Book Review #2: Pemburu

Tajuk: Pemburu
Penulis: Hilal Asyraf
ISBN: 978-967-14642-0-5
Terbitan: Hilal Asyraf Resources
Tahun terbitan: 2016
Kategori: Malay Fiction / Malay Thriller


Hari ini selesai sudah membaca sebuah naskah berjudul Pemburu hasil tulisan Hilal Asyraf. Imej di atas kulit buku ini sudah menunjukkan kita akan berdepan dengan sebuah cerita penuh aksi. Buku ini dikategorikan genre sains fiksyen dan mempunyai ciri-ciri genre fantasi urban.

Kenapa saya mengatakan ada suntikan fantasi urban sebab penulis mencipta sebuah negara yang cukup sempurna dan berjaya dari pelbagai aspek. Di waktu ini kita telah mempunyai sebuah unit ala Robocop yang turut bekerjasama dengan pihak polis, bagi saya tidak mustahil. Di dalam cerita ini menggambarkan harapan dan impian penulis terhadap kesejahteraan dan kepimpinan sesebuah negara. Malaysia digambarkan hebat di mata dunia baik dari segi ekonomi, teknologi, budaya, sosial, kepimpinan dan agama. Islam sebagai pemangkin utama. Saya rasa ini adalah pandangan penulis terhadap masa hadapan negara kita yang mana mewakili semua harapan rakyat negara ini.


Gambaran aksi pertarungan cukup mendebarkan. Kekuatan pemburu ditonjolkan begitu hebat dan luar biasa. Aksi tembakan lencong oleh pemburu dipaparkan di dalam buku ini mengingat saya kepada sebuah filem Wanted lakonan Angelina Jolie dan James McAvoy. Penulis berjaya menggarap aksi tersebut sehingga saya boleh membayang setiap gerakan penembak, luncuran dan lencongan sebiji peluru sebelum mengenai mangsa. Cukup menarik!

Demi memelihara kemakmuran sebuah negara bernama Malaysia, Bakri dan Mustafa terpaksa melalui cabaran yang hebat. Bakri membesar tidak seperti remaja lain malah terpaksa melalui pembedahan yang mengorbankan masa depannya. Mustafa pula terpaksa hidup bersama kisah lampau yang hitam tetapi itu dijadikan kekuatan untuk berdepan dengan musuhnya. kedua-dua anak dan bapa ini mempunyai misi untuk menumbangkan sebuah organisasi rahsia yang dinamakan sebagai Kesatuan Pemburu. Plot-plot cemas digarap dengan baik. Terdapat plot yang menyentuh emosi sehingga saya turut merasai kesedihan watak.

Di dalam buku ini banyak menceritakan tentang pengorbanan, kasih sayang, dan perjuangan yang berpaksikan ajaran Islam. Objektif tentang pembebasan Palestine dari belenggu Israel turut menjadi pemangkin utama di dalam keseluruhan cerita ini.

Antara bab yang boleh dikatakan memberi inspirasi berada di bab 18. Di dalam perjalanan mereka menuju ke tempat musuh untuk pertempuran akhir. Diantara dialognya adalah “Apa gunanya Al-Quran ketika ini. Kenapa dibaca Al-Quran itu sekarang? Pada situasi genting sebegini?” Jawapan yang diberikan Afam kepada Bakri dengan mengambil contoh kisah Musa AS yang tersekat diantara laut merah dan tentera Firaun boleh dijadikan inspirasi dan semangat. Untuk tahu lebih kenalah beli buku ini.

Tetapi apabila setiap aksi terlalu diperinci menyebabkan pembacaan jadi agak meletihkan. Penulis seakan memaksa pembaca untuk menghayati setiap inci gerakan sehingga penceritaan menjadi agak meleret. Malaysia diibaratkan terlalu sempurna tetapi unit pertahanan tampak terlalu lemah tidak seimbang dengan kehebatan teknologi yang di gambarkan. Hanya dua orang yang mampu menyelamatkan keselamatan negara. Unit Inteligen Kerajaan Malaysia yang digambarkan terhebat berbanding agensi Inteligen dunia seolah-olah bertugas sebagai polis biasa atau sekadar menjadi bodyguard sahaja.

Kelemahan itu tidak keterlaluan atau merosakkan jalan cerita. Hanya kekurangan yang boleh dimaafkan disebabkan jalan cerita yang menarik. Apa sekalipun kami D'ulatbuku mengucapkan syabas buat Hilal Asyraf.

Comments

Popular posts from this blog

Book Review #9: Bibik Milenium

Book Review #13: Gerak Gempar

Book Review #11: Uwan Konah