Book Review #29: Padam



Tajuk: Padam
Penulis: Ibrahim Jama Huri
Terbitan: Buku Fixi
Tahun Terbitan: 2018

#pemenangsayembarabukufixi2017/8


Sinopsis: 
Malik seorang dropout askar dan beberapa rakannya masuk ke hutan untuk melakukan aktiviti lasak. Namun, mereka ditimpa musibah apabila bertembung dengan penjahat yang membunuh sesuka hati. Terlepas daripada tragedi itu, Malik cuba menjalani kehidupan normal. Tanpa disedari, dia diburu oleh penjahat yang ditemuinya di hutan. Malik yang terambil pendrive tanpa sengaja daripada penjahat itu masih tidak menyedari hal itu sehinggalah beberapa musibah melanda rakan dan ibunya. 

Pendrive itu mempunyai maklumat rahsia organisasi pembunuh upahan negara atau BILL. Dia kemudian bertemu seorang lelaki misteri yang menawarkan pertolongan. Tanpa mengetahui identiti sebenar lelaki itu, Malik turut serta dengan rancangannya bersama beberapa orang lain dalam menumpaskan organisasi rahsia tersebut.

Ulasan:
PADAM. Sebuah kisah thriller sains fiksyen. Malik dan rakannya berada di tempat pada waktu yang salah. Akibatnya, mereka telah terlibat dalam satu kes pembunuhan yang tidak disangkakan. Menjadi buruan polis dan penjahat pada masa yang sama. Mereka terpaksa melarikan diri demi mencari kebenaran. 

Malik seorang dropout askar, jadi situasi ini tidak begitu sukar baginya. Kemahirannya banyak membantu dalam usaha menyelamatkan diri. Malik dan Kamal bertemu dengan Razak yang mempunyai kemahiran di bidang teknologi penyiasatan. Mereka bekerjasama dalam mencapai matlamat masing-masing. 

Kelebihan karya: 
Plot yang disusun kemas. Jalan cerita pantas. Bila membaca, terasa seolah-olah sedang berlari mengejar perkataan demi perkataan. Penjelasan tentang sesuatu babak padat dan tepat. Banyak teknologi canggih yang digunakan antaranya adalah SITI, program ciptaan Razak. Program yang banyak memudahkan kerja-kerja penyiasatan. Bijak SITI ni. 

Plot apabila Inspektor Suzana dipanggil ke Secret Branch, digarap dengan baik. Terbayang satu scene dalam movie Harry Potter, waktu kali pertama Harry dipanggil ke pejabat Dumbledore, naik tangga berpusing.

Perkara yang boleh diperbaiki:
Setelah habis baca buku ini, aku rasa organisasi rahsia BILL yang menawarkan tugas kepada pembunuh upahan perlu dilibatkan secara lebih mendalam pada keseluruhan cerita. Penglibatan BILL akan memberi impak yang lebih kuat pada watak antagonis dalam kisah ini. 

Plot serangan terhadap ketua polis kelihatan terlalu mudah. Bagaimana seorang VIP yang memegang status pemimpin tidak dikawal rapi oleh pegawai-pegawainya. Penyerang menang mudah tanpa tentangan hebat dari pihak polis. 

Secara keseluruhan, novel ini menarik untuk dibaca. Untuk mereka yang sukakan novel aksi, jalan cerita yang pantas dan babak yang mendebarkan maka buku ini sememangnya patut anda miliki. Dari segi gaya penulisan, bahasanya santai dan mudah difahami.

Book Review 28#: 7 Pintu


Tajuk: 7 Pintu
Penulis: Ahmad Rusydi
Terbitan: Rapik Asura
Tahun Terbitan: 2018

Entah kenapa aku tertarik melihat novel 7 Pintu di rak buku Popular Bookstore. Buku ini tidak termasuk dalam senarai yang patut aku beli tapi entahlah tangan terus sahaja menggapai buku ini dan membawa ke kaunter bayaran. Adakah aku telah dipukau oleh Argono?

