Monthly Wrap Up - June 2018


Bulan Jun telah berlalu, jadi mari kita lihat buku-buku yang telah berjaya dibaca sepanjang 30 hari tersebut. 9 buah buku telah dibaca dan berikut sedikit ulasan untuk tatapan anda semua.


1) Hikayat Budak PhD: Bukti Anak Melayu Cemerlang karya Dr. Syahr Musafir
Sinopsis:
Anak-anak muda Melayu Muslim kena faham. Menjadi cemerlang adalah hak kita yang kita kena capai. Usaha gigih kepada kegemilangan itu, jangan buat sambil lewa. Jiwa kena besar, terbang kena tinggi. Kalau kecemerlangan itu sebutir bintang, lompat dan terbanglah tinggi-tinggi. Biar bintang itu jadi milik kamu, bukan orang lain. Biar dunia buka mata melihat lompatan kamu, biar mereka bingkas bangun menghormati kejayaan kamu menggapai bintang. Boleh, kita boleh. Bukan phD biasa-biasa. Kita buat #PhDforUmmah. Ayuh kita tadah tangan berdoa agar Allah SWT tolong permudahkan cita-cita kita.

Ulasan: 
Buku ini bagus untuk mereka yang bercadang menyambung pelajaran ke peringkat PHD. Dr. Syahr menulis tentang proses yang dia lalui sepanjang 3 tahun menghabiskan PHDnya. Apa cabaran yang dilalui, apa yang dibuat dan sokongan keluarga. Boleh menjadi inspirasi kepada ramai orang diluar sana.

Buku ini terlalu nipis dan aku rasa banyak lagi kisah yang tidak dicoretkan. Mungkin boleh dikembangkan lagi kisah beliau. Buku ini hanya memberi gambaran awal kehidupan seorang pelajar PHD. 


2) My Name is Hasmah karya Tun Siti Hasmah Mohd Ali
Ulasan:
Buku yang menceritakan kisah perjalanan hidup Tun Dr. Siti Hasmah dari sudut seorang anak, kawan, doktor, isteri, ibu dan Malaysia first lady. 

Banyak yang dikongsikan di sini, kisah bagaimana beliau belajar selama 8 tahun sebelum berjaya menjadi doktor perubatan. Kisah bagaimana beliau mula mengenali suaminya Tun Mahathir. Cerita keluarga besarnya, keletah anak-anak dan cucu-cucunya. 

Kisah di mana beliau perlu membuat pilihan antara suami dan anak, antara keluarga dan urusan rasmi. Apa yang dipelajari dan apa yang mampu beliau ajari kepada masyarakat.

Ada juga diselitkan kisah-kisah lucu yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini. Ada kisah yang memberi inspirasi kepada kita. Ada nasihat berguna untuk semua.


3) Ungu Karmila karya Ramlee Awang Murshid
Ulasan:
Novel ini memaparkan sebuah kisah misteri tentang sebuah vila terletak di Cameron Highlands. VILA SUNYI itulah namanya. Sesunyi suasana di sekeliling, vila ini menyimpan seribu misteri yang belum mampu dirungkai oleh sesiapa pun.

Ungu Karmila menceritakan kisah dan tanggapan masyarakat luar tentang apa yang pernah terjadi di vila tersebut. Aku suka tulisan tuan RAM kerana karyanya ditulis dari banyak sudut pandangan. Beliau tidak menulis kisah yang hanya fokus kepada satu konflik sahaja atau kisah sebuah keluarga. Karya ini adalah kisah sebuah masyarakat.

Dalam nukilan ini ada kisah bekas banduan, ada kisah masyarakat orang asli, ada kisah budak jalanan dan ada kisah adik beradik Arif dan Arafat.

Dalam karya ini juga banyak ilmu yang kita dapat, seperti ilmu bioteknologi, kajian dan kacukan bunga serta kesan kepada manusia. Sakit mental, atau gangguan mental juga ada dijelaskan dalam novel ini.

Kisah Arif dan Karmila menjadi titik tolak kepada peristiwa ngeri yang terjadi di Vila Sunyi. Misteri yang cuba dirungkai oleh Ema dan Arafat. Ema mencari jawapan kepada kematian abangnya Jikon. Manakala Arafat percaya yang adiknya Arif bukan pembunuh.

Misteri ini menemukan semula Dino dan Bado yang dahulunya budak jalanan yang bermusuhan. Konflik semakin parah dan Vila Sunyi seperti telah dibangkitkan.


