9 Fakta menarik tentang si pembaca buku



Seorang yang mempunyai empati dalam diri.

Bila membaca, pelbagai karakter dan keadaan akan dilalui. Gembira, sedih, marah, kecewa, simpati, bertolak ansur dan bermacam-macam lagi pasti dirasai oleh seorang pembaca. Ini membantu meningkatkan empati dalam diri.

Seorang yang menghargai masa bersendirian.

Jika ada ruang masa yang menyebabkannya dia berseorangan, itu bukan satu masalah. Buku teman setia, pasti masa berlalu dengan pantas sekali. 

Seorang yang berpandangan jauh.

Membaca umpama satu pengembaraan mencari ilmu. Semakin banyak buku yang dibaca, semakin luas fikiran akan dibuka. Aktiviti membaca juga membantu menajamkan minda untuk menganalisis sesuatu keadaan dan memberi cadangan yang baik.

Seorang yang suka melakukan aktiviti positif.

Membaca adalah salah satu aktiviti yang positif. Seorang yang suka membaca pasti tidak akan menghabiskan masanya dengan perkara yang tidak berfaedah dan aktiviti yang berunsur negatif.



Seorang pendengar yang baik.

Apabila membaca, ia memerlukan daya tumpuan yang tinggi, jadi seorang pembaca sememangnya seorang pendengar yang baik. Dia pasti dapat mendengar dan menganalisis setiap bait kata yang anda sampaikan. Cuba berbual dengan mereka, anda akan sedar akan kelebihan ini.

Seorang yang mudah untuk rasa dihargai.

Kalau anda keluar dengan si pembaca buku, bawa mereka singgah di mana-mana kedai buku, dia pasti akan gembira dan rasa dihargai.

Seorang yang mempunyai ingatan yang baik.

Salah satu kelebihan membaca ialah aktiviti ini mampu meningkatkan daya ingatan. Membaca merupakan senaman kepada otak kita. Jadi seorang yang suka membaca, dia juga mempunyai ingatan yang baik. 

Seorang pembaca bukanlah seorang introvert.

Ada orang berpendapat, seorang yang suka membaca adalah introvert kerana dia seperti suka menyendiri. Oh, itu adalah tidak benar. Cuba anda berkawan dengan seorang pembaca, pasti banyak kebaikan akan diperolehi. Usah takut mendekati mereka.

Mudah untuk diberikan hadiah.

Kalau anda ingin mencari hadiah untuk si pembaca buku, tidak perlu berfikir panjang. Bagi saja hadiah buku pasti membuatkan tuan empunya diri tersenyum lebar.




[INFO] Apabila doktor menulis.




1) Dr. Muharikah -  Stigma
  • Tema yang diketengahkan dalam novel adalah satu tema yang agak kontroversial. Isu LGBTQ yang mana turut sinonim dengan penyakit HIV dan Aids. Kisah di dalam buku ini cuba memberi gambaran tentang kehidupan golongan ini (Gay dan Lesbian) dan struggles yang mereka perlu hadapi. Masyarakat perlu membuang segala persepsi dan stigma agar dapat membantu mereka kembali kepada fitrah.
  • Dr. Iman dan Dr. Faris , dua orang doktor muda yang sering kali berhadapan dengan penghidap HIV. Pesakit yang paling kerap mereka temui adalah dari golongan yang mencintai sesama jantina. Rawatan yang mereka beri bukan setakat sakit fizikal tetapi juga bantuan kerohanian. Pada masa yang sama kedua-dua doktor itu sendiri mengalami konflik dalaman akibat sejarah hitam dalam kehidupan mereka sendiri.

2) Dr. Fahd Razy -  Cakar Ayam Seorang Doktor
  • Dr. Fahd Razy menulis tentang kisah apa sebenarnya yang dilalui oleh seorang doktor. Realiti seorang doktor perubatan yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat luar. Semestinya pengalaman yang berwarna-warni - bukan sekadar merah darah dan putih white coat. 
  • Terdapat juga tip-tips kesihatan yang mahal. Kehidupan dan kisah doktor banyak diceritakan dalam buku ini. Buku-buku lain hasil tulisan Dr. Fahd ialah Pascasejarah, Doktor Bukan Gugel dan banyak lagi.
Pascasejarah buku terbaru tulisan Dr. Fahd Razy

3) Dr. Beni Rusani - Breathe
  • Kisah tentang Dr. Adam seorang Cardiologist. Sepanjang kerjayanya sebagai seorang doktor, dia telah banyak membantu pesakit. Namun, satu perkara yang dia tidak boleh lakukan, mengubati dirinya sendiri.
  • Nyawanya dalam keadaan kritikal kerana serangan jantung. Ketika ini dia diberi peluang untuk mengimbas kembali kehidupannya yang lalu. Dalam keadaan genting, semua orang sedang bertarung dengan masa untuk menyelamatkan Dr. Adam. Jawapan kepadanya mungkin dapat ditemui dari masa lalunya, dan masa semakin mencemburui.
  • Buku-buku lain hasil karya Dr. Beni antaranya DIAnogsis Fobia dan Dianogsis Apokalis


4) Dr. Rozanizam Zakaria - Refelksi Wad Sakit Jiwa - Aku Nabi Isa!
  • Aku nabi isa adalah kisah benar berdasarkan pengalaman seorang pakar psikiatri Dr. Rozanizam yang bekerja di Lyell McEwin Hospital dan The Queen Elizabeth Hospital, south Australia. Di dalam buku ini penulis menerangkan secara khusus pesakit-pesakit yang menghidapi pelbagai jenis penyakit mental. Dijelaskan tentang simptom-simptom dan kecenderungan pesakit apabila berhadapan dengan penyakit ini.
  • Bukan itu sahaja penulis juga mengajak pembaca memahami penyakit ini dari konsep Islam. Ini menunjukkan penyakit mental bukan sahaja memerlukan rawatan secara perubatan moden tetapi perlu juga dibantu dari segi kerohanian.

