Amar seorang kanak-kanak Bosnia yang diselamatkan oleh pasukan komando Malaysia pada penghujung Perang Bosnia 1995. Dia kemudiannya diambil sebagai anak angkat kepada Dato' Husam (seorang jeneral) dan isterinya Datin Normazlina. Amar seorang kanak-kanak yang pendiam dan tidak mahu bercakap denga sesiapa sehingga dia bertemu Rania anak kepada pasangan ibubapa angkatnya. 

23 tahun berlalu, Amar mula mengalami peristiwa pelik. Dia sering diganggu oleh bayangan seekor serigala salji. Ia seperti cuba menyampaikan sesuatu yang tidak Amar fahami. Lalu dia nekad mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Bermulalah misi Amar mencari kebenaran.


Rania bertugas di sebuah stesen penyiaran dan dalam proses menyiapkan program travelog musim ke-2. Kejadian yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Dia diculik!

Amar sekarang ada 2 misi penting, mencari kebenaran tentang serigala salji dan menyelamatkan adik angkatnya Rania. Adakah kedua-duanya ada kaitan dengan mitos Banja Manggala? 


Ulasan

Tuan Ramlee Awang Murshid kembali lagi dengan novel ke-29 beliau bersama Grup Buku Karangkraf. Kali ini beliau tampil dengan kisah fantasi thriller berkisar tentang mitos Banja Manggala - manusia serigala. 

Terdapat beberapa konflik yang menjadi asas kepada kisah ini. Berlatar belakangkan kisah Perang Bosnia yang terjadi sekitar tahun 1995 dan karya ini banyak menceritakan kesan perang tersebut dan pengalaman mereka yang melalui konflik berdarah itu.

Amar, Lamifa adalah antara anak-anak Bosnia yang telah dibawa ke Malaysia setelah diselamatkan semasa perang tersebut. Kanak-kanak ini mengalami trauma yang teruk dan ingatan mereka terhadap peristiwa pahit itu telah terpadam.



Cerita ini dimulakan dengan peristiwa pasukan komando Malaysia menyelamatkan Amar dari kawanan serigala. Prolog cerita telah mula mencetuskan perasaan ingin tahu tentang kenapa akhirnya serigala itu tidak menyerang mereka dan berundur secara aman. 

Kisah diteruskan pada masa kini, watak-watak utama mula muncul memperkenalkan diri. Pembaca diperkenalkan dengan Amar, Rania, Haslinda, Firdaus, Dato' Husam dan Datin Normazlina. Pengenalan watak yang bersahaja bersama karakter masing-masing. 

Terdapat beberapa konflik dalam kisah Banja Manggala ini. Penulis menyusun konflik ini dengan sangat bijak. Berdasarkan pembacaan, dibawah adalah konflik yang dapat dikenalpasti:

1) Amar dan misteri bayangan serigala salji
2) Cadangan Dato' Husam untuk menyatukan Amar dan Rania
3) Lamija yang mencari keluarga kandungnya
4) Misteri kes pembunuhan di lembah banjaran Bosnia-Herzegovina
5) Penculikan Rania, Haslinda dan Firdaus
6) Amar, Vuk dan dendam Kar

Expected, unexpected. Plot twist yang tidak dijangka. Orang yang kita sangka baik, rupanya bertopengkan syaitan. Kelebihan Amar menyebabkan banyak plot suspen berjaya menipu kita sebagai pembaca. Ingatkan begitu, rupanya jadi begini. 

Cliff hanger karya ini kuat dan mampu menyebabkan pembaca tidak senang duduk selagi tidak bertemu kata penamat. Kisah cinta yang tidak berlebihan, kisah ikatan kekeluargaan yang amat kental dan persahabatan yang jitu. 