4) Haq II
Ulasan:
Kisah ini sambungan dari novelet Haq dalam Antologi Cinta Dia. Haq bertemu Alin secara tidak sengaja dalam satu keadaan yang tidak diduga. Alin menyelamatkan Haq yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Namun, Alin terperangkap. Dia telah diheret dalam konflik berdarah. Haq bagaimanapun  meninggalkannya Alin demi keselamatannya. 

Siapa sebenarnya Haq, sehingga ke akhirnya ia kekal misteri. Namun, ini kisah cinta thriller yang penuh debaran. Keberanian Alin yang cuba melawan agoraphobia dan Haq adalah kekuatan dia untuk melawan fobia itu. Demi Haq, dia sanggup keluar dari dunia gelapnya. 

Plot letupan di lapangan terbang begitu mendebarkan, seperti menonton satu movie thriller di pawangan. 

5) Tertulis Buat Kita
Ulasan:
Kisah cinta Jimmy dan Auni Sofina. Jimmy seorang komando tentera yang dalam tugasnya untuk mengumpul maklumat penting. Dia bertemu Auni seorang gadis yang bencikan tentera. Semuanya kerana apa yang telah terjadi kepada abangnya Jeffrey. 

Peristiwa demi peristiwa berlaku, Auni dan Jimmy akhirnya jatuh cinta dan membuat keputusan untuk berkahwin. Namun, hidup tidak selalunya indah, Auni nekad membunuh Jimmy bila dia tahu satu kebenaran yang amat  dia takuti. 

Ini sebuah kisah cinta yang penuh dengan debaran, tembakan peluru dan jika tidak berwaspada, salah satu peluru itu pasti menembusi mangsanya.

6) Mesej
Ulasan:

Time travel. Apa akan jadi jika kita diberi peluang untuk mengenali seseorang pada masa lampau @ masa akan datang. Kenapa novel ini menarik?

1) Aku suka bila penulis tidak terlalu menjelaskan heroin tu cantik sangat dan hero hensem giler. Aku rasa sebagai pembaca, biar kita imagine sendiri macam mana cun heroin tu dan macam mana hensem hero based on our own standard. Aria dan Jason aku sure tak sama dengan Aria dan Jason orang lain kan. 



2) Penulis berjaya hold tumpuan untuk baca buku ini dari bab pertama lagi. Bila tinggal sekejap buku, memang terpanggil-panggil untuk sambung baca.

3) Kisah ini bergerak laju, takde part yang melodrama sangat atau trying hard untuk panjangkan kisah mereka. Jalan cerita lancar.


Overrall, interesting novel, should read it and feel the fantasy. Don't think about logic because if you think, there is no more fun in this story.

7) Hello It's Me
Ulasan:

Kisah tentang konflik yang dihadapi oleh seorang penulis novel bernama Tiya. Novel ini bercerita dari sudut pandangan seorang penulis. 

Kadang kala kita lupa mereka juga manusia yang bergelut untuk menepati kehendak pasaran, kemahuan penerbit disamping mengekalkan prinsip sendiri. Bukan senang nak dapat ilham dan olah idea tersebut untuk menjadi sebuah novel. 

Jadi topik yang dipilih untuk novel ini sangat bagus, membuka mata orang luar tentang apa yang dihadapi oleh seorang penulis dan macam mana keadaan dalam industri.

Perbincangan Tiya dan mamanya tentang apa yang patut ditulis juga baik dan ada point penting disitu. Bila Tiya dan Shah berdebat tentang buku limited edition juga banyak perkara dijelaskan dari sudut penerbit dan impak kepada pembaca serta penulis.

Konflik cinta pula, dari awal memang dah nampak Duta menang. Tak ada tentangan langsung dari watak Azman.  Misteri SUV, Papa Tiya dan Duta, aku rasa kalau ditonjolkan lagi mesti menjadikan kisah ini lagi menarik. 

Sekarang baru aku faham kenapa Tiya cakap "Hey mind reader, I know you."  Kalau nak tahu, sila baca novel ini. Jawapannya memang ada disini.

8) Kabut karya Fitri Hussin
Sinopsis:
Tiga pembunuhan berprofil tinggi berlaku. Di daerah dan waktu berbeza. Mangsa dibunuh dengan amat kejam. Menggunakan alat dan seksaan-seksaan yang amat mengerikan. Dua kes awal menemui jalan buntu. Kes ketiga ditutup selepas suspek utama yang dianggap pembunuh ditemui mati lemas di dalam kejadian bot pancung karam. Selepas dua tahun, ketiga-tiga kes pembunuhan berprofil tinggi itu disiasat semula. Kini semua orang adalah suspek utama. 