Sememangnya aku tidak salah memilih, mula dari muka surat pertama sudah berjaya menambat hati. Rentak cerita yang semakin lama semakin mendebarkan dan seterusnya penuh dengan misteri. Teknik flashback digarap dengan cukup baik. 

Sinopsis:
Perubahan Ika semakin membingungkan Faris. Isterinya kerap bertanyakan soalan yang tidak masuk akal dan sudah beberapa kali dia menerangkan bahawa rumah mereka hanya ada 4 bilik tidur dan 2 bilik air namun Ika tetap mengatakan rumah mereka ada 7 bilik. Keadaan Ika semakin serius apabila mula merasakan mereka pernah mempunyai anak yang ketiga.

Akhirnya Faris akur bahawa Ika kemungkinan mempunyai masalah tekanan perasaan. Namun rawatan psikologis dari Dr. Salhah hanya mengundang tragedi berdarah. Kenapa dia dibunuh masih menjadi misteri. Faris pula telah di tangkap atas tuduhan membunuh anak-anaknya.

Kau memang akan mati, Roslan. Kau tolong keturunan pembunuh! Nantikan sahaja.”
Antara dialog yang menambahkan misteri kisah di dalam novel ini. 


Ulasan:
Ok setakat itu sahaja yang boleh ditulis, tidak mahu jadi spoiler kepada sebuah novel yang menarik. Untuk anda yang ingin tahu kesudahannya, sila dapat naskah ini di kedai buku berhampiran. Sempat lagi iklankan…hahah

Penulis ternyata berjaya menggarap plot dengan kemas dan hubung kait setiap watak disusun atur dengan baik. Cliff hanger pada setiap bab cukup mendebarkan sehinggakan aku sendiri tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya. Di dalam novel ini diselitkan tugas-tugas seorang psikiatris, terpaksa berhadapan dengan penjenayah yang mempunyai sakit mental. Memang agak mencemaskan apabila doktor yang melakukan diagnosis ke atas Faris hampir menjadi mangsa. 

Teknik flashback (mengimbas kembali) sejarah dan kewujudan makhluk itu diolah dengan rapi. Deskripsi sebuah kampung serta kehidupan penduduk Kampung Alor pada 1941 di ceritakan dengan terperinci sehingga kita sebagai pembaca seolah-olah berada di era tersebut. Paling menarik apabila penulis menceritakan tentang kehidupan dan kepercayaan orang asli, suatu perkara baru yang boleh kita pelajari.

Keseluruhan novel ini aku tidak nampak mana kelonggarannya. Penceritaan yang ternyata tidak meleret. Boleh rasai setiap emosi watak dan kejadian yang berlaku. Detik seram mampu meremangkan bulu roma dan plot sedih mampu meruntun jiwa. Apa pun syabas buat Ahmad Rusydi. Kami menantikan karya anda seterusnya.

INFO: International book yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu



Berikut adalah senarai buku yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu:



Masa Dalam Kehidupan, oleh Yusuf Al-Qaradawi
Buku ini telah diterjemahkan dan diterbitkan pada tahun 2013 oleh PTS Islamika Sdn Bhd. Setebal 160 muka surat, buku ini dalam kategori gaya hidup dan pembangunan umum.


Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussein Alatas
Karya setebal 300 muka surat ini pada mulanya telah diterjemah ke bahasa Indonesia pada tahun 1987. Kemudian telah disunting oleh DBP ke bahasa Melayu beberapa tahun kemudian. Karya asal bertajuk The Myth of Lazy Native telah dihasilkan oleh Syed Hussein Alatas pada tahun 1977.

Nurani Tanah Melayu oleh Henri Fauconnier (Penterjemah: Muhammad Haji Salleh)
Kisah kehidupan pengurus estet di Tanah Melayu. Mereka cuma menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat yang berbilang kaum, memahami adat dan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat.