Satu lagi point penting yang ditekankan oleh tuan RAM ialah solat dan doa. Ini adalah senjata orang muslim yang paling hebat. Tidak kira dalam apa juga keadaan sekalipun, jangan sesekali kita lupa meminta pertolongan dari Allah S.W.T

"Singgah surau dulu. Cepat Hasanovic, usah lengahkan solat. Nanti ALLAH menahan rahmat-Nya ke atas kita!" - Cavak Salih

Hubungan Amar dengan Sang Alpha berjaya menyentuh hati. Kisah mereka walaupun telah lama terpisah tapi kepercayaan dan kasih sayang masih terpahat kukuh. Bila Sang Alpha (tua) akhirnya mati dibunuh, Amar sangat terasa kehilangannya.

Di samping itu, penulis juga berkongsi keindahan Bosnia dan kisah Perang Bosnia turut diselitkan dalam karya ini. Sebuah novel yang tidak harus dilepaskan dan patut dibaca oleh semua lapisan masyarakat. 

Tips memilih buku yang sesuai untuk diri anda.



Assalamualaikum semua. Hai Geng TheUlatBuku.

Hari ini admin ingin berkongsi tip-tips untuk memilih buku yang sesuai untuk diri anda. 

Pilihan buku yang sesuai penting kerana jika kita memilih buku yang salah ini mungkin akan memadam keinginan untuk membaca. Kita mungkin merasakan membaca buku satu aktiviti yang membosankan. Dengan itu minat kita untuk membaca akan berkurang dan yang paling teruk mungkin hilang untuk selama-lamanya. Alangkah ruginya sekiranya nikmat ini tidak digunakan hanya kerana kita membuat pilihan yang salah.

Jadi, admin tidak mahu ini terjadi kepada anda. Apa kata anda ikuti tip-tips di bawah untuk memilih buku yang sesuai dengan diri minat anda. Jadilah pembaca yang bijaksana.

1) Kenalpasti minat anda. Adakah anda seorang yang suka mengembara? Atau suka kepada sesuatu yang penuh suspen? Atau aksi? Atau anda seorang yang sukakan fakta? Apa yang anda suka akan membantu anda dalam menentukan pilihan buku yang sesuai.

Suka mengembara?
  • Mungkin anda akan berminat dengan kisah yang ditulis dalam travelog. Pengalaman sebenar pengembara lain yang sudah sampai ke sesuatu tempat yang anda ingin tuju. Anda pasti akan dapat banyak maklumat yang berguna untuk kembara anda nanti. 
  • Anda juga mungkin akan teruja bila membaca kisah yang berlatar belakangkan sesuatu tempat yang istimewa. Ini kerana kisah sebegini biasanya akan memberi gambaran tentang tempat tersebut bagi menaikkan mood pembaca.
Suka membaca fakta?
  • Jika anda seorang yang sukakan fakta, buku berbentuk ilmiah, biografi dan non-fiksyen mungkin pilihan yang baik. Buku tentang pengalaman hidup juga sesuai memandangkan ianya berdasarkan kisah benar.

2) Baca blurb di kulit belakang buku.
  • Blurb adalah petikan yang menggambarkan serba sedikit apa yang ditulis dalam buku tersebut. Ini adalah salah satu penentu samaada buku tersebut sesuai dengan minat anda atau tidak. Sekiranya bila anda membaca blurb dan ada rasa tarikan, mungkin buku tersebut sesuai dengan diri anda.

3) Baca reviu tentang buku tersebut.
  • Sebelum membeli atau membaca sesebuah buku, cuba cari dan baca dulu reviu pembaca lain tentang buku tersebut. Komen dan reviu dari orang lain mampu membantu anda mengenalpasti adakah buku itu berada dalam ciri-ciri yang anda kehendaki. 
  • Anda boleh baca reviu pembaca lain di goodreads, blog, facebook, instagram. Jangan lupa boleh baca reviu juga di blog kami Dulatbuku

4) Baca prolog buku tersebut.
  • Biasanya di kedai-kedai buku, akan ada sample buku untuk pembeli baca dahulu. Prolog adalah satu ringkasan kepada mungkin pengakhiran atau masa depan kepada keseluruhan cerita. Prolog biasanya akan memberi gambaran awal kisah dalam buku tersebut. Jadi anda boleh membuat penilaian dari sini.