Semuanya mempunyai motif untuk melakukan pembunuhan tersebut.  Juita mungkin membunuh demi Hanif dan hambatan pengkhianatan silam. Hanif mungkin membunuh demi cita-cita dan penghormatan. ASP Zaini mungkin membunuh demi pangkat dan trauma silam. Inspektor Rahmat mungkin membunuh demi meraih jawatan dengan usaha sendiri. Jadi siapa pembunuh sebenar? 

Ulasan: 
Dalam kisah ni, aku rasa takde main hero, cuma ada watak jahat yang mendominasi keseluruhan cerita. Kenapa aku cakap macam itu sebab pegawai penyiasat yang handle kes-kes bertukar ganti. Lebih menunjukkan bagaimana pasukan polis bekerjasama dalam menyiasat kes tersebut. 

Watak jahat pula menjadi watak utama yang mencorakkan jalan cerita. Dia berjaya mengawal dan memanipulasi orang-orang disekelilingnya. Dia kelihatan baik pada mata orang sedangkan dialah yang menyebabkan semua kacau bilau dan huru hara. 

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah perumpamaan yang sesuai dengan pengakhiran hidup Borhan. Hanif dan Juita menjadi mangsa keadaan. Kesian kat mereka. Borhan memang gila!

Jadi kalau korang suka kisah penyiasatan polis dan pembunuhan bersiri buku ini memang sesuai


9) Cempaka Melati karya Zahida Zarkasi
Sinopsis: 
Addin, cinta pertamanya datang bersama kisah lama. Zhariff, lelaki yang penuh misteri muncul membawa harapan baru. Sejarah hidupnya turut menjadi perhatian hingga membuatkan Cempaka terpaksa menjejaki rahsia keluarga yang selama ini disimpan rapi oleh arwah opahnya.  Cempaka berharap akan menemui jawapan namun sebaliknya makin banyak persoalan yang muncul hingga buat dia hampir berputus asa. Zhariff datang menghulur bantuan namun kemelut yang melanda makin membingungkan. Mampukah Cempaka menerima segala kebenaran yang terbongkar?

Ulasan: 

MISTERI. Perkataan yang tepat bagi menggambarkan novel ini. 

Kisah opah yang misteri dan penuh rahsia.
Kisah Lia yang penuh tanda tanya.
Kisah Mel yang tidak ada jawapan.
Kisah Zhariff yang muncul tiba-tiba.
Kisah Kerajaan Samudera Laut yang tak diplot pada peta.
Kisah Addin yang meroyan tak tentu hala.

Memang misteri. 

Lagi dibaca, lagi misteri. Penulis memang simpan jawapan sehingga titisan dakwat terakhir. 

Aku ingat kisah ada kaitan dengan ilmu hitam sebab cincin tu.

Aku ingat kisah ni pasal hantu atau roh sebab Zhariff selalu muncul tiba-tiba, tapi bila fikir balik dia guna telefon kot. 

Aku ingat ini kisah orang bunian sebab Lia macam hilang dari alam maya dan tak dapat dikesan. Lagipun misteri rumah tinggal yang tak berpenghuni tapi masih terjaga rapi memang mengundang tanda tanya.

Aku ingat dalam rumah tradisi tu ada lohong masa yang boleh berhubung dengan dunia lain.

Kesimpulannya bukan, rupanya cincin tu bukan ada ilmu hitam dan Lia bukan hilang dan Zhariff bukan bunian. 

Jadi, apa jadi dan siapa mereka ni? Sila baca untuk dapatkan jawapan

Cuma aku rasa, penutup tentang misteri Kerajaan Samudera Laut kurang teliti sikit untuk membuat pembaca percaya yang bagaimana hubungan mereka dengan dunia luar. Ini kerana ada diberitahu yang hanya bangsa mereka saja boleh ke sana. Hukuman yang perlu dihadapi oleh Zhariff juga tidak dijelaskan tapi hanya dinyatakan yang dia perlu dihukum untuk keluar dari sana. 

Apa yang terjadi pada Mel selepas kemalangan itu juga masih samar. Dia sebenarnya koma di hospital atau di rumah keluarga Zhariff? Kenapa Zhariff saja boleh nampak dia dan yang lain tidak? Aku harap ada penjelasan tentang misteri ni.

Jadi buku ini masih menyimpan misteri yang belum terungkai. Mungkin ada sambungan?

Comments

Popular posts from this blog

Senarai buku-buku menarik untuk dibaca tahun 2018

5 Novel Seram Melayu Wajib Baca.

5 novel action thriller melayu yang patut anda baca.