Chicken Soup for the Soul: Berfikir Positif 
Edisi bahasa melayu ini diterbitkan oleh PTS Publication pada tahun 2012. Buku ini mengumpulkan 101 kisah yang dialami oleh orang yang berbeza. Namun, dari kisah mereka ini, dapat memberi inspirasi untuk insan lain supaya sentiasa berfikiran positif.


Sang Pemimpi oleh Andrea Hirata
Buku ke-2 dalam tetralogi Laskar Pelangi. Buku ini diterbitkan oleh PTS Publication pada tahun 2007

Sherlock Holmes oleh Sir Arthur Conan Doyle
Sebuah siri novel penyiasatan yang popular. Novel ini telah diadaptasi ke drama dan filem. Pada tahun 2017, Penerbit-X telah menerbitkan novel ini dalam edisi bahasa melayu.

Bagaimana Membaca Buku 
Buku ini telah diterjemahkan kepada banyak bahasa. Di Malaysia, buku edisi bahasa melayu telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1989.

Frankenstein oleh Mary Shelley (Penterjemah: Dali Fazuri)
Sebuah novel gothic yang berkisar tentang kisah seorang saintis muda Victor Frankenstein. Novel ini ditulis sekitar tahun 1797-1851 oleh penulis Mary Shelley. Pada tahun 2007, novel ini telah diterjemahkan oleh Dali Fazuri dan diterbitkan oleh PTS Publication.


Trilogi The Hunger Games oleh Suzanne Collins
Novel siri yang telah diterjemah kepada 51 bahasa di seluruh dunia. Novel ini juga telah diadaptasi ke filem dan mendapat sambutan hebat dari peminat-peminatnya. Sebuah kisah sains fiksyen yang diterjemahkan oleh Emmy Hermina Nathasia. Terbitan Scholastic Malaysia pada tahun 2012.

Tsukuru Tazaki Tanpa Warna Dan Tahun-Tahun Kembara oleh Haruki Murakami
(Terjemahan oleh Toqari Yasuko & Ali Aiman Mazwin)
Novel bestseller dari penulis terkemuka Jepun Haruki Murakami. Kisah persahabatan Tsukuru Tazaki yang akhirnya dipinggirkan. Dia keliru dengan apa yang terjadi. Buku ini telah diterjemahkan dari karya asal dalam bahasa Jepun ke bahasa Melayu oleh Buku Fixi.

The Kite Runner oleh Khaled Hosseini
Buku ini menceritakan kisah persahabatan antara 2 orang kanak-kanak, Amir dan Hassan. Berlatarbelakangkan zaman pemerintahan beraja di Afghanistan. Pencerobohan Soviet telah menyebabkan Amir dan bapanya melarikan diri ke California. Amir akhirnya pulang ke Kabul demi sahabatnya Hassan. Kisah yang merungkai erti persahabatan dan sisi kehidupan lain rakyat dia bumi Afghanistan. Diterjemah dan diterbitkan oleh PelangiBooks pada tahun 2012.

Rich Dad Poor Dad oleh Robert T.Kiyosaki
Sebuah buku tentang pengurusan kewangan yang sangat popular dan telah dibaca oleh ramai orang. Penulis seorang yang sangat konsisten mengajar tentang pengurusan kewangan melalui penulisannya. Buku ini telah diterbitkan dalam edisi bahasa melayu oleh PTS.

Siri Novel Fantasi Harry Potter oleh J.K.Rowling
Siri ini menjadi fenomena di seluruh dunia pada tahun 1997. Kisah fantasi di dunia magis seorang kanak-kanak bernama Harry Potter. Siri ini telah diterjemahkan kepada hampir 80 bahasa di dunia. Novel ini mengandungi 7 buah buku dan kesemua buku ini telah diterjemah dan diterbitkan oleh PelangiBooks.

For One More Day oleh Mitch Albom
Kisah seorang ibu dan anaknya. Ini kisah hubungan keluarga yang tiada penghujungnya.  Charley berharap yang dia diberikan peluang satu hari lagi untuk bersama ibunya. Kisah yang menyayat hati, namun penuh dengan pengajaran berguna. Terbitan PTS Publication.

