#Review Artikel: Gundik dalam Teks Kesusasteraan Melayu

Tajuk: Gundik dalam Teks Kesusasteraan Melayu
Majalah: Tunas Cipta Bil. 6
Tahun Terbitan: 2017
Penulis: Wan Roshazli Wan Razali
Segmen: Fokus

Perkara pertama yang muncul dibenak sebaik terlihat perkataan gundik adalah “perempuan simpanan”. Menurut Ismail Azman Omar (2009:179), maksud gundik adalah isteri yang tidak rasmi (isteri bukan gahara) atau perempuan simpanan untuk golongan raja. Setelah selesai membaca artikel ini, saya lebih memahami siapa dan peranan seorang gundik di dalam sesebuah institusi beraja. 

Gundik dibahagikan kepada tiga kategori:

1) Wanita yang bukan dari golongan gahara (raja) yang dikahwini secara sah. Walaupun sebagai isteri yang sah, wanita ini tidak boleh menyertai urusan rasmi kerajaan sepertimana seorang permaisuri. Golongan ini digelar “Gundik Diraja”.

2) Wanita yang tidak dinikahi tetapi “dipakai” oleh sultan. Mereka ini tinggal di istana dan disara sepenuhnya oleh sultan. Mereka ini digelar “Gundik Raja”.

3) Gundik Biasa” pula adalah wanita yang tidak dinikahi dan tidak tinggal di istana. Pertemuan bersama gundik ini dilakukan secara rahsia dan di tempat khas.

Pengaruh  seseorang gundik mampu mengubah pentadbiran malah mampu juga menghancurkan sesebuah kerajaan. Singapura diserang Majapahit berpunca dari seorang gundik kesayangan Sultan Iskandar Syah yang dihukum sula akibat difitnah. Tetapi saya agak musykil dari mana penulis ini mendapatkan nama gundik malang tersebut. Jika disemak kembali naskah Sulalatus Salatin (2010:69), sememangnya tidak tercatat nama Dang Anum di dalam naskah agung tersebut. Penulisan sejarah sudah pastinya berlandaskan fakta, tanggapan saya kemungkinan penulis artikel ini merujuk dari pelbagai sumber yang sahih.



Hikayat Patani (1992:41) pula mengisahkan seorang dayang yang diangkat menjadi gundik oleh suami Ratu Kuning, sehingga sanggup menunaikan hasrat gundik kesayangannya Dang Merta untuk memakai gelaran diraja iaitu “Encik Puan”.

Menurut Sulalatus Salatin (2010:82), bonda kepada Sultan Muzaffar Syah iaitu Tun Ratna Wati adalah seorang gundik diraja. Maka secara tidak langsung baginda mempunyai jurai darah keturunan seorang gundik diraja begitu juga dengan sultan-sultan yang mewarisi takhta empayar Melaka seterusnya.

Artikel ini juga ada menyentuh betapa besarnya hukuman pada sesiapa sahaja yang cuba membuat hubungan sulit dengan gundik sultan. Hang Tuah yang mempunyai begitu besar jasa dan bakti pada sultan juga turut dijatuhi hukum bunuh apabila beliau difitnah bermukah dengan gundik kesayangan sultan. Hang Jebat dianggap mencela maruah sultan secara simbolik apabila pahlawan tersebut menodai gundik-gundik baginda ketika terjadinya peristiwa amuk.

Walaupun ketika itu ajaran Islam sudah mulai berkembang tetapi sistem pemilikan gundik masih lagi berterusan. Namun amalan itu semakin ditinggalkan apabila pengaruh Islam semakin kuat, disamping turut mengangkat darjat wanita itu ke tempat yang mulia.



Untuk  bacaan artikel penuh sila dapatkan Tunas Cipta Bil. 6 2017, artikel ditulis oleh Wan Roshazli Wan Razali di segmen Fokus.

No comments:

Post a Comment

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...