Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.





Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pilihan bila anda boleh mendapatkannya secara percuma. Jadi, kami ingin berkongsi dengan anda semua, aplikasi yang boleh anda muat turun untuk membaca e-book secara percuma.

1. Ookbee Buffet: All-You-Can-Read



Ookbee Buffer memberikan anda akses kepada dari lebih 2,000 bahan bacaan digital seperti surat khabar, majalah, novel dan buku daripada penerbit tempatan seperti Karangkraf, Dewan Bahasa dan Pustaka, Fixi, Gempak Starz, PTS. 

Apa yang anda perlu lakukan untuk mengakses bahan bacaan ini? Mudah saja, daftar sebagai ahli u-Pustaka. Tidak ada bayaran yang dikenakan. Sila lawati laman web Perpustakaan Negara Malaysia untuk maklumat lanjut.

Pelbagai bahan bacaan yang anda boleh akses melalui aplikasi Ookbee Buffer seperti majalah, novel, buku motivasi. Jadi muat turun sekarang dan mula membaca.





2. PNM eReader

Aplikasi ini membolehkan ahli berdaftar Perpustakaan Negara Malaysia meminjam buku secara digital. Pengguna boleh menyemak senarai buku yang dikehendaki dan status buku tersebut. Anda juga boleh menempah ('book') buku tersebut. Apabila buku dipulangkan oleh peminjam lain, sistem akan menghantar notifikasi kepada anda. 




3. Libby by OverDrive

Aplikasi Libby merupakan satu lagi pilihan untuk pembaca e-book. Anda boleh meminjam e-book dan baca secara atas talian. Anda juga boleh download dan bacanya tanpa perlukan sambungan kepada internet. Pilihan di tangan anda - ingin membaca e-book atau mendengar audiobook dengan aplikasi Libby.





Aplikasi-aplikasi ini memberikan anda cara mudah untuk membaca dan yang lebih penting ianya percuma. Muat turun sekarang dan mulakan bacaan anda. Hidup lebih mudah dan menyeronokkan! 

#Book Review 38: Projek Athena: Manusia Ciptaan. “Adakah saya… masih lagi manusia?”




Penulis: Syeraho
ISBN: 9789832423645
Tahun Terbit: 2019
Penerbit: Iman Publication


SINOPSIS

Athena – terhasil daripada projek penyelidikan khas untuk menghasilkan neo-manusia. Tujuannya untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. Namun disebalik kejayaan itu, Athena sebenarnya dihasilkan untuk tujuan ketenteraan. Bakal menjadi senjata yang paling berbahaya.

Mengetahui kebenaran itu, Dr. Aria nekad melarikan Athena dari makmal. Dia tidak mahu Athena disalahgunakan untuk tujuan yang jahat.

Adakah penciptaan Athena mendatangkan kebaikan atau kemudaratan?

ULASAN

Secara umumnya novel ini sebuah karya fantasi santai dan tidak terlalu berat untuk difahami oleh semua lapisan pembaca. Penulis berjaya menghasilkan satu kisah yang agak menarik dan mempelbagaikan lagi pilihan bahan bacaan di pasaran. Bahasa yang digunakan mudah dan senang untuk difahami. Penerangan tentang jenis senjata pada awal buku turut membantu pembaca untuk memahami kegunaan dan bayangan setiap alatan yang digunakan.

PLOT CERITA

Penulis berjaya membina plot cerita yang menarik dari mula hingga ke akhirnya. Sebagai pembaca, saya dapat mengikuti jalan cerita dan memahaminya dengan baik. Mungkin ada beberapa persoalan yang tidak terjawab setelah habis membaca buku ini, tapi penulis seperti telah memberikan clue, akan ada sambungan. Jadi pada pendapat saya, persoalan yang tidak terjawab itu tidaklah begitu mengganggu kerana ia bukan subjek utama kisah ini.

Projek Athena adalah sebuah kisah pada masa hadapan iaitu berlaku pada tahun 2095. Pendapat saya, terdapat beberapa elemen yang kurang sesuai dengan konsep masa hadapan. Antaranya, Dr. Aria mendengar lagu menggunakan MP3. Pada masa sekarang pun, telah banyak medium digital lain yang digunakan untuk mendengar muzik seperti Spotify, iTunes, SoundCloud. Jadi saya rasa penggunaan MP3 agak kurang relevant dalam kisah ini.

