#Review Artikel: Gundik dalam Teks Kesusasteraan Melayu

Tajuk: Gundik dalam Teks Kesusasteraan Melayu
Majalah: Tunas Cipta Bil. 6
Tahun Terbitan: 2017
Penulis: Wan Roshazli Wan Razali
Segmen: Fokus

Perkara pertama yang muncul dibenak sebaik terlihat perkataan gundik adalah “perempuan simpanan”. Menurut Ismail Azman Omar (2009:179), maksud gundik adalah isteri yang tidak rasmi (isteri bukan gahara) atau perempuan simpanan untuk golongan raja. Setelah selesai membaca artikel ini, saya lebih memahami siapa dan peranan seorang gundik di dalam sesebuah institusi beraja. 

Gundik dibahagikan kepada tiga kategori:

1) Wanita yang bukan dari golongan gahara (raja) yang dikahwini secara sah. Walaupun sebagai isteri yang sah, wanita ini tidak boleh menyertai urusan rasmi kerajaan sepertimana seorang permaisuri. Golongan ini digelar “Gundik Diraja”.

2) Wanita yang tidak dinikahi tetapi “dipakai” oleh sultan. Mereka ini tinggal di istana dan disara sepenuhnya oleh sultan. Mereka ini digelar “Gundik Raja”.

3) Gundik Biasa” pula adalah wanita yang tidak dinikahi dan tidak tinggal di istana. Pertemuan bersama gundik ini dilakukan secara rahsia dan di tempat khas.

Pengaruh  seseorang gundik mampu mengubah pentadbiran malah mampu juga menghancurkan sesebuah kerajaan. Singapura diserang Majapahit berpunca dari seorang gundik kesayangan Sultan Iskandar Syah yang dihukum sula akibat difitnah. Tetapi saya agak musykil dari mana penulis ini mendapatkan nama gundik malang tersebut. Jika disemak kembali naskah Sulalatus Salatin (2010:69), sememangnya tidak tercatat nama Dang Anum di dalam naskah agung tersebut. Penulisan sejarah sudah pastinya berlandaskan fakta, tanggapan saya kemungkinan penulis artikel ini merujuk dari pelbagai sumber yang sahih.



Hikayat Patani (1992:41) pula mengisahkan seorang dayang yang diangkat menjadi gundik oleh suami Ratu Kuning, sehingga sanggup menunaikan hasrat gundik kesayangannya Dang Merta untuk memakai gelaran diraja iaitu “Encik Puan”.

Menurut Sulalatus Salatin (2010:82), bonda kepada Sultan Muzaffar Syah iaitu Tun Ratna Wati adalah seorang gundik diraja. Maka secara tidak langsung baginda mempunyai jurai darah keturunan seorang gundik diraja begitu juga dengan sultan-sultan yang mewarisi takhta empayar Melaka seterusnya.

Artikel ini juga ada menyentuh betapa besarnya hukuman pada sesiapa sahaja yang cuba membuat hubungan sulit dengan gundik sultan. Hang Tuah yang mempunyai begitu besar jasa dan bakti pada sultan juga turut dijatuhi hukum bunuh apabila beliau difitnah bermukah dengan gundik kesayangan sultan. Hang Jebat dianggap mencela maruah sultan secara simbolik apabila pahlawan tersebut menodai gundik-gundik baginda ketika terjadinya peristiwa amuk.

Walaupun ketika itu ajaran Islam sudah mulai berkembang tetapi sistem pemilikan gundik masih lagi berterusan. Namun amalan itu semakin ditinggalkan apabila pengaruh Islam semakin kuat, disamping turut mengangkat darjat wanita itu ke tempat yang mulia.



Untuk  bacaan artikel penuh sila dapatkan Tunas Cipta Bil. 6 2017, artikel ditulis oleh Wan Roshazli Wan Razali di segmen Fokus.

Book Review #21: Puteri Naga Tiberius



Tajuk: Puteri Naga Tiberius
Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop
ISBN: 978-967-369-366-5
Terbitan: Penerbit X
Tahun Terbitan: 2017


PUTERI NAGA TIBERIUS

Puteri dan naga adalah 2 gabungan yang pelik. Biasanya kalau puteri, mesti digambarkan dengan kecantikkannya, sopan santun dan lemah lembut. Jadi puteri apakah ini yang ada kaitan dengan seekor naga?

Novel terbitan Penerbit X ini adalah hasil nukilan penulis yang diberi nama Sri Rahayu Mohd Yusop. Kulit buku yang berwarna coklat cair dengan lukisan seekor naga bersama seorang perempuan di atas gunung nampak simple tapi punya daya tarikan tersendiri. Gabungan ini telah berjaya menambat hati saya untuk memiliki naskah ini.


SINOPSIS

Novel ini mengisahkan tentang Sula seorang gadis hamba. Dia mempunyai keunikan yang tidak diketahui orang lain. Dia mampu membezakan perkara baik dan jahat. Tuannya Bregheda telah mempergunakannya untuk menghasilkan racun yang mampu membunuh. Racun adalah salah satu ilmu gelap yang diharamkan dalam undang-undang Kerajaan Tiber. 