5) Kenali gaya tulisan penulis.
  • Gaya tulisan seseorang penulis juga memberi kesan kepada minat membaca. Adakah anda seorang yang sukakan sesuatu yang santai atau sastera. Jadi mengenali gaya tulisan penulis dapat membantu anda mengenalpasti buku dari penulis mana yang anda minati. 

6) Berbincang dengan kawan-kawan tentang buku-buku yang mereka telah baca.
  • Ini juga salah satu cara mudah untuk mendapat maklumat buku apa yang menarik untuk dibaca. Kawan-kawan biasanya satu rujukan yang mudah kerana mereka akan mencadangkan sesuatu yang sesuai dengan anda. Kawan kita pastinya sudah mengenali sifat kita, jadi apa yang mereka kongsikan pasti akan membantu kita membuat keputusan yang tepat.
7) Baca bab-bab awal di aplikasi Wattpad.




  • Jika anda telah mencuba tip-tips di atas tapi masih ragu-ragu, apa kata anda baca bab awal buku tersebut di aplikasi Wattpad. Aplikasi ini digunakan oleh ramai penulis dan penerbit untuk memberi ruang kepada kita membaca bab-bab awal sesebuah buku. 
  • Anda boleh download aplikasi ini di Google Play dan mula membaca di aplikasi ini. 


Jadi, admin harap dengan tip-tips di atas dapat membantu anda sekali dalam mencari buku idaman hati. Anda berhak membuat pilihan dan jadikan membaca satu hobi yang menyeronokkan. Membacalah, baru style!

Book Review #25: Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru



Tajuk: Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru
Penulis: Hilal Asyraf
Tahun Terbit: 2017
Terbitan: Hilal Asyraf Resources

#UlasKaryaHAR2018
#ulasanbuku
#bookreview

Cerita ini berkisar tentang mereka yang mempunyai kuasa dan bagaimana mereka menggunakan kuasa tersebut sama ada ke arah kebaikan atau kemungkaran. Lutello seorang maharaja bagi kerajaan Mukan'Aja yang kaya raya dan berkuasa. Dia menggunakan harta kekayaan dan kuasanya untuk meluaskan empayarnya. Namun sayang sekali, Lutello tidak percaya kepada Allah. 

Ariki, Raja Muda pada kerajaan ini, tapi dia tidak suka mengikut cara ayahandanya. Ini menyebabkan kemarahan Lutello. Dia memaksa Ariki mengikut cara hidupnya sehingga Ariki mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Kelebihan karya:

1) Karya ini menunjukkan dan menjelaskan, kita sebagai manusia perlu menggunakan akal fikiran untuk membuat pilihan yang betul. Ariki seorang pemuda yang dari kecil telah didedah dan diajar oleh ayahanda untuk melakukan maksiat. Ditabur dengan harta kekayaan, tapi dia membuat pilihan untuk tidak mengikut kehendak tersebut dan sanggup lari dari kesenangan hidup. 

Cerita ini seperti inspirasi dari kisah Ashabul Kahfi yang melarikan diri dari kezaliman raja mereka, lalu ditidurkan Allah untuk satu jangka masa yang lama. Begitu juga dengan Ariki, walaupun pada masa itu belum lagi memeluk Islam, dia memilih untuk melarikan diri dari ayahandanya dan dia dipertemukan dengan Aifer dan Kabeer yang melindunginya.