Senjata yang digunakan juga agak kurang menepati ciri-ciri masa hadapan. Athena selalu menggunakan pisau untuk menumpaskan lawannya. Ya betul kemahiran dan kelajuan Athena telah dipertingkatkan, tapi penggunaan pisau yang dibaling secara pantas tidak menampakkan kehebatan Athena. Mungkin pisau dan rifel yang digunakan boleh dipertingkatkan fungsinya.

Penulis harus diberikan pujian atas tulisan beliau untuk babak-babak pertempuran. Sebagai seorang wanita dan penulis baru, saya agak kagum dengan cara penceritaan babak pertempuran ini. Tahniah untuk penulis.

PERWATAKAN

Watak Dr. Aria agak kurang meninggalkan kesan kepada keseluruhan cerita. Berdasarkan jalan cerita, Dr. Aria merupakan orang yang mempengaruhi Athena. Dia yang banyak mengajar dan menjaga Athena sepanjang berada di dalam makmal. Namun, apabila kecelakaan menimpa Dr. Aria, wataknya seperti tidak memberikan impak kepada keseluruhan kisah ini. Watak itu hilang begitu sahaja.

Begitu juga dengan watak Athena. Karakter Athena tidak dicipta dengan teliti. Tidak ada gambaran secara menyeluruh tentang watak ini, apakah kekuatannya, apakah yang mengawal otaknya. Apa yang pembaca tahu hanya berdasarkan ujian-ujian yang dijalankan seperti kadar regenerasi yang pantas. Dari segi emosi, sebagai pembaca tidak dapat begitu merasai apa yang Athena rasa.

Watak Tuan Ezakiel yang jahat dan kejam juga agak kaku. Saya tidak dapat merasai kejahatan dan kekejaman Tuan Ezakiel. Sebagai pembaca, saya ingin merasa geram, marah dengan si jahat ini tapi tidak kesampaian. Watak antagonis dalam novel ini perlu diperkuatkan lagi untuk membantu watak utama lebih menyerlah.

KESIMPULAN

Naskah ini tidak rugi untuk dibaca. Percubaan penulis untuk menghasilkan karya sci-fic pada saya boleh diperbaiki lagi. Buku ini boleh pergi lebih jauh sekiranya beberapa elemen penting diperbaiki dan diperhalusi.

Untuk penulis, teruskan usaha anda dalam menghasilkan karya yang bermutu dan hebat. Diharapkan point-point di atas dapat membantu penulis dalam karya yang seterusnya.

Tahniah!


100 tajuk buku dan novel sempena Hari Kemerdekaan



1. Putera Gunung Tahan karya Pak Sako (1938)
2. Anak Mat Lela Gila karya Pak Sako (1941)
3. Melati Kota Bharu karya Abdul Kadir Adabi (1941)
4. Nyawa di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasaruddin (1946)
5. Pahlawan Rimba Malaya karya Keris Mas (1946)
6. Barisan Zubaidah karya Hamdam (1949)
7. Ustazah karya Ahmad Lutfi (1950)
8. Budak Beca karya Ishak Haji Muhammad (1957)
9. Panglima Awang karya Harun Aminurrashid (1958)
10. Anak Panglima Awang karya Harun Aminurrashid (1962)

11. Patah Sayap Terbang Jua karya A Samad Ismail (1966)
12. Tulang-tulang Berserakan karya Usman Awang (1966)
13. Sungai Mengalir Lesu karya A Samad Said (1967)
14. Tembok Tidak Tinggi karya A Samad Ismail (1967)
15. Interlok karya Abdullah Hussain (1971)
16. Pulanglah Perantau karya Aziz Jahpin (1971)
17. Sandera karya Arena Wati (1971)
18. Sayang Ustazah Sayang karya Salmi Manja (1974)
19. Ombak Bukan Biru karya Fatimah Busu (1977)
20. Di Hadapan Pulau karya A Samad Said (1978)

21. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan (1979)
22. Warisan karya Abdul Talib Mohd Hassan (1979)
23. Korban Keretapi Maut karya Hashim Yop (1980)
24. Lepaskan Aku Kembali Ke Laut Jilid 1, 2 dan 3 karya Shaari Isa (1981)
25. Bukit Kepong karya Ismail Johari (1982)
26. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas (1982)
27. Perjuangan orang Melayu menentang penjajahan - Buyong Adil (1983)
28. Jatuhnya Kubu Terakhir di Jerampai karya Arman Sani (1985)
29. Bumi Merdeka karya Talib Samat (1987)
30. Hujan Pagi karya A Samad Said (1987)