5. Dr. Kamarul Ariffin - #Ghospital

  • Hospital dan cerita seram seperti tidak boleh dipisahkan. Dalam buku ini Dr. Kamarul berkongsi kisah-kisah seram yang pernah terjadi dan dialaminya sendiri. Tajuk buku ini sendiri telah menterjemahkan isi kandungan buku ini ghost + hospital. 
  • Selain kisah seram, kita juga sedikit sebanyak dapat mengetahui apa yang berlaku di hospital kerana setiap cerita pasti berkaitan dengan tugas mereka sebagai pekerja. Ada kisah ketika merawat pesakit, ada kisah di Jabatan Forensik dan macam-macam lagi.

Book Review #30: I'm not a monster


Tajuk: I'm not a monster
Penulis: Sara Aisha
Terbitan: Karya Seni
Tahun Terbit: 2018

Ini kali pertama aku membaca karya Sara Aisha. Kenapa aku teruja hendak memiliki buku I’m not a monster ini adalah kerana ulasan mengenai karyanya yang bertajuk Salju Kyoto. Jadi semasa Pesta Buku Antarabangsa KL 2018 baru-baru ini aku tak melepas peluang membeli karya terbaru Sara Aisha.

Jarang sekali aku lihat penulis wanita mampu menulis cerita aksi dengan cukup hebat dan suspen, tetapi Sara Aisha merubah persepsi aku terhadap kemampuan penulis wanita malah karya beliau ini cukup mengagumkan.


Babak percintaan antara Ryu dan Maya cukup unik dan menarik. Membaca novel ini bagaikan menonton sebuah filem, garapan yang cukup kemas sehingga membuatkan kita sebagai pembaca dapat berimaginasi setiap aksi watak secara terperinci. Disamping itu banyak informasi mengenai organisasi dan aktiviti sebuah kongsi gelap dijelaskan di dalam novel ini. Sara Aisha ternyata membuat kajian secara mendalam tentang kehidupan geng kongsi gelap.

Sinopsis:
Novel ini mengisahkan kehidupan seorang ahli kongsi gelap ‘Red Dragon’ yang bernama Ishikawa Ryu yang menjadi orang kanan ‘hung kwan’ (ketua kawasan) bernama Luo Ming. Ryu sanggup menggadaikan nyawa demi ‘dai lo’ (ketua) kerana merasakan terhutang budi terhadap Luo Ming yang dianggap seperti abang. Meskipun Ryu terlibat dengan pelbagai perbalahan dan pergaduhan diantara kumpulan kongsi gelap yang lain, dia memegang prinsipnya untuk tidak membunuh tetapi sekadar memberi kecederaan teruk atau yang paling kritikal sehingga mangsanya menjadi cacat.

Perebutan kuasa bagi mendapatkan kedudukan tertinggi sebagai ‘Cho Kun’ bagi organisasi induk iaitu ‘Soaring Dragon’ menyebabkan begitu banyak nyawa yang terkorban. Malah Ryu sendiri terpaksa mengorbankan prinsipnya demi menjaga kedudukan dan kesetiaan terhadap ketua barunya ‘Zachary Ho’.

Namun kehidupan Ryu berubah tanpa disedari sejak bertemu dengan gadis bernama Maya. Mereka bertembung ketika Ryu melarikan diri dari di serang kumpulan ‘Bloody Dragon’, sementara Maya seorang gadis bisu pula melarikan diri dari sekumpulan penjahat yang telah menyerang dia dan ibunya. Maya mengambil keputusan yang berani untuk tinggal bersama Ryu walaupun dia tahu lelaki itu adalah ahli kongsi gelap. Bagi Maya hanya Ryu sahaja yang boleh melindunginya.

Ryu yang pada mulanya keberatan untuk menerima Maya tinggal bersama. Akhirnya bersetuju dengan syarat Maya tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa keizinan Ryu. Maka bermulalah perjalanan hidup mereka bersama konflik yang sarat dan rahsia yang tersimpan rapi demi keselamatan diri.

Memandangkan ini adalah genre cinta aksi sudah tentu kita akan dihidangkan dengan kisah percintaan antara Ryu dan Maya. Namun kisah sweet itu tidak keterlaluan memandangkan sikap Ryu yang terlalu dingin dan sememangnya tidak romantis membuat Maya semakin keliru.

Kesimpulannya:
Susunan plot yang cukup kemas meskipun begitu banyak konflik dan permasalahan diketengahkan. Plot twist yang membuatkan kisah ini full of suprises. Bagi aku yang paling menarik bagaimana penutup cerita ini diolah. Seperti biasa kita akan menjangkakan bab-bab akhir akan menceritakan kebahagian tetapi sebaliknya yang terjadi, sesuatu yang meruntun jiwa tetapi aku tidaklah mengatakan ianya sad ending. Kalau nak tahu kenalah baca buku ini untuk faham apa yang aku maksudkan.

Agak sukar untuk aku lihat dimana kelemahan novel ini. Ada sedikit kelonggaran tetapi itu telah ditutupi dengan perjalanan cerita yang cukup menarik. Aku ni susah sikit nak bagi bintang tetapi untuk cerita ini memang terpanggil untuk beri 4 setengah bintang, eh! Silap…5 bintang…

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...