Tuesday with Morrie oleh Mitch Albom
Penulis berkongsi catatan menarik sepanjang hari-hari terakhir kehidupan Prof Morrie yang pernah menjadi gurunya hampir 20 tahun yang lalu. Terbitan PTS Publication.

Semalam oleh Felicia Yap
Sebuah novel thriller tentang misteri pembunuhan seorang wanita cantik. Bagaimana kes pembunuhan ini akan diselesaikan bila mereka mempunyai ingatan yang terbatas? 
Buku ini diterjemahkan dari novel bestseller "Yesterday"
Diterjemah dan diterbitkan oleh Buku Fixi.



10 fakta menarik tentang buku dan peminatnya.



1. Tahukah anda, antara buku termahal pernah dijual pada ialah pada harga $30.8 million. Buku The Codex Leicester, Leonardo da Vinci ini telah dibeli oleh Bill Gates dalam satu lelongan pada tahun 1994.


2. Pada tahun 2015, Malaysia telah menerbitkan buku berjumlah 15,354. Namun jumlah ini menurun dari tahun 2013 iaitu 19,987. (sumber wikipedia)

3. Bibliosmia merujuk kepada perlakuan seseorang mencium bau buku. Sila mengaku, siapa suka buat macam ini?

(sumber gambar: Google)


4. Book-Bosomed pula menggambarkan perlakuan seseorang yang sentiasa membawa buku setiap masa. Buku dan dirinya seperti belangkas, ke mana saja berdua.

(sumber gambar: Google)


5. Ayat terpanjang pernah dicetak mengandungi 823 perkataan dalam buku karya Victor hugo's Les Miserables.

(sumber gambar: Google)

6. Lima negara yang mempunyai jumlah membaca tertinggi dalam tempoh masa seminggu ialah:
  1. India - 10.42 jam
  2. Thailand - 9.24 jam
  3. China - 8 jam
  4. Filipina - 7.36 jam
  5. Mesir - 7.3 jam
Rakyat Malaysia perlu bekerja keras lagi untuk memupuk minat membaca. Mengikut kajian Perpustakaan Negara, rakyat Malaysia purata hanya membaca 15 judul buku setahun.

7. Tahukah anda, buku terbesar di dunia berjudul "This is Muhammad" telah diterbitkan di UEA. Buku ini seberat 1,500 kilogram, panjang 5 meter dan lebar 4 meter. Buku ini ditulis oleh Abdullah Abdulaziz Al Muslih menceritakan kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.

8. Antara pesta buku terbesar di dunia:
  • Frankfurt Book Fair, Jerman
  • London Book Fair
  • Gothenburg Book Fair, Swedia
  • Abu Dhabi International Book Fair, UEA
Semoga satu hari nanti, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, turut tersenarai antara festival buku terbesar di dunia.

9. Buku mampu menjadi terapi untuk mereka yang mengalami masalah untuk tidur. Disarankan membaca buku sebelum tidur kerana ianya dapat merehatkan minda.

10. Tahukah anda, untuk memasuki kategori "Ulat Buku", anda perlu membaca sekurang-kurangnya 50 buah buku setahun.


"Seeking knowledge is a duty upon every muslim."

Monthly Wrap Up - June 2018


Bulan Jun telah berlalu, jadi mari kita lihat buku-buku yang telah berjaya dibaca sepanjang 30 hari tersebut. 9 buah buku telah dibaca dan berikut sedikit ulasan untuk tatapan anda semua.