31. Kanang Cerita Seorang Pahlawan karya Maznan Noordin (1988)
32. Rimba Harapan karya Keris Mas (1988)
33. Sakura Mengorak Kelopak karya Arena Wati (1988)
34. Projek 238 karya H Amir (1989)
35. Hujan Debu karya Rosmini Shaari (1991)
36. Panglima Salleh Selempang Merah karya Zaharah Nawawi (1991)
37. Pemberontakan karya Jong Chian Lai (1994)
38. Anugerah karya Zaharah Nawawi (1995)
39. Nagogho Astana karya S Othman Kelantan (1997)
40. Bumi Merdeka karya Talib Samat (1997)

41. Anak merdeka - Atondra (1998)
42.Aksara Merdeka: antologi puisi untuk teks sayembara deklamasi puisi bulan kemerdekaan  (2000)
43. Bukan Legasi Lalang karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2001)
44. Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah (2001)
45. ADAM : Aku Darah Anak Malaysia karya Ramlee Awang Murshid (2001)
46. Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan (2001)
47. Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik karya Said Zahari (2001)
48. 1515 karya Faisal Tehrani (2003)
49. Orang Kota Bharu karya S Othman Kelantan (2003)
50. Demi kemerdekaan: sebuah kompilasi karya terpilih pelajar sempena peraduan mengarang puisi dan esei kemerdekaan (2003)



51. Memoir Ahmad Boestaman: merdeka dengan darah dalam api - Ahmad Boestaman(2004)
52. Jamung merdeka (2005)
53. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan karya Mohamed Salleh Lamry (2006)
54. Liku-liku menuju kemerdekaan - Mohd. Zahari Ishak (2006)
55. Rentetan perjuangan bangsa (2006)
56. Juara karya S. Othman Kelantan (2007)
57. Turunnya Sebuah Bendera  karya Usman Awang  (2007)
58. Fajar di Bumi Permata - Talib Samat (2007)
59. Tenang dalam gelora - Talib Samat (2007)
60. Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah (2007)

61. Mahabbah karya Shahnon Ahmad (2007)
62. Panggil Aku Melaju karya Rahmat Haroun (2008)
63. Warisnya Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2008)
64. Platun Harimau: Dalam Misi Hutang Darah Dibayar Darah karya Mohd Radzi Abdul Hamid (2009)
65. Gerila karya Lukman Iskandar (2009)
66. Merpati Putih Terbang Lagi karya Khadijah Hashim (2011)
67. Malaysia Milik Kita karya Nor Azida Ishak (2011)
68. Aci Patmabi karya Azmi Merican (2012)
69. Alor Miang karya Ali Jusoh (2012)
70. Aroma Bunting Padi karya Arena Wati (2012)

71. Penyeberang Sempadan karya Anwar Rihdwan (2012)
72. Platun Harimau Dalam Misi II Hingga Ke Lubang Cacing karya Mohd Radzi Abd Hamid (2012)
73. Tak Seindah Impian karya Rahman Haji Yusoff (2012)
74. Dokumen 136 karya Syafiq Ali'am (2013)
75. Cerita Perang Bariga karya Ruhaini Matdarin (2013)
76. Episod Cinta di Tanah Hijrah karya Amaruszati Noor Rahim (2013)
77. Qalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2013)
78. Tawarikh Ibu karya Razali Endun (2013)
79. Amuk Si Anak Zapin karya Ali Jusoh (2014)
80. Luka Nering karya Malim Ghozali Pk (2014)

81. Semenanjung Menangis karya Ariff Mohamad (2014)
82. Ah Fook karya Jong Chian Lai (2015)
83. Bukan Orangorang karya Hafizah Iszahanid (2015)
84. Kudup Hijau Tropika karya Husna Nazri (2015)
85. Leksikon Ledang karya Nor Azida Ishak dan Fadli Al Akiti (2015)
86. Pahlawan Adnan karya Zailiani Taslim (2015)
87. Kitab Tamadun Melayu karya Kumpulan Penulis The Patriots  (2015)
88. Kininaru karya Amelia Hashim (2015)
89. Sayang Sarawak karya Idris Boi (2015)

91. Sebalik Yamashita dan Percival karya Shaari Isa (2015)
92. Kitab Lama - Sha Hanim Ramli (2015)
93. Kesultanan Melayu Melaka karya Muhammad Yusoff Hashim (2015)
94. Konfesi Prebet Adam karya Syahril A. Kadir (2016)
95. Kerana Cinta Aku Derhaka karya Syed Azharul Asriq (2017)
96. Ustazah Zaman Dulu-Dulu karya Maisarah Mohd Pauzi (2018)
97. Aku Seorang Patriot karya Aenid Abdullah (2018)
98. Tokoh Agung Melayu karya Helmi Effendy (Goodreads Author),  Moustapha Abbas, Raja Ariff Danial (2019)
99. Sembilan karya Zulkifli Dato' Hj. Tahir (2019)
100. Jangan Selewengkan Sejarah Melayu karya Helmi Effendy (2019)

sumber: katalog buku PNM, berita harian, kawahbuku, PTS Publication

7 sebab untuk anda berkunjung ke Pustaka Raja Tun Uda bersama keluarga.



Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Pustaka Raja Tun Uda terletak di Seksyen 13, Shah Alam Selangor.  Lokasi berhampiran dengan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah. Terdapat bermacam-macam kemudahan yang disediakan di sini seperti kafeteria, surau, parking, gimnasium dan ruang diskusi.

Waktu Perkhidmatan:
Isnin : 10 pagi hingga 7 malam
Selasa  - Jumaat: 9.30 pagi hingga 7 malam
Sabtu - Ahad: 9.30 pagi hingga 9 malam (kecuali Zon Kreatif, tutup pada pukul 7 malam)

Ditutup pada cuti umum


1) Ruang kreativi untuk kanak-kanak, bermain sambil membaca.

Reading Tree

Pustaka Raja Tun Uda menyediakan satu zon khas untuk anda membawa anak-anak melalui pengalaman membaca yang menyeronokkan. Zon Kreatif ini terletak di tingkat G dikhaskan untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Suasana yang ceria dan berwarna-warni pasti membangkitkan keseronokan  mereka. Terdapat pelbagai jenis buku yang boleh dibaca oleh anak anda di ruang ini. Sebatang pokok besar "Reading Tree" menjadi tarikan utama ruang ini, ibarat membaca di taman, pasti menyeronokkan!



2) Membaca buku di tepi tasik yang mendamaikan.


Di tingkat 2 dan 3 pula, disediakan bahan-bahan bacaan dan rujukan untuk golongan dewasa. Pelbagai jenis buku ilmiah, novel, koleksi umum, majalah ada di sini. Anda boleh mencari bahan yang diperlukan mengikut susunan rak yang telah dilabelkan. Anda juga boleh menggunakan komputer yang disediakan untuk mengetahui kedudukan buku yang dicari. Kemudian, terus sahaja ke rak yang dinyatakan. 

Di tingkat ini juga, terdapat kerusi-kerusi yang disusun menghadap ke luar. Anda dapat melihat pemandangan tasik menghijau sambil membaca buku. Santai sekali bukan! Nikmatnya membaca dalam suasana yang sunyi, tenang dan mendamaikan. 

3) Aktiviti Kerohanian - Rumah@Ngaji


Rumah Ngaji@PPAS terletak di tingkat 2 yang merupakan satu initiatif oleh pihak Karangkraf, Warisan Ummah Ikhlas dan Akademi Sinergi Ikhlas. Di ruang ini disediakan pelbagai jenis Al-Quran termasuk Al-Quran terjemahan dan digital untuk pengunjung PPAS. 

Antara Al-Quran yang terdapat di Rumah Ngaji@PPAS:
Al-Quran Al-Karim : Ar-Raudhah : 319 Tafsir Mengikut Tema : Istimewa untuk Muslimah
Al-Quran Al-Karim : Amazing : 33 Panduan Al-Quran Untuk Hidup Anda
Al-Quran Al-Karim : Al Haramain : Terjemahan & Tajwid Berwarna
Al-Quran Al-Karim : Terjemahan & Tajwid Berwarna : Multazam : Al-Quran Tafsir Bil Hadis
Al-Quran Kareem – Mushaf Resam Uthmani Dengan Tajwid Berwarna (Size A5)
Al-Quran Al-Karim: Mushaf Resam Uthmani dengan Tajwid Berwarna
Al Quran Kareem – Ar Raudhah

4) Teater 3D

Jangan tak tahu, ada teater 3D di Pustaka Raja Tun Uda. Menarikkan! Apa yang lebih mengujakan, anda hanya perlu bayar RM7 sahaja. Murah dari harga tiket di panggung wayang. Anda boleh menonton filem animasi terpilih bersama ahli keluarga di sini. 

5) Teater XD/6D

Apa itu teater XD? Teater XD juga dikenali sebagai teater 6D yang menggabungkan kesan khas pencahayaan, kesan angin, kesan bunyi, gegeran kerusi serta visual 3D. Ya, satu pengalaman yang hebat untuk dirasai sendiri. Teater XD ini merupakan satu konsep edutainment yang diperkenalkan di perpustakaan Raja Tun Uda. 

