Book Review #25: Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru



Tajuk: Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru
Penulis: Hilal Asyraf
Tahun Terbit: 2017
Terbitan: Hilal Asyraf Resources

#UlasKaryaHAR2018
#ulasanbuku
#bookreview

Cerita ini berkisar tentang mereka yang mempunyai kuasa dan bagaimana mereka menggunakan kuasa tersebut sama ada ke arah kebaikan atau kemungkaran. Lutello seorang maharaja bagi kerajaan Mukan'Aja yang kaya raya dan berkuasa. Dia menggunakan harta kekayaan dan kuasanya untuk meluaskan empayarnya. Namun sayang sekali, Lutello tidak percaya kepada Allah. 

Ariki, Raja Muda pada kerajaan ini, tapi dia tidak suka mengikut cara ayahandanya. Ini menyebabkan kemarahan Lutello. Dia memaksa Ariki mengikut cara hidupnya sehingga Ariki mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Kelebihan karya:

1) Karya ini menunjukkan dan menjelaskan, kita sebagai manusia perlu menggunakan akal fikiran untuk membuat pilihan yang betul. Ariki seorang pemuda yang dari kecil telah didedah dan diajar oleh ayahanda untuk melakukan maksiat. Ditabur dengan harta kekayaan, tapi dia membuat pilihan untuk tidak mengikut kehendak tersebut dan sanggup lari dari kesenangan hidup. 

Cerita ini seperti inspirasi dari kisah Ashabul Kahfi yang melarikan diri dari kezaliman raja mereka, lalu ditidurkan Allah untuk satu jangka masa yang lama. Begitu juga dengan Ariki, walaupun pada masa itu belum lagi memeluk Islam, dia memilih untuk melarikan diri dari ayahandanya dan dia dipertemukan dengan Aifer dan Kabeer yang melindunginya.

2) Dalam karya ini juga diterapkan dan ditonjolkan semangat juang yang tinggi dalam menegakkan agama Islam. Ibu Umeira walaupun telah ditangkap dan dipenjarakan, tapi dia tidak pernah berhenti berusaha, berdoa dan mengamalkan ajaran Allah. Ini kerana dia percaya dan berserah kepada kuasa Allah S.W.T

3) Kisah ini juga menerangkan dan menegaskan solat itu tiang agama. Kita dapat lihat dan baca, walau apa juga keadaan Aifer tidak pernah meninggalkan solatnya. Ketika Aifer dan Ariki berada dalam hutan dan berlawan dengan tumbuhan yang hidup, mereka bergilir-gilir solat dan pada masa yang sama berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling.

"Jadi mengapa seorang muslim perlu solat sehingga lima kali sehari?"

"Kerana fitrah manusia itu memerlukan Tuhan. Solat bukan untuk menambah kuasa Allah, Maha suci Allah telah sedia Maha Perkasa tanpa perlu dibantu sesiapa. Solat itu untuk manusia, mempunyai waktu khusus memfokuskan diri hanya kepadanya, memisahkan keperluan terhadap dunia. Memohon kekuatan untuk terus hidup , mewaraskan semula akal dengan mengembalikan fokus minda. Solat juga mendisplinkan seorang Muslim, untuk peka dan sensitif dengan masa, mengatur kehidupan dengan lebih baik. Tidak semata-mata hidup mengikut arus." - petikan dalam Hikayat Satria Satria Sejati

4) Setiap satria dalam novel ini mempunyai kuasa yang unik iaitu mampu mengawal unsur-unsur alam dengan baik. Unsur yang paling menarik ialah unsur tanah yang mana mereka ini mampu mengawal tumbuhan dan mencipta sesuatu seperti rumah. Ini adalah cara menarik untuk memaparkan bagaimana mereka mengawal kuasa unsur yang ada pada mereka. Semakin tinggi penguasaan terhadap sesuatu unsur membolehkan mereka menggabungkannya dan mencipta serangan yang lebih hebat. 



Kelemahan karya:

1) Garapan kisah Gardin Ramsi, agak longgar dan kurang terperinci. Konflik yang wujud antara mereka juga tidak berapa jelas, sama ada Gardin Ramsi dengan rela melepaskan Mikail yang telah diasuh dari kecil begitu saja untuk mengikuti Ariki dan rakan-rakannya. Walaupun sebelum itu mereka ada berbincang atau bertegang urat, tapi ketegangan plot itu agak mendatar. 

2) Karekter Wirawan dan Wirawati kerajaan Mukan'Aja kurang dirasai kejahatan dan keganasannya. Walaupun ada diceritakan kejahatan yang mereka lakukan, namun aura itu tidak begitu terbayang bila membaca kisah ini.

Pendapat keseluruhan:

Hikayat Satria Satria Sejati Generasi Baru merupakan sebuah masterpiece yang baik dengan garapan dan plot cerita yang menarik. Kisah ini walaupun mempunyai banyak watak, namun setiap dari mereka membawa karakter yang berbeza-beza. Cabaran yang mereka lalui berlainan tetapi bila digabungkan ianya menjadi satu kisah yang sangat menarik. Seperti biasa penulis tidak pernah lupa untuk menerapkan ilmu-ilmu agama yang berguna untuk panduan pembaca. Kelemahan yang saya nyatakan di atas adalah sangat minimal dan tidak mencacatkan jalan cerita novel ini. Bacaan yang sangat sesuai untuk setiap lapisan masyarakat dan yang pasti kita akan beroleh manfaat dari kisah perjuangan Ariki dan sahabatnya.


Cadangan penambahbaikan:

1) Menambah sedikit lagi emosi kekeluargaan kepada hubungan Gardin Ramsi dan Mikail. Kisah bagaimana mereka bertemu mungkin dapat membangkitkan rasa kasih sayang dan pengorbanan ketika Mikail ingin meninggalkan ayah angkatnya.

2) Tambahkan ciri-ciri watak jahat supaya pembaca dapat mendalami semangat perjuangan Satria Sejati dalam menentang kerajaan Mukan'Aja dan perjalanan mereka dalam mengumpulkan semula Satria Sejati terdahulu. 

3 comments:

  1. semoga lebih Berjaya dalam berkarya, tahniah.

    ReplyDelete
  2. I hate this you know 🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣

    ReplyDelete

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...