Dia nekad untuk melarikan diri dari rumah tuannya itu. Matlamat Sula, dia tidak ingin lagi menggunakan tangannya untuk membunuh sebaliknya dia ingin menjadi penyembuh. Sula ingin bertemu dengan Si Tua Emery di Tasik Magor.

Putera Basilius adalah bakal pewaris tahta Kerajaan Tiber. Sebagai seorang bakal maharaja, baginda telah dilatih dengan berbagai kemahiran sejak dari kecil lagi. Hati mudanya memberontak ingin keluar dari istana emas ini. Satu hari Putera Basilius nekad untuk lari dari istana. Baginda memerintahkan  mimiknya Hura menyerupai baginda untuk mengelakkan kehilangannya dicurigai.

Namun gurunya Mebrune telah mengetahui muslihat yang digunakan. Dek kerana dia telah masak dengan perangai Tuan Putera, Mebrune melepaskan baginda pergi dengan berkata “Patik beri tuanku satu hari dan satu malam, sebelum tuanku pulang ke istana dalam tangisan.

Dengan matlamat pelarian yang berbeza takdir telah menemukan Sula dan Putera Basilius. Pelbagai cabaran dan rintangan bakal mereka tempuh. Berjayakah mereka mengharunginya? Sila dapatkan dan baca novel ini untuk dapatkan jawapannya.




APA PENDAPAT SAYA TERHADAP BUKU INI

Tabik spring pada penulis kerana berjaya menarik perhatian saya dari prolog lagi. Habis sahaja baca prolog, hati saya seperti ditarik oleh satu kuasa magnet untuk meneruskan bacaan.

Bab-bab seterusnya disusun dengan sangat kemas. Penulis berjaya merungkai setiap watak dengan teliti. Semakin dibaca, perkembangan cerita dan watak bertambah jelas. Ianya ibarat menaiki bot menuju sebuah pulau. Semakin hampir ke destinasi  dituju, makin jelas kecantikan pulau itu kelihatan di depan mata.

Satu lagi keunikan novel ini, setiap bab akan dimulakan dengan puisi, lagu ataupun madah yang berkaitan dengan bab tersebut. Jadi secara kasar, pembaca sudah diberikan hint awal tentang bab tersebut. Apabila selesai membaca, kita akan dapat memahami maksud puisi, madah atau lagu yang ditulis pada awal bab itu.

Cerita ini boleh dibayangkan seperti movie Lord of the Rings atau drama Merlin, tapi jalan cerita dan wataknya mampu berdiri dengan sendiri hasil garapan penulis. Ada makhluk pelik yang Sula jumpa seperti Ular Seraphin, keluarga naga Tiberius, orang bunian dan macam-macam lagi. Setiap watak muncul pada masa yang tepat.


Penjelasan penulis tentang sistem nama dalam Kerajaan Tiber sangat teliti. Ianya telah diceritakan dengan terperinci beserta contoh. Pemahamam tentang sistem ini perlu untuk membantu pembaca mengenali setiap watak dalam cerita ini. Bila kita faham, secara automatik kita boleh meletakkan taraf setiap watak yang muncul.

Salah satu plot yang agak mengagumkan ialah perihal seni bina istana Kota Tiberius. Deskripsi binaan istana itu mengingatkan tentang kehebatan kaum tsamud umat Nabi Salleh yang mahir menukang dan mengukir. Sementara binaan taman-taman istana dibayangkan seperti keindahan Taman Tergantung Babylon.



CADANGAN UNTUK PENAMBAHBAIKAN

Pertempuran di makam diraja antara Putera Basilius dan Raja Angas pada saya adalah pertarungan hebat. Sayangnya gambaran pertempuran tersebut kurang menyerlah dan agak kurang garapan bagi memberikan impak kepada pembaca.

Keputusan Sula untuk menggunakan kuasa tongkatnya pada waktu tersebut adalah tepat. Namun, sebagai pembaca saya tidak dapat merasai kesedihan dan kepiluan yang dilalui oleh Sula yang menyebabkan dia membuat keputusan sebesar itu. Ini kerana keputusan yang diambil Sula bakal merubah segala yang terjadi dalam kehidupannya.

Penggunaan universiti dirasakan sedikit janggal. Mungkin kalau guna satu istilah lain yang lebih unik pasti lebih menarik.

Watak Bregheda dan suaminya Raksasa kurang mendapat pendedahan. Mereka adalah tuan kepada Sula, yang pada saya perlu ditonjolkan kejahatan yang telah mereka lakukan. Namun kisah mereka tidak banyak digarap dengan baik dalam keseluruhan cerita.


KESIMPULAN

Ya, saya ingin melahirkan rasa kagum kepada puan penulis yang berjaya menghasilkan karya sehebat ini. Genre karya sebegini agak jarang dihasilkan. Pengakhiran kisah ini seperti menggambarkan bakal ada sambungan. Benarkah puan penulis? Jika ada, tak sabar menantikannya.

Novel ini memang tidak rugi untuk dimiliki dan dibaca. Bahasa yang digunakan sangat indah dan tidak membosankan. Anda mencari-cari karya yang berbeza, maka PUTERI NAGA TIBERIUS adalah jawapan yang tepat. Karya epik-fantasi yang membawa kita mengembara ke satu dunia lain.


~Realiti di alam fantasi~

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...