1) Hikayat Budak PhD: Bukti Anak Melayu Cemerlang karya Dr. Syahr Musafir
Sinopsis:
Anak-anak muda Melayu Muslim kena faham. Menjadi cemerlang adalah hak kita yang kita kena capai. Usaha gigih kepada kegemilangan itu, jangan buat sambil lewa. Jiwa kena besar, terbang kena tinggi. Kalau kecemerlangan itu sebutir bintang, lompat dan terbanglah tinggi-tinggi. Biar bintang itu jadi milik kamu, bukan orang lain. Biar dunia buka mata melihat lompatan kamu, biar mereka bingkas bangun menghormati kejayaan kamu menggapai bintang. Boleh, kita boleh. Bukan phD biasa-biasa. Kita buat #PhDforUmmah. Ayuh kita tadah tangan berdoa agar Allah SWT tolong permudahkan cita-cita kita.

Ulasan: 
Buku ini bagus untuk mereka yang bercadang menyambung pelajaran ke peringkat PHD. Dr. Syahr menulis tentang proses yang dia lalui sepanjang 3 tahun menghabiskan PHDnya. Apa cabaran yang dilalui, apa yang dibuat dan sokongan keluarga. Boleh menjadi inspirasi kepada ramai orang diluar sana.

Buku ini terlalu nipis dan aku rasa banyak lagi kisah yang tidak dicoretkan. Mungkin boleh dikembangkan lagi kisah beliau. Buku ini hanya memberi gambaran awal kehidupan seorang pelajar PHD. 


2) My Name is Hasmah karya Tun Siti Hasmah Mohd Ali
Ulasan:
Buku yang menceritakan kisah perjalanan hidup Tun Dr. Siti Hasmah dari sudut seorang anak, kawan, doktor, isteri, ibu dan Malaysia first lady. 

Banyak yang dikongsikan di sini, kisah bagaimana beliau belajar selama 8 tahun sebelum berjaya menjadi doktor perubatan. Kisah bagaimana beliau mula mengenali suaminya Tun Mahathir. Cerita keluarga besarnya, keletah anak-anak dan cucu-cucunya. 

Kisah di mana beliau perlu membuat pilihan antara suami dan anak, antara keluarga dan urusan rasmi. Apa yang dipelajari dan apa yang mampu beliau ajari kepada masyarakat.

Ada juga diselitkan kisah-kisah lucu yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini. Ada kisah yang memberi inspirasi kepada kita. Ada nasihat berguna untuk semua.


3) Ungu Karmila karya Ramlee Awang Murshid
Ulasan:
Novel ini memaparkan sebuah kisah misteri tentang sebuah vila terletak di Cameron Highlands. VILA SUNYI itulah namanya. Sesunyi suasana di sekeliling, vila ini menyimpan seribu misteri yang belum mampu dirungkai oleh sesiapa pun.

Ungu Karmila menceritakan kisah dan tanggapan masyarakat luar tentang apa yang pernah terjadi di vila tersebut. Aku suka tulisan tuan RAM kerana karyanya ditulis dari banyak sudut pandangan. Beliau tidak menulis kisah yang hanya fokus kepada satu konflik sahaja atau kisah sebuah keluarga. Karya ini adalah kisah sebuah masyarakat.

Dalam nukilan ini ada kisah bekas banduan, ada kisah masyarakat orang asli, ada kisah budak jalanan dan ada kisah adik beradik Arif dan Arafat.

Dalam karya ini juga banyak ilmu yang kita dapat, seperti ilmu bioteknologi, kajian dan kacukan bunga serta kesan kepada manusia. Sakit mental, atau gangguan mental juga ada dijelaskan dalam novel ini.

Kisah Arif dan Karmila menjadi titik tolak kepada peristiwa ngeri yang terjadi di Vila Sunyi. Misteri yang cuba dirungkai oleh Ema dan Arafat. Ema mencari jawapan kepada kematian abangnya Jikon. Manakala Arafat percaya yang adiknya Arif bukan pembunuh.

Misteri ini menemukan semula Dino dan Bado yang dahulunya budak jalanan yang bermusuhan. Konflik semakin parah dan Vila Sunyi seperti telah dibangkitkan.


