Book Review #37: Selendang Merah Balukhali - kisah pelarian Rohingya.




Penulis: Sri Rahayu Mohd Yusop
ISBN: 9789833514656
Tahun Terbit: 2019
Terbitan: Tintarona Publication

Sinopsis

‘SELENDANG MERAH BALUKHALI’ menceritakan tentang perjalanan seorang pendatang tanpa izin yang berasal dari Rakhine, Myanmar bernama Omar mencari ahli keluarganya di kem pelarian Balukhali di Cox’s Bazar, Bangladesh setelah 3 tahun dia bekerja secara haram di Malaysia. Omar akhirnya bertemu semula dengan adik perempuannya Sherezad di Balukhali. 

Namun begitu, Omar dan Sherezad kehilangan ibu dan bapa mereka yang terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Tula Toli, Maungdaw. Akibat kebakaran yang hampir meragut nyawanya itu, Sherezad telah menjadi buta. Selama Sherezad sebatang kara di kem pelarian Balukhali , dia telah dijaga oleh seorang staf pelatih UNHCR dari Malaysia yang bernama Lo Yu Ting. 

Apabila Omar dan Sherezad bertemu semula, Lo Yu Ting telah melepaskan penjagaan budak perempuan itu kepada Omar.


Ulasan

Pelbagai cabaran dan rintangan yang terpaksa Omar lalui untuk pulang semula ke negara asalnya. Dia ditipu oleh tekong bot yang meminta bayaran tambahan. Demi keluarganya, Omar tekad juga untuk pulang.

Isu pelarian Rohingya adalah isu sejagat. Mereka ditindas, dihalau dan paling teruk mereka dibunuh tanpa belas kasihan. Kisah Omar merupakan cebisan kisah kesengsaraan mereka. Tanpa bantuan yang mencukupi, mereka terpaksa bertahan dengan apa yang ada. Berebut demi mengisi perut anak-anak kecil. Ramai yang mati sama ada kerana kekurangan zat ataupun sakit yang tidak dapat dirawat.

Ini adalah sebuah kisah kemanusiaan. Omar yang begitu naif. Dia hanya memikirkan bagaimana untuk bertemu semula dengan keluarganya. Bila dia berjaya bertemu adiknya Sherezad, fokusnya beralih untuk keluar dari kem pelarian ini bersama adiknya. Dia inginkan hidup yang lebih baik dan mendapatkan rawatan untuk adiknya yang buta. 

Kem pelarian ini bukanlah tempat yang selesa. Dihuni hampir 600,000 ribu orang pelarian. Tidak dapat digambarkan keadaan yang kucar kacir dan serba daif. 

Watak Lo Yu Ting, seorang sukarelawan dari Malaysia. Dia cuba berusaha untuk membantu adik Omar. Namun terlalu banyak kes lain yang lebih kritikal. Matlamat kem ini adalah untuk memastikan kelangsungan hidup pelarian yang ada di sini. 

Apa yang dia pernah lalui sebelum ini, menjadi sukarelawan untuk mangsa banjir, mengagihkan bungkusan makanan kepada gelandangan adalah sangat berbeza dengan menguruskan sebuah kem pelarian. Balukhali adalah kem pelarian paling besar pernah wujud dalam sejarah. 

Kesengsaraan yang dicoretkan dalam naskah ini amat pedih. Pembaca naskah ini bakal menitiskan air mata kerana berkongsi penderitaan mereka. Kem ini serba kekurangan dan tidak mampu menampung jumlah pelarian yang terlalu ramai. Mereka kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan tenaga kerja. Pelarian seperti Omar perlu berusaha untuk kelangsungan hidup. 

Sebuah naskah yang perlu dibaca dan dihayati. Walaupun kisah ini pendek, namun apa yang ingin dipaparkan sangat berkesan di hati. Semoga mendapat manfaat. 

Novel ini merupakan pemenang Hadiah Utama kategori remaja untuk Hadiah Sastera 2017

Puan Sri Rahayu memberikan tandatangan pada buku ini.



No comments:

Post a Comment

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...