2) Dalam karya ini juga diterapkan dan ditonjolkan semangat juang yang tinggi dalam menegakkan agama Islam. Ibu Umeira walaupun telah ditangkap dan dipenjarakan, tapi dia tidak pernah berhenti berusaha, berdoa dan mengamalkan ajaran Allah. Ini kerana dia percaya dan berserah kepada kuasa Allah S.W.T

3) Kisah ini juga menerangkan dan menegaskan solat itu tiang agama. Kita dapat lihat dan baca, walau apa juga keadaan Aifer tidak pernah meninggalkan solatnya. Ketika Aifer dan Ariki berada dalam hutan dan berlawan dengan tumbuhan yang hidup, mereka bergilir-gilir solat dan pada masa yang sama berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling.

"Jadi mengapa seorang muslim perlu solat sehingga lima kali sehari?"

"Kerana fitrah manusia itu memerlukan Tuhan. Solat bukan untuk menambah kuasa Allah, Maha suci Allah telah sedia Maha Perkasa tanpa perlu dibantu sesiapa. Solat itu untuk manusia, mempunyai waktu khusus memfokuskan diri hanya kepadanya, memisahkan keperluan terhadap dunia. Memohon kekuatan untuk terus hidup , mewaraskan semula akal dengan mengembalikan fokus minda. Solat juga mendisplinkan seorang Muslim, untuk peka dan sensitif dengan masa, mengatur kehidupan dengan lebih baik. Tidak semata-mata hidup mengikut arus." - petikan dalam Hikayat Satria Satria Sejati

4) Setiap satria dalam novel ini mempunyai kuasa yang unik iaitu mampu mengawal unsur-unsur alam dengan baik. Unsur yang paling menarik ialah unsur tanah yang mana mereka ini mampu mengawal tumbuhan dan mencipta sesuatu seperti rumah. Ini adalah cara menarik untuk memaparkan bagaimana mereka mengawal kuasa unsur yang ada pada mereka. Semakin tinggi penguasaan terhadap sesuatu unsur membolehkan mereka menggabungkannya dan mencipta serangan yang lebih hebat. 



Kelemahan karya:

1) Garapan kisah Gardin Ramsi, agak longgar dan kurang terperinci. Konflik yang wujud antara mereka juga tidak berapa jelas, sama ada Gardin Ramsi dengan rela melepaskan Mikail yang telah diasuh dari kecil begitu saja untuk mengikuti Ariki dan rakan-rakannya. Walaupun sebelum itu mereka ada berbincang atau bertegang urat, tapi ketegangan plot itu agak mendatar. 

2) Karekter Wirawan dan Wirawati kerajaan Mukan'Aja kurang dirasai kejahatan dan keganasannya. Walaupun ada diceritakan kejahatan yang mereka lakukan, namun aura itu tidak begitu terbayang bila membaca kisah ini.

Pendapat keseluruhan:

Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru merupakan sebuah masterpiece yang baik dengan garapan dan plot cerita yang menarik. Kisah ini walaupun mempunyai banyak watak, namun setiap dari mereka membawa karakter yang berbeza-beza. Cabaran yang mereka lalui berlainan tetapi bila digabungkan ianya menjadi satu kisah yang sangat menarik. Seperti biasa penulis tidak pernah lupa untuk menerapkan ilmu-ilmu agama yang berguna untuk panduan pembaca. Kelemahan yang saya nyatakan di atas adalah sangat minimal dan tidak mencacatkan jalan cerita novel ini. Bacaan yang sangat sesuai untuk setiap lapisan masyarakat dan yang pasti kita akan beroleh manfaat dari kisah perjuangan Ariki dan sahabatnya.


Cadangan penambahbaikan:

1) Menambah sedikit lagi emosi kekeluargaan kepada hubungan Gardin Ramsi dan Mikail. Kisah bagaimana mereka bertemu mungkin dapat membangkitkan rasa kasih sayang dan pengorbanan ketika Mikail ingin meninggalkan ayah angkatnya.

2) Tambahkan ciri-ciri watak jahat supaya pembaca dapat mendalami semangat perjuangan Satria Sejati dalam menentang kerajaan Mukan'Aja dan perjalanan mereka dalam mengumpulkan semula Satria Sejati terdahulu. 

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...