4) Haq II
Ulasan:
Kisah ini sambungan dari novelet Haq dalam Antologi Cinta Dia. Haq bertemu Alin secara tidak sengaja dalam satu keadaan yang tidak diduga. Alin menyelamatkan Haq yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Namun, Alin terperangkap. Dia telah diheret dalam konflik berdarah. Haq bagaimanapun  meninggalkannya Alin demi keselamatannya. 

Siapa sebenarnya Haq, sehingga ke akhirnya ia kekal misteri. Namun, ini kisah cinta thriller yang penuh debaran. Keberanian Alin yang cuba melawan agoraphobia dan Haq adalah kekuatan dia untuk melawan fobia itu. Demi Haq, dia sanggup keluar dari dunia gelapnya. 

Plot letupan di lapangan terbang begitu mendebarkan, seperti menonton satu movie thriller di pawangan. 

5) Tertulis Buat Kita
Ulasan:
Kisah cinta Jimmy dan Auni Sofina. Jimmy seorang komando tentera yang dalam tugasnya untuk mengumpul maklumat penting. Dia bertemu Auni seorang gadis yang bencikan tentera. Semuanya kerana apa yang telah terjadi kepada abangnya Jeffrey. 

Peristiwa demi peristiwa berlaku, Auni dan Jimmy akhirnya jatuh cinta dan membuat keputusan untuk berkahwin. Namun, hidup tidak selalunya indah, Auni nekad membunuh Jimmy bila dia tahu satu kebenaran yang amat  dia takuti. 

Ini sebuah kisah cinta yang penuh dengan debaran, tembakan peluru dan jika tidak berwaspada, salah satu peluru itu pasti menembusi mangsanya.

6) Mesej
Ulasan:

Time travel. Apa akan jadi jika kita diberi peluang untuk mengenali seseorang pada masa lampau @ masa akan datang. Kenapa novel ini menarik?

1) Aku suka bila penulis tidak terlalu menjelaskan heroin tu cantik sangat dan hero hensem giler. Aku rasa sebagai pembaca, biar kita imagine sendiri macam mana cun heroin tu dan macam mana hensem hero based on our own standard. Aria dan Jason aku sure tak sama dengan Aria dan Jason orang lain kan. 



2) Penulis berjaya hold tumpuan untuk baca buku ini dari bab pertama lagi. Bila tinggal sekejap buku, memang terpanggil-panggil untuk sambung baca.

3) Kisah ini bergerak laju, takde part yang melodrama sangat atau trying hard untuk panjangkan kisah mereka. Jalan cerita lancar.


Overrall, interesting novel, should read it and feel the fantasy. Don't think about logic because if you think, there is no more fun in this story.

7) Hello It's Me
Ulasan:

Kisah tentang konflik yang dihadapi oleh seorang penulis novel bernama Tiya. Novel ini bercerita dari sudut pandangan seorang penulis. 

Kadang kala kita lupa mereka juga manusia yang bergelut untuk menepati kehendak pasaran, kemahuan penerbit disamping mengekalkan prinsip sendiri. Bukan senang nak dapat ilham dan olah idea tersebut untuk menjadi sebuah novel. 

Jadi topik yang dipilih untuk novel ini sangat bagus, membuka mata orang luar tentang apa yang dihadapi oleh seorang penulis dan macam mana keadaan dalam industri.

Perbincangan Tiya dan mamanya tentang apa yang patut ditulis juga baik dan ada point penting disitu. Bila Tiya dan Shah berdebat tentang buku limited edition juga banyak perkara dijelaskan dari sudut penerbit dan impak kepada pembaca serta penulis.

Konflik cinta pula, dari awal memang dah nampak Duta menang. Tak ada tentangan langsung dari watak Azman.  Misteri SUV, Papa Tiya dan Duta, aku rasa kalau ditonjolkan lagi mesti menjadikan kisah ini lagi menarik. 

Sekarang baru aku faham kenapa Tiya cakap "Hey mind reader, I know you."  Kalau nak tahu, sila baca novel ini. Jawapannya memang ada disini.