Ada 4 pilihan filem pendek, anda boleh lihat jadual tayangan di sini

Teater XD dibuka setiap hari kecuali pada cuti umum. Bayaran RM10 dikenakan untuk seorang. 

Kawasan yang luas, banyak meja dan kerusi disediakan untuk pengunjung


6) Ruang untuk remaja

Tingkat 1 di Pustaka Raja Tun Uda menyediakan bahan bacaan untuk golongan remaja yang berumur 13 hingga 19 tahun. Antara bahan-bahan yang ada disini ialah koleksi novel-novel fiksyen dan non-fiksyen seperti buku rujukan untuk peperiksaan, buku motivasi, ensiklopedia. 

7) Seminar


Terdapat juga banyak seminar yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dengan kerjasama Pustaka Raja Tun Uda. Ketika kami pergi ke sini, ada seminar akaun, kelas mandarin, seminar applikasi OKBee dan macam-macam lagi.





Jadi Pustaka Raja Tun Uda merupakan pilihan yang tepat untuk meluangkan masa bersama keluarga. Aktiviti yang ada sesuai untuk semua peringkat umur - kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Pastinya masa yang diluangkan di sini menjadi lebih bermanfaat, sambil berhibur, anda juga dapat mencari ilmu.

Suasana yang mendamaikan, jauh dari kebisingan kota raya. Kemudahan yang disediakan juga cukup memberikan keselesaan. Sekiranya perut lapar, anda boleh ke kafeteria, untuk bersolat anda boleh ke surau yang disediakan dan jangan lupa pusat gym yang terletak di tingkat bawah. Jika sudah penat membaca, anda boleh berjalan-jalan di tepi tasik. 

Kunjungi PPAS Pustaka Raja Tun Uda  dan rasai pengalaman yang menyeronokkan ini bersama keluarga.



Book Review #37: Selendang Merah Balukhali - kisah pelarian Rohingya.




Penulis: Sri Rahayu Mohd Yusop
ISBN: 9789833514656
Tahun Terbit: 2019
Terbitan: Tintarona Publication

Sinopsis

‘SELENDANG MERAH BALUKHALI’ menceritakan tentang perjalanan seorang pendatang tanpa izin yang berasal dari Rakhine, Myanmar bernama Omar mencari ahli keluarganya di kem pelarian Balukhali di Cox’s Bazar, Bangladesh setelah 3 tahun dia bekerja secara haram di Malaysia. Omar akhirnya bertemu semula dengan adik perempuannya Sherezad di Balukhali. 

Namun begitu, Omar dan Sherezad kehilangan ibu dan bapa mereka yang terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Tula Toli, Maungdaw. Akibat kebakaran yang hampir meragut nyawanya itu, Sherezad telah menjadi buta. Selama Sherezad sebatang kara di kem pelarian Balukhali , dia telah dijaga oleh seorang staf pelatih UNHCR dari Malaysia yang bernama Lo Yu Ting. 

Apabila Omar dan Sherezad bertemu semula, Lo Yu Ting telah melepaskan penjagaan budak perempuan itu kepada Omar.


Ulasan

Pelbagai cabaran dan rintangan yang terpaksa Omar lalui untuk pulang semula ke negara asalnya. Dia ditipu oleh tekong bot yang meminta bayaran tambahan. Demi keluarganya, Omar tekad juga untuk pulang.

Isu pelarian Rohingya adalah isu sejagat. Mereka ditindas, dihalau dan paling teruk mereka dibunuh tanpa belas kasihan. Kisah Omar merupakan cebisan kisah kesengsaraan mereka. Tanpa bantuan yang mencukupi, mereka terpaksa bertahan dengan apa yang ada. Berebut demi mengisi perut anak-anak kecil. Ramai yang mati sama ada kerana kekurangan zat ataupun sakit yang tidak dapat dirawat.

Ini adalah sebuah kisah kemanusiaan. Omar yang begitu naif. Dia hanya memikirkan bagaimana untuk bertemu semula dengan keluarganya. Bila dia berjaya bertemu adiknya Sherezad, fokusnya beralih untuk keluar dari kem pelarian ini bersama adiknya. Dia inginkan hidup yang lebih baik dan mendapatkan rawatan untuk adiknya yang buta. 

Kem pelarian ini bukanlah tempat yang selesa. Dihuni hampir 600,000 ribu orang pelarian. Tidak dapat digambarkan keadaan yang kucar kacir dan serba daif. 

