Book Review 28#: 7 Pintu


Tajuk: 7 Pintu
Penulis: Ahmad Rusydi
Terbitan: Rapik Asura
Tahun Terbitan: 2018

Entah kenapa aku tertarik melihat novel 7 Pintu di rak buku Popular Bookstore. Buku ini tidak termasuk dalam senarai yang patut aku beli tapi entahlah tangan terus sahaja menggapai buku ini dan membawa ke kaunter bayaran. Adakah aku telah dipukau oleh Argono?

Sememangnya aku tidak salah memilih, mula dari muka surat pertama sudah berjaya menambat hati. Rentak cerita yang semakin lama semakin mendebarkan dan seterusnya penuh dengan misteri. Teknik flashback digarap dengan cukup baik. 

Sinopsis:
Perubahan Ika semakin membingungkan Faris. Isterinya kerap bertanyakan soalan yang tidak masuk akal dan sudah beberapa kali dia menerangkan bahawa rumah mereka hanya ada 4 bilik tidur dan 2 bilik air namun Ika tetap mengatakan rumah mereka ada 7 bilik. Keadaan Ika semakin serius apabila mula merasakan mereka pernah mempunyai anak yang ketiga.

Akhirnya Faris akur bahawa Ika kemungkinan mempunyai masalah tekanan perasaan. Namun rawatan psikologis dari Dr. Salhah hanya mengundang tragedi berdarah. Kenapa dia dibunuh masih menjadi misteri. Faris pula telah di tangkap atas tuduhan membunuh anak-anaknya.

Kau memang akan mati, Roslan. Kau tolong keturunan pembunuh! Nantikan sahaja.”
Antara dialog yang menambahkan misteri kisah di dalam novel ini. 


Ulasan:
Ok setakat itu sahaja yang boleh ditulis, tidak mahu jadi spoiler kepada sebuah novel yang menarik. Untuk anda yang ingin tahu kesudahannya, sila dapat naskah ini di kedai buku berhampiran. Sempat lagi iklankan…hahah

Penulis ternyata berjaya menggarap plot dengan kemas dan hubung kait setiap watak disusun atur dengan baik. Cliff hanger pada setiap bab cukup mendebarkan sehinggakan aku sendiri tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya. Di dalam novel ini diselitkan tugas-tugas seorang psikiatris, terpaksa berhadapan dengan penjenayah yang mempunyai sakit mental. Memang agak mencemaskan apabila doktor yang melakukan diagnosis ke atas Faris hampir menjadi mangsa. 

Teknik flashback (mengimbas kembali) sejarah dan kewujudan makhluk itu diolah dengan rapi. Deskripsi sebuah kampung serta kehidupan penduduk Kampung Alor pada 1941 di ceritakan dengan terperinci sehingga kita sebagai pembaca seolah-olah berada di era tersebut. Paling menarik apabila penulis menceritakan tentang kehidupan dan kepercayaan orang asli, suatu perkara baru yang boleh kita pelajari.

Keseluruhan novel ini aku tidak nampak mana kelonggarannya. Penceritaan yang ternyata tidak meleret. Boleh rasai setiap emosi watak dan kejadian yang berlaku. Detik seram mampu meremangkan bulu roma dan plot sedih mampu meruntun jiwa. Apa pun syabas buat Ahmad Rusydi. Kami menantikan karya anda seterusnya.

1 comment:

  1. Memang nak tunggu novel seterusnya pasal sang getih purba..tak mungkin argono ada balik

    ReplyDelete

Ingin baca E-Book secara percuma? Ini aplikasi yang anda boleh muat turun.

Aplikasi e-book kini menjadi alternatif kepada pembaca buku. Selain dari mudah untuk dibawa ke mana saja, e-book juga menjadi pil...