8) Kabut karya Fitri Hussin
Sinopsis:
Tiga pembunuhan berprofil tinggi berlaku. Di daerah dan waktu berbeza. Mangsa dibunuh dengan amat kejam. Menggunakan alat dan seksaan-seksaan yang amat mengerikan. Dua kes awal menemui jalan buntu. Kes ketiga ditutup selepas suspek utama yang dianggap pembunuh ditemui mati lemas di dalam kejadian bot pancung karam. Selepas dua tahun, ketiga-tiga kes pembunuhan berprofil tinggi itu disiasat semula. Kini semua orang adalah suspek utama. 

Semuanya mempunyai motif untuk melakukan pembunuhan tersebut.  Juita mungkin membunuh demi Hanif dan hambatan pengkhianatan silam. Hanif mungkin membunuh demi cita-cita dan penghormatan. ASP Zaini mungkin membunuh demi pangkat dan trauma silam. Inspektor Rahmat mungkin membunuh demi meraih jawatan dengan usaha sendiri. Jadi siapa pembunuh sebenar? 

Ulasan: 
Dalam kisah ni, aku rasa takde main hero, cuma ada watak jahat yang mendominasi keseluruhan cerita. Kenapa aku cakap macam itu sebab pegawai penyiasat yang handle kes-kes bertukar ganti. Lebih menunjukkan bagaimana pasukan polis bekerjasama dalam menyiasat kes tersebut. 

Watak jahat pula menjadi watak utama yang mencorakkan jalan cerita. Dia berjaya mengawal dan memanipulasi orang-orang disekelilingnya. Dia kelihatan baik pada mata orang sedangkan dialah yang menyebabkan semua kacau bilau dan huru hara. 

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah perumpamaan yang sesuai dengan pengakhiran hidup Borhan. Hanif dan Juita menjadi mangsa keadaan. Kesian kat mereka. Borhan memang gila!

Jadi kalau korang suka kisah penyiasatan polis dan pembunuhan bersiri buku ini memang sesuai


9) Cempaka Melati karya Zahida Zarkasi
Sinopsis: 
Addin, cinta pertamanya datang bersama kisah lama. Zhariff, lelaki yang penuh misteri muncul membawa harapan baru. Sejarah hidupnya turut menjadi perhatian hingga membuatkan Cempaka terpaksa menjejaki rahsia keluarga yang selama ini disimpan rapi oleh arwah opahnya.  Cempaka berharap akan menemui jawapan namun sebaliknya makin banyak persoalan yang muncul hingga buat dia hampir berputus asa. Zhariff datang menghulur bantuan namun kemelut yang melanda makin membingungkan. Mampukah Cempaka menerima segala kebenaran yang terbongkar?

Ulasan: 

MISTERI. Perkataan yang tepat bagi menggambarkan novel ini. 

Kisah opah yang misteri dan penuh rahsia.
Kisah Lia yang penuh tanda tanya.
Kisah Mel yang tidak ada jawapan.
Kisah Zhariff yang muncul tiba-tiba.
Kisah Kerajaan Samudera Laut yang tak diplot pada peta.
Kisah Addin yang meroyan tak tentu hala.

Memang misteri. 

Lagi dibaca, lagi misteri. Penulis memang simpan jawapan sehingga titisan dakwat terakhir. 

Aku ingat kisah ada kaitan dengan ilmu hitam sebab cincin tu.

Aku ingat kisah ni pasal hantu atau roh sebab Zhariff selalu muncul tiba-tiba, tapi bila fikir balik dia guna telefon kot. 

Aku ingat ini kisah orang bunian sebab Lia macam hilang dari alam maya dan tak dapat dikesan. Lagipun misteri rumah tinggal yang tak berpenghuni tapi masih terjaga rapi memang mengundang tanda tanya.

Aku ingat dalam rumah tradisi tu ada lohong masa yang boleh berhubung dengan dunia lain.

Kesimpulannya bukan, rupanya cincin tu bukan ada ilmu hitam dan Lia bukan hilang dan Zhariff bukan bunian. 

Jadi, apa jadi dan siapa mereka ni? Sila baca untuk dapatkan jawapan

Cuma aku rasa, penutup tentang misteri Kerajaan Samudera Laut kurang teliti sikit untuk membuat pembaca percaya yang bagaimana hubungan mereka dengan dunia luar. Ini kerana ada diberitahu yang hanya bangsa mereka saja boleh ke sana. Hukuman yang perlu dihadapi oleh Zhariff juga tidak dijelaskan tapi hanya dinyatakan yang dia perlu dihukum untuk keluar dari sana. 

Apa yang terjadi pada Mel selepas kemalangan itu juga masih samar. Dia sebenarnya koma di hospital atau di rumah keluarga Zhariff? Kenapa Zhariff saja boleh nampak dia dan yang lain tidak? Aku harap ada penjelasan tentang misteri ni.

Jadi buku ini masih menyimpan misteri yang belum terungkai. Mungkin ada sambungan?

Bookworm Problem


Pernahkah anda mengalami situasi seperti di bawah?  Perlu membuat pilihan, masuk ke tak payah masuk? Beli ke tak payah beli? Best ke tak best? Bagi pinjam ke tak?

Ini semua masalah biasa yang dihadapi seorang yang meminati dan pencinta buku. Anda pernah mengalaminya? Jika ya, anda boleh dikategorikan sebagai seorang peminat buku.

1) Bila anda nampak kedai buku, kaki seakan ingin melangkah masuk, namun otak menghalang. What if, terbeli buku? Ada banyak lagi buku yang belum dibaca. Tapi, cuma nak masuk tengok buku saja, bukan nak beli pun. Akhirnya...(anda isi jawapan sendiri)



2) Bila anda baca ulasan buku - erm, menarik juga buku ni. Oh yang ini pun macam best saja. Ya, buku ini perlu dicari. Jadi kesimpulannya, buku mana yang anda pilih?




3) Bila nampak orang lain baca buku - cuba nak tengok tajuk buku, tapi ada kalanya disalah erti ingat nak tengok muka si pembaca.




4) Bila buku sudah dibeli - tidak dapat membuat keputusan buku mana yang harus dibaca dahulu.

5) Bila pergi kedai buku - niat di hati cuma ingin beli buku yang dah disenaraikan. Akhirnya, terbabas juga beli buku lain yang tiada dalam senarai.

6) Bila anda travel ke sesuatu tempat - rasa ingin bawa semua buku bersama, sayang untuk ditinggalkan.

7) Bila ada orang ingin pinjam buku anda - kalau tak bagi mungkin orang cakap kedekut, tapi kalau orang itu tidak menepati piawaian pandai menjaga buku, erm macam mana??

8) Bila mula membaca buku - susah betul nak berhenti, selalu cakap dalam hati "Just one more chapter."



9) Bila buku diadaptasi ke filem  - nak tengok filem dulu ke atau nak baca buku dulu?

10) Bila hari cuti tiba - kawan ajak keluar. Anda serba salah nak ikut atau duduk di rumah saja. Ya, kerana 48 jam itu sangat berharga untuk membaca buku.

11) Bila baca sesebuah buku - anda ingin tahu penamatnya, tapi pada masa yang sama tidak mahu kisah itu berakhir.

12) Bila orang bertanya buku apa yang best untuk dibaca - susah untuk berikan jawapan yang tepat bila anda ada banyak favorite book. 

13) Bila watak pujaan membuat pilihan yang salah - anda terpaksa bertenang dan cuba membuat beberapa andaian kenapa pilihan itu diambil. Mungkin ada twist yang akan berlaku. 

14) Bila drama atau filem ada scene library - mula berangan nak ada library yang sama kat rumah sendiri. 

15) Bila baca buku teringin nak pergi ke destinasi yang diceritakan. Banyak sangat tempat nak pergi, antaranya negara Balkan sebab baca novel Banja Manggala

Anda mengalami tak perkara-perkara di atas?



Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...