Watak Lo Yu Ting, seorang sukarelawan dari Malaysia. Dia cuba berusaha untuk membantu adik Omar. Namun terlalu banyak kes lain yang lebih kritikal. Matlamat kem ini adalah untuk memastikan kelangsungan hidup pelarian yang ada di sini. 

Apa yang dia pernah lalui sebelum ini, menjadi sukarelawan untuk mangsa banjir, mengagihkan bungkusan makanan kepada gelandangan adalah sangat berbeza dengan menguruskan sebuah kem pelarian. Balukhali adalah kem pelarian paling besar pernah wujud dalam sejarah. 

Kesengsaraan yang dicoretkan dalam naskah ini amat pedih. Pembaca naskah ini bakal menitiskan air mata kerana berkongsi penderitaan mereka. Kem ini serba kekurangan dan tidak mampu menampung jumlah pelarian yang terlalu ramai. Mereka kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan tenaga kerja. Pelarian seperti Omar perlu berusaha untuk kelangsungan hidup. 

Sebuah naskah yang perlu dibaca dan dihayati. Walaupun kisah ini pendek, namun apa yang ingin dipaparkan sangat berkesan di hati. Semoga mendapat manfaat. 

Novel ini merupakan pemenang Hadiah Utama kategori remaja untuk Hadiah Sastera 2017

Puan Sri Rahayu memberikan tandatangan pada buku ini.



Ingin jatuh cinta? 6 buah buku ini bisa buat anda mengalaminya.



CINTA - umpama satu kuasa yang ada di mana-mana. Cinta kepada Allah, cinta fitrah sesama manusia, cinta kepada keluarga dan masyarakat. Setiap dari kita pasti pernah merasainya, rasa cinta, kasih dan sayang ini tidak akan pernah luput dari jiwa seorang manusia. 

Novel cinta salah satu genre yang banyak di pasaran seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Lambakan novel cinta menyebabkan ramai pembaca merasakan genre ini sudah tepu dan jalan ceritanya yang klise. 

Jadi kami ingin berikan anda 6 buah novel cinta yang luar dari kebiasaan. Bisa membuat anda jatuh cinta sekali lagi. 



Sunan Cinta Nan Sakti
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2015
Penerbit: Alaf21

Buku ke-8 dalam siri epik SUNAN.  Kisah cinta Saifuddin dan Ratna Sang Ratu Sulaman dalam kancah peperangan dan permusuhan. 


Wali Sufi menegah cinta itu kerana cinta kepada Pencipta diutamakan, lalu cinta fitrah suci bakal dikurniakan.

Maharani melarang cinta Sang Ratu kerana ia bakal melemahkan semangat srikandi seorang pejuang.

"Sebagai manusia...aku sayang padamu." - Laksamana Sunan

"Akan aku pastikan kuburanmu tidak bertanda. Akan kupastikan kematianmu tidak diratapi... apatah lagi untuk dikenang. Seluruh marga negerimu akan kuseksa. Kujadikan negerimu sebuah neraka dunia!” - Ratna Sang Ratu Sulaman.

Dalam kancah peperangan dan permusuhan yang sedang rancak bergolak, maka...

Di sinilah... lahirnya seorang legenda.Di sini jugalah zahirnya sebuah cinta.

Siapa yang bakal belasungkawa? Pencinta atau yang dicintai?



Cik Yah dan Encik Lias
Penulis: Airisz
Tahun Terbit: 2019
Penerbit: Karya Seni

Kisah Yah yang duduk dikampung mengusahakan perniagaan ikan pekasam. Selalu dipandang hina dan busuk oleh orang sekeliling dan adik beradiknya sendiri. Namun, dia tidak patah semangat. Yah menjadikan hinaan itu sebagai pembakar semangat. Biar satu hari nanti, mereka sedar busuk ikan pekasam itu akan jadi wangi bila menjadi duit. 

Lias seorang pemuda kampung yang hanya bekerja di kolam ikan. Dengan motor cabuknya dia ke hulu ke hilir mencari rezeki. Orang kampung dengan mudah memanggilnya pemalas kerana mereka tidak nampak usaha dan penat lelahnya menternak ikan. 

Kau tahu kan Lias tu tak ada kerja tetap? Dia tu tak ada masa depan. Dengan lelaki tak guna tu kau nak kahwin?” - Along

Tak ada lelaki lain ke nak buat suami? Apa Lias yang boleh berikan pada kau? Kerja kampung macam tu tak menjamin masa depan langsung!” - Wan


Cinta mereka mungkin kebetulan, mungkin tidak semanis kisah cinta yang lain. Namun, kisah cinta mereka bersama perjuangan membuka mata orang sekeliling supaya tidak memandang hina kepada usaha yang mereka lakukan. Tanpa pelajaran yang tinggi, mereka berusaha untuk berjaya. Dengan kecaman dari orang sekeliling, mereka buktikan yang mereka boleh berjaya.




Pulang
Penulis: Lily Haslina Nasir
Tahun Terbit: 2018
Penerbit: Karya Seni

Che Thom dan Othman bertemu dan bercinta. Tuntutan hidup memisahkan mereka bila Othman belayar menjadi kelasi kapal untuk mencari nafkah buat keluarga mereka. Janji Othman sentiasa diingati Che Thom.

"Aku janji Thom, aku pulang. Aku janji aku balik semula ke Serkam. Aku tak ada harta di sini. Izinkan aku belayar keliling dunia, Aku buat semua ini untuk kau, Thom. Aku janji aku kirim berita untuk kau." - Othman

Penantian itu sesungguhnya satu penyiksaan. Penantian Che Thom yang tiada penghujung dan kesudahannya. Mampukah cinta mereka dipertahankan? Adakah bahagia masih milik mereka? Lupakan Othman pada janji yang pernah dilafazkan. PULANG, sebuah naskah yang memaparkan kisah cinta yang tidak diduga.




Jaja & Din
Penulis: Noor Suraya
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Jemari Seni

Cinta pandang pertama, adakah wujud di alam nyata? Jaja tidak menyangka sebuah gambar telah buat dia jatuh cinta. Dia nekad mencari empunya diri berdasarkan maklumat yang diperolehi dari juru gambar yang terbabit. Jalan lama itu ditelusuri sambil berdoa kepada Allah agar dia dipertemukan dengan tuan punya diri.

Inilah cerita Jaja
yang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala ‘zuhud’ macam Din nanti?

Jaja yang berubah 360 darjah demi cintanya kepada Din.

Din yang cuba menerima Jaja dalam kehidupannya.

Semuanya tak seindah yang diimpikan. Kehidupan Din dan Jaja yang berbeza. Impian dan cita-cita Din yang ingin berjihad di jalan Allah. Dapatkah Jaja menerima semuanya? Tegarkah Jaja menunggu Din  untuk pulang semula kepangkuannya? 




Tak ada cinta sepertimu
Penulis: Anna Milia
Tahun Terbit: 2017
Penerbit: Fajar Pakeer

Kisah kehidupan Athea yang penuh cabaran dan dugaan. Segala kebaikannya disalah erti, Hazran merasakan kehadiran Athea menjadi punca dia putus tunang. Tuduhan berat yang dilemparkan Hazran kepada Athea menyebabkan Athea nekad tidak lagi wujud dalam hidup Hazran. 

Athea meneruskan kehidupan seperti biasa hingga dia bertemu semula dengan Azam. Athea seperti mendapat nafas baru dalam hidupnya. Azam dirasakan lelaki yang bakal memahami dan menghargai dirinya. Kehadiran Azam sedikit sebanyak menyedarkan Hazran akan perasaan sebenarnya kepada Athea. Dan Azam...bukan lelaki seperti yang Athea idamkan.

Namun, kisah cinta mereka terus dihujani dengan konflik. Ayah Athea yang jatuh sakit, Azam yang mementingkan diri sendiri dan ibu Hazran yang menentang pilihan hati anaknya.

Cabaran dan dugaan, mampukah Athea harunginya? Adakah kebahagiaan bakal jadi milik mereka?


Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Tahun Terbit: 2008
Penerbit: PTS Milllenia

Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

KISAH cinta memang enak dibaca. Namun tidak banyak kisah cinta yang dinovelkan menyuguh batas-batas cinta menurut Islam apalagi menyuntik wacana pemikiran yang seharusnya menjadi bekal sekaligus memperkaya jiwa pembaca. Lantas Salju Sakinah cuba menawarkan apa yang jarang-jarang ditawarkan selama ini.

Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

Meskipun Salju Sakinah menjadikan wanita sebagai watak utama dan mengambil dua latar tempat yang jauh berbeza iaitu Jordan dan Malaysia, novel ini dengan sengaja mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Timur Tengah selain konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat.



Book Review #36: Berbaloikah membaca "Kunang Pesisir Morten"?




Penulis: Raiha Bahaudin
ISBN: 9789670723211
Tahun Terbit: 2015
Terbitan: Dubook Press


SINOPSIS

Kampung Morten 1984. Dengan sebatang sungai kotor bukan saja dipenuhi dengan sampah sarap dan ketam lumpur Uca Annulipes. Juga telah menjadi garis ghaib pemisah dua komuniti bangsa selama berdekad-dekad. Sehinggalah keajaiban berlaku dengan kehadiran seorang budak perempuan sembilan tahun comotnya ya ampun berambut gerbang.

Dhiya; seorang pemikir visual genius bersama-sama sahabatnya Adi dan Lim meneroka kota Melaka, menjadi usahawan kecil, menerokai dunia lukisan Monet juga menjejak pencuri berkaki ghaib. Dan tanpa mereka sedari, sedikit demi sedikit perkara- perkara kecil yang mereka lakukan telah menaut jurang tebing antara dua bangsa.

ULASAN

Ya, sebuah naskah yang berbaloi untuk dibaca. Dunia dari kacamata seorang kanak-kanak bernama Dhiya. Lain dari apa yang kita bayangkan. Dhiya melihat dengan mata hati. Dia bukan sekadar melihat tapi berfikir untuk mencari penyelesaian. Dhiya yang sukar dijangka, Dhiya yang comot namun berjiwa besar. Adi menggelarkan Dhiya “perempuan gila” kerana fikirannya yang diluar jangkaan. Ibunya seorang tukang jahit sentiasa membantu Dhiya menjadi dirinya sendiri.

Kisah ini sebuah cerita kanak-kanak yang lain dari biasa. Bagi mereka yang lahir dan hidup pada zaman 80’an, kisah ini pasti dekat di hati. Suasana ketika itu, pembangunan ketika itu, isu ketika itu. Novel ini seperti imbauan kenangan terhadap apa yang pernah kita lalui satu masa dahulu.

“Nilai warna ada pada diri lu sendiri. Pelaburan yang baik akan beri hasil yang baik juga.” Uncle Chong


PLOT CERITA

Plot cerita disusun dengan kemas dan cantik sekali. Dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain. Perkenalan Dhiya, Adi dan Lim bakal membawa perubahan besar kepada penduduk Kampung Morten. Persahabatan mereka bermula kerana mencari jawapan kepada kes kematian seorang kanak-kanak di Sungai Melaka.

Sejak peristiwa itu, mereka mula berkawan. Lim membuka jalan untuk Dhiya meneroka dunia baru, mengenali seni Opera Cina, menelusuri jalan-jalan di sekitarnya sehingga ke Kampung Jawa. Kemudian, misteri kehilangan beberapa barang bersejarah, telah menguji persahabatan mereka. Usaha Dhiya dalam mencari kebenaran demi seorang kawan begitu mengagumkan. Tidak lupa kisah cinta monyet Adi dan Sherina, si bidadari nirwana.

Kisah mereka cukup rencah bagi kehidupan seorang kanak-kanak. Ada masa gembira, ada ketika mereka nakal, ada masa mereka bermain gembira dan ada kalanya mereka berduka kerana orang dewasa yang tidak memahami.

"Kami membawa muqaddam, rehal dan sejadah; tetapi apabila budak-budak lain menghala ke kanan ke arah surau, kami mengambil jalan ke kiri, ke arah jambatan. Jika kau perasan, ayat tadi dengan sendirinya telah membawa makna muqamad dan mutasyabihat. Betapa kami telah tersesat." - Kunang Pesisir Morten

GAYA BAHASA

Gaya bahasa yang digunakan penulis mudah untuk difahami, tidak terlalu sastera dan juga tidak terlalu santai. Sesuai dengan kisah yang ingin diceritakan. Kita dapat merasai kegembiraan, kelucuan dan kepedihan yang ingin disampaikan.

Penulis berjaya memerangkap pembaca untuk berada pada tahun 1984. Setiap perincian ditulis dengan teliti. Membaca buku ini seperti aku sendiri berada di Kampung Morten, bermain, berlari bersama-sama Dhiya dan Lim. Aku lah Adi dalam buku ini yang sentiasa mengikut ke mana saja Dhiya pergi. Sama-sama meneroka setiap pelusuk kampung ini.

PENGAJARAN

Setelah tamat membaca naskah ini, banyak pengajaran yang dapat kita kutip. Usaha tangga kejayaan, seperti Dhiya yang tidak putus asa untuk mencapai impiannya. Semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Dhiya, Lim dan Adi amat membanggakan. Walaupun berlainan bangsa, mereka tetap berkawan baik, saling hormat menghormati dan saling membantu.

Sebuah naskah yang patut dibaca oleh semua golongan. Penulis telah berjaya menerapkan unsur kemasyarakatan, unsur perpaduan dan semangat patriotik dalam novel ini.


Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...