#Book Review 38: Projek Athena: Manusia Ciptaan. “Adakah saya… masih lagi manusia?”




Penulis: Syeraho
ISBN: 9789832423645
Tahun Terbit: 2019
Penerbit: Iman Publication


SINOPSIS

Athena – terhasil daripada projek penyelidikan khas untuk menghasilkan neo-manusia. Tujuannya untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. Namun disebalik kejayaan itu, Athena sebenarnya dihasilkan untuk tujuan ketenteraan. Bakal menjadi senjata yang paling berbahaya.

Mengetahui kebenaran itu, Dr. Aria nekad melarikan Athena dari makmal. Dia tidak mahu Athena disalahgunakan untuk tujuan yang jahat.

Adakah penciptaan Athena mendatangkan kebaikan atau kemudaratan?

ULASAN

Secara umumnya novel ini sebuah karya fantasi santai dan tidak terlalu berat untuk difahami oleh semua lapisan pembaca. Penulis berjaya menghasilkan satu kisah yang agak menarik dan mempelbagaikan lagi pilihan bahan bacaan di pasaran. Bahasa yang digunakan mudah dan senang untuk difahami. Penerangan tentang jenis senjata pada awal buku turut membantu pembaca untuk memahami kegunaan dan bayangan setiap alatan yang digunakan.

PLOT CERITA

Penulis berjaya membina plot cerita yang menarik dari mula hingga ke akhirnya. Sebagai pembaca, saya dapat mengikuti jalan cerita dan memahaminya dengan baik. Mungkin ada beberapa persoalan yang tidak terjawab setelah habis membaca buku ini, tapi penulis seperti telah memberikan clue, akan ada sambungan. Jadi pada pendapat saya, persoalan yang tidak terjawab itu tidaklah begitu mengganggu kerana ia bukan subjek utama kisah ini.

Projek Athena adalah sebuah kisah pada masa hadapan iaitu berlaku pada tahun 2095. Pendapat saya, terdapat beberapa elemen yang kurang sesuai dengan konsep masa hadapan. Antaranya, Dr. Aria mendengar lagu menggunakan MP3. Pada masa sekarang pun, telah banyak medium digital lain yang digunakan untuk mendengar muzik seperti Spotify, iTunes, SoundCloud. Jadi saya rasa penggunaan MP3 agak kurang relevant dalam kisah ini.

Senjata yang digunakan juga agak kurang menepati ciri-ciri masa hadapan. Athena selalu menggunakan pisau untuk menumpaskan lawannya. Ya betul kemahiran dan kelajuan Athena telah dipertingkatkan, tapi penggunaan pisau yang dibaling secara pantas tidak menampakkan kehebatan Athena. Mungkin pisau dan rifel yang digunakan boleh dipertingkatkan fungsinya.

Penulis harus diberikan pujian atas tulisan beliau untuk babak-babak pertempuran. Sebagai seorang wanita dan penulis baru, saya agak kagum dengan cara penceritaan babak pertempuran ini. Tahniah untuk penulis.

PERWATAKAN

Watak Dr. Aria agak kurang meninggalkan kesan kepada keseluruhan cerita. Berdasarkan jalan cerita, Dr. Aria merupakan orang yang mempengaruhi Athena. Dia yang banyak mengajar dan menjaga Athena sepanjang berada di dalam makmal. Namun, apabila kecelakaan menimpa Dr. Aria, wataknya seperti tidak memberikan impak kepada keseluruhan kisah ini. Watak itu hilang begitu sahaja.

Begitu juga dengan watak Athena. Karakter Athena tidak dicipta dengan teliti. Tidak ada gambaran secara menyeluruh tentang watak ini, apakah kekuatannya, apakah yang mengawal otaknya. Apa yang pembaca tahu hanya berdasarkan ujian-ujian yang dijalankan seperti kadar regenerasi yang pantas. Dari segi emosi, sebagai pembaca tidak dapat begitu merasai apa yang Athena rasa.

Watak Tuan Ezakiel yang jahat dan kejam juga agak kaku. Saya tidak dapat merasai kejahatan dan kekejaman Tuan Ezakiel. Sebagai pembaca, saya ingin merasa geram, marah dengan si jahat ini tapi tidak kesampaian. Watak antagonis dalam novel ini perlu diperkuatkan lagi untuk membantu watak utama lebih menyerlah.

KESIMPULAN

Naskah ini tidak rugi untuk dibaca. Percubaan penulis untuk menghasilkan karya sci-fic pada saya boleh diperbaiki lagi. Buku ini boleh pergi lebih jauh sekiranya beberapa elemen penting diperbaiki dan diperhalusi.

Untuk penulis, teruskan usaha anda dalam menghasilkan karya yang bermutu dan hebat. Diharapkan point-point di atas dapat membantu penulis dalam karya yang seterusnya.

Tahniah!


No comments:

Post a Comment

#Book Review 38: Projek Athena: Manusia Ciptaan. “Adakah saya… masih lagi manusia?”

Penulis: Syeraho ISBN: 9789832423645 Tahun Terbit: 2019 Penerbit: Iman Publication SINOPSIS Athena